Berita Auto

BMW Group Malaysia Mendefinisikan Kembali Kemewahan Pemanduan Dengan BMW 7 Series Serba Baharu.

BMW Group Malaysia hari ini mendefinisikan kembali idea tentang kemewahan moden dalam segmen automotif premium menerusi pengenalan BMW 7 Series serba baharu. Sudah memasuki generasi keenam, BMW 7 Series serba baharu menawarkankan pengalaman pemanduan yang mewah dan eksklusif dalam bentuk sebuah sedan kontemporari.

Dengan kejayaan merintis inovasi selama hampir 40 tahun dalam segmen premium, BMW 7 Series serba baharu sekali lagi menghasilkan perubahan besar dari segi dinamik dan kemewahannya. Limosin mewah daripada BMW ini menyerlahkan interpretasi keseronokan pemanduan yang kontemporari dan fokus pada masa depan. Ia kemudian digabungkan dengan penampilan yang berprestij, ruang dalaman mewah, operasi intuitif terkini dan ketersambungan pintar. Pendek kata, BMW 7 Series serba baharu kini ialah sebuah sedan mewah paling maju dalam segmennya.

Ketika melancarkan BMW 7 Series serba baharu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “BMW Group meraikan Ulang Tahun ke-100 pada tahun 2016. Maka, adalah amat bertepatan jika kami memulakan sambutan ini di Malaysia dengan memperkenalkan model utama kami iaitu BMW 7 Series serba baharu. Kami membentuk masa depan industri automotif premium di sini dengan BMW i. Di samping mengukuhkan hakikat bahawa kenderaan berprestasi dan dinamik di negara ini perlu memiliki huruf paling berkuasa di dunia – M. Kini, kami mendefinisikan semula persepsi pemanduan yang mewah dalam industri automotif premium di Malaysia menerusi BMW 7 Series serba baharu yang baru-baru ini disenarai pendek sebagai finalis World Luxury Car of the Year 2016.”

Jelas Han lagi, BMW Group Malaysia akan meraikan pelancaran ini di seluruh negara. Pembuat kereta premium itu juga tidak sabar untuk meraikannya dengan para pelanggan dan peminat jenama BMW.

BMW 01 (3)

“Selaku jenama peneraju automotif premium di Malaysia, matlamat kami adalah untuk menawarkan nilai kepada para pelanggan dan peminat BMW di sini. Dengan objektif tersebut, kami akan memulakan sambutan pada tahun ini menerusi pengenalan model pertama untuk tahun 2016, BMW 7 Series serba baharu. Ia didatangkan dengan harga istimewa sambutan Ulang Tahun ke-100 dan terhad kepada kereta yang didaftarkan pada tahun ini sahaja,” kata Han.

Didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li serba baharu, BMW 7 Series menawarkan kemewahan dan keselesaan yang digabungkan bersama karekteristik pemanduan paling dinamik, ciri-ciri sofistikated, ambien paling menyenangkan, di samping manfaat daripada sisem pemanduan unik dan termaju yang membuatkan memandu bukan sahaja selamat, malah lebih menyeronokkan. Semua ini dirangkumkan di dalam sebuah kenderaan yang paling ringan, sekali gus mampu menawarkan penggunaan bahan api dan emisi C02 yang rendah.

Reka bentuk: elegan, berprestij dan mudah dikenali

Reka bentuk BMW 7 Series serba baharu menawarkan interpretasi moden mengenai aspek kemewahan. Kemajuan teknologi dan pelbagai inovasi yang memberikan pengalaman dan keselesaan terbaik buat BMW 7 Series serba baharu diserlahkan menerusi reka bentuknya yang begitu emosional.

BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238 milimeter (mm) berbanding generasi sebelum ini 5,219 mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah. Ini menjadikan BMW 7 Series serba baharu sebagai model paling besar yang pernah dihasilkan oleh BMW.

Penampilan dinamik dan berprestijnya turut diserlahkan menerusi perkadaran yang menjadi tanda dagang buat BMW. Misalnya bonet yang panjang, unjuran hadapan pendek, tapak roda panjang, kompartmen penumpang luas dan garis bumbung yang elegan.

Bahagian hadapan BMW 7 Series serba baharu yang mantap menyerlahkan lagi penampilannya. Ia juga menjadi kereta pertama BMW yang jelas menggunakan teknologi BMW EfficientDynamics. Gril hadapan pada sedan mewah ini dilengkapi sistem Active Air Stream yang hanya dibuka sekiranya penyejukan udara diperlukan. Jika tidak, ia akan sentiasa tertutup. Ciri ini meningkatkan aspek aerodinamik, selain memberikan bahagian hadapan sedan itu gaya yang lebih menarik perhatian menerusi lebih banyak bilah pada gril kidney BMW.

Bahagian atas lampu utama baharunya lebih nipis dan bahagian bawahnya diratakan. Lampu tersebut diunjurkan sehingga ke gril. Sementara lampu bulat berkembar LED penuh pada BMW 730Li serba baharu diselarikan dengan bahagian atas dan bawahnya, sekali gus memberikan jentera ini penampilan yang fokus serta lebih garang. Menambah aspek yang pertama dalam segmen mewah ialah lampu utama lazer BMW. Ia boleh dikenal pasti melalui bar horizontal berwarna biru. Dipasang pada varian BMW 740Li serba baharu, lampu lazer BMW mempunyai mode lampu tinggi sejauh 600 meter – dua kali lebih jauh berbanding lampu LED.

Penampilan menarik dan eksklusif BMW 740Li ditingkatkan lagi dengan rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci dan rekaan jejari V untuk BMW 730Li serba baharu.

Rangkaian kuasa: enjin paling efisien dalam kelasnya

Kecanggihan yang ada pada BMW 7 Series serba baharu diperoleh daripada penyelesaian masalah-masalah lama. Kereta ini hadir dengan banyak inovasi baru tetapi lebih ringan, memiliki prestasi dinamik tetapi lebih menjimatkan, malah lebih mewah berbanding sebelum ini bersama emisi lebih rendah.

BMW 740Li menawarkan kuasa mengujakan, lancar serta bunyi yang menggetarkan melalui enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran tiga liter  generasi terkini yang diambil daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics. Dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Setptronic yang telah dioptimumkan, ia mampu menjana kuasa maksimum  326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 5.5 saat. Purata penggunaan bahan api BMW 740Li serba baharu adalah sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km dengan emisi C02 154 gram bagi setiap kilometer.

BMW 730Li serba baharu juga menawarkan kuasa dinamik dan penggunaan bahan api yang rendah. Dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran dua liter, enjin pada BMW 730Li serba baharu ini berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.3 saat sahaja. Bacaan penggunaan bahan api BMW 730Li serba baharu adalah 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tahap emisi C02 pula ialah 134 gram untuk setiap kilometer.

BMW EfficientDynamics: lebih ringan, menjadi penanda aras untuk keseronokan pemanduan yang efisien

Selain enjin BMW TwinPower Turbo yang baru, BMW 7 Series juga dilengkapi rekaan ringan yang pintar, selain memanfaatkan casis serba baharu bersama suspensi udara serta sistem kawalan casis termaju.

Kita mulakan dengan bahagian tengah BMW 7 Series serba baharu yang struktur badannya dibina menggunakan Carbon Core, satu produk hasil peralihan teknologi daripada pembangunan kereta-kereta BMW i. Sebagai sebahagian daripada konsep BMW EfficientLightweight, BMW 7 Series serba baharu merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menggunakan Carbon-Fibre-Reinforced Plastic (CFRP). Di samping gabungan pintar komponen-komponen aluminium, magnesium dan besi regangan tinggi.

Pengurangan berat yang signifikan itu kemudian digabungkan dengan enjin efisien, penggunaan optimum material-material, aluminium sekunder dan thermoplastik yang banyak serta aplikasi janaan semula tenaga elektrik sepanjang produksinya. Semua ini membolehkan satu perempat emisi C02 dapat dikurangkan sepanjang kitaran hayat kereta tersebut.

Pemanduan BMW 7 Series serba baharu dipertingkatkan lagi menerusi teknologi casis yang tepat,. Sekali gus memberikan jentera ini dinamik pemanduan mantap dan keselesaan yang tiada tandingan. Ia disumbang oleh beberapa faktor. Misalnya stereng yang lebih sensitif dan talaan casis oleh pasukan jurutera pakar BMW.

Komponen-komponen berteknologi tinggi ini disempurnakan lagi dengan dua gandar suspensi udara yang boleh dilaras sendiri. Ia dipasang bersama Dynamic Damper Control yang didatangkan sebagai satu ciri standard untuk BMW 7 Series serba baharu buat pertama kalinya. Penggunaan suspensi udara ini memberikan BMW 7 Series serba baharu pengalaman pemanduan yang sangat selesa dan lincah. Sebagai contoh, pada kelajuan 120km/j dan ke atas, badan kenderaan akan direndahkan sebanyak 10 milimeter untuk meningkatkan aspek aerodinamik. Manakala jarak kelegaan tanah boleh ditingkatkan sebanyak 20 milimeter ketika ia dipandu pada kelajuan sehingga 35km/j.

Suis Driving Experience Control dengan rekaan baharu diletakkan pada konsol tengah. Mode-mode pemanduan seperti COMFORT, SPORT, ECO PRO dan ADAPTIVE (pertama kali) boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Apabila mode ADAPTIVE diaktifkan, talaan kenderaan akan dipadankan dengan gaya pemanduan semasa. Ia juga akan menukar profil dalam bentuk yang boleh diterima dan bersifat adaptif. Bergantung kepada situasi pemanduan, sistem rangkaian kuasa dan casis akan dikonfigurasikan sama ada untuk prestasi sporty atau selesa.

Tahap keselesaan, dinamik dan prestasi boleh ditingkatkan menerusi satu lagi ciri yang pertama di dunia pada BMW 7 Series serba baharu iaitu Executive Drive Pro. Sistem kawalan casis aktif yang dipasang pada BMW 740Li serba baharu melibatkan gabungan fungsi dua gandar suspensi udara dan Dynamic Damper Control untuk mencapai standard keselesaan suspensi, redaman dan getaran yang terbaik. Buat pertama kali juga, penstabil olengan aktif ditawarkan secara elektromekanikal. Ia membolehkan olengan tubuh kenderaan dikurangkan dengan tepat ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Ruang dalaman: teknologi tercanggih untuk kesejahteraan penumpang

Inovasi dan kreativiti membuatkan pengalaman pemanduan serta perjalanan dengan BMW 7 Series serba baharu lebih mengujakan. Kehadiran model utama BMW ini membawakan aspek reka bentuk ruang dalaman, fungsi dan kesejahteraan penumpang ke satu tahap baru.

Pemandu boleh mengharapkan satu pengalaman operasi yang baru pada BMW 7 Series serba baharu. Ini termasuklah stereng, pemilih kedudukan gear, kluster instrumen, struktur menu iDrive dan susun atur skrin yang baru. Lebih penting lagi, konsep operasi lanjutan iDrive yang baru. Sebagai tambahan kepada operasi biasa menggunakan iDrive Controller dan sistem kawalan suara yang telah diubah suai, ia turut menawarkan dua pilihan untuk membuatkan operasi kenderaan lebih intuitif, mudah dan selamat.

Pertama, paparan sentuh (Touch Display) pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau. Dengan skrin tersebut, BMW 7 Series serba baharu boleh dioperasikan seperti menggunakan sebuah telefon pintar atau tablet dengan menyentuh fungsi yang diinginkan pada skrin paparan tersebut.

Keduanya, kawalan gestur BMW yang merupakan satu cara baru untuk mengoperasikan kenderaan. Pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi, pemandu boleh mengakses fungsi-fungsi tertentu kenderaan seperti mengawal suara muzik, menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan. Sistem ini berfungsi menggunakan sebuah kamera infra merah 3D yang dipasang pada bahagian lampu kabin hadapan serta berperanan mengimbas tangan dan mengenal pasti pergerakannya.

Atmosfera di dalam kabin BMW 7 Series serba baharu yang eksklusif diserlahkan lagi dengan pilihan Lampu Ambien. Ia mempunyai ciri Welcome Light Carpet pada bahagian pintu kereta. Terdapat enam pilihan warna lampu yang boleh dimalapkan. Lampu ini boleh dioperasi dan dipilih melalui menu iDrive.

Di bahagian belakang kabin BMW 7 Series serba baharu pula, penumpang akan merasai bagaimana kereta ini direka dengan rekaan yang cukup mewah. Ini termasuklah pendingin hawa automatik dengan kawalan empat zon dan tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik bersama fungsi urutan dan Vitality Programme. Vitality Programme membolehkan penumpang menikmati lapan talaan senaman fizikal untuk menyegarkan tubuh badan.

Satu lagi inovasi kemewahan ialah unit kawalan BMW Touch Command pada konsol tengah bahagian belakang kabin. Sebagai sebuah tablet bersaiz tujuh inci yang boleh dialih dan disambungkan dengan sistem-sistem kenderaan, para penumpang berpeluang mengakses semua fungsi hiburan dan keselesaan.

Untuk menawarkan ruang yang lebih luas dan mewah untuk penumpang belakang, BMW telah membangunkan satu lagi inovasi terbaik di dunia – bumbung kaca panoramik Sky Lounge. Bumbung ini didatangkan dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya di dalam kaca bumbung panoramik tersebut. Jadi, penumpang boleh menikmati kabin yang dilimpahi cahaya matahari di siang hari dan lampu yang cantik pada waktu malam.

BMW ConnectedDrive: merintis ciri dan perspektif baharu dalam aspek ketersambungan pintar

BMW 7 Series serba baharu sentiasa menjadi perintis dalam bidang ketersambungan pintar. Kini, BMW 7 Series serba baharu sekali lagi mengukuhkan penguasaannya dalam aspek keselesaan, keselamatan dan infotaimen. Inovasi-inovasi utama yang membentuk karekter  BMW 7 Series serba baharu adalah:

BMW Display Key, merupakan satu lagi ciri yang pertama dalam segmen mewah di dunia. Kunci ini memaparkan pelbagai  status data kenderaan dan membolehkan beberapa operasi dipilih menerusi  ciri Touch Display yang bersepadu. Para pemandu boleh memeriksa takat bahan api di dalam tangki, jarak semasa kenderaan, status sistem kunci berpusat kenderaan, tingkap, bumbung kaca dan servis dengan pantas. Anda juga boleh mengaktifkan sistem pendingin hawa dan ventilasi di dalam kenderaan.

Driving Assistant Plus meluaskan lagi ciri sedia ada pada BMW 7 Series serba baharu. Ini termasuklah bantuan kawalan stereng dan arah, ciri Lane Departure Warning Assistant dengan perlindungan pelanggaran sisi aktif yang mengesan kenderaan di laluan sebelah, menghalang pelanggaran dari arah belakang dan amaran trafik di hadapan. Sistem ini beroperasi di semua jalan raya pada kelajuan sehingga 210km/j.

BMW Head-Up Display kini lebih maju berbanding sebelumnya. Ruang paparannya kini 70 peratus lebih besar dan mempunyai pelbagai ciri tambahan seperti pandangan 3D di persimpangan jalan. Paparan ini juga menawarkan kualiti grafik yang lebih jelas.

BMW 7 Series serba baharu turut menampilkan ciri-ciri BMW ConnectedDrive yang lain seperti Intelligent Emergency Call yang akan mendapatkan bantuan secara automatik dan pantas jika berlaku kemalangan. Concierge Services pula akan menyambungkan pemandu dengan Pusat Panggilan BMW yang bertindak seperti ‘pembantu peribadi’ mereka. Sementara ciri Remote Services membolehkan pemandu menukar telefon bimbit menjadi alat kawalan jauh yang pintar untuk kenderaan menerusi aplikasi MY Remote.

BMW 740Li serba baharu boleh didapati dalam warna hitam (Black Sapphire), perak (Cashmere Silver), putih (Mineral White), kelabu (Sophisto Grey) dan biru (Imperial Blue). Di samping pilihan rangkaian warna upholsteri kulit Nappa seperti hitam, Canberra Beige dan Cognac.

BMW 730Li serba baharu pula didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), perak (Cashmere Silver), putih (Mineral White), kelabu (Sophisto Grey) dan Jatoba. Rangkaian pilihan upholsteri kulit Dakota ialah hitam, Canberra Beige dan Cognac.

Harga runcit di atas jalan (tidak termasuk insurans) dengan Jaminan Perbatuan Tanpa Had Selama Lima Tahun  BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar untuk BMW 7 Series serba baharu ialah:

BMW 730Li serba baharu – RM 698,800.00

Ulang Tahun ke-100 – RM 598,800.00

BMW 740Li serba baharu – RM 888,800.00

Ulang Tahun ke-100 – RM 788,800.00

BMW 03 (2)

Previous post

Pengeluaran Global Mazda Naik 16.2% Untuk 2015.

Next post

Lebuhraya Pantai Timur Sambut Tahun Baru Cina Dengan Kempen Keselamatan Jalan Raya

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *