Motosikal / Lain Lain Roda

Next Bike Lancar 6 Model Ducati Baharu Di Malaysia

2021 merupakan tahun yang sibuk buat Next Bike Sdn Bhd, dengan pelancaran beberapa model Ducati termasuk Scrambler Nightshift, Multistrada V4 dan Monster. Untuk meneruskan momentum bagi tahun 2022, syarikat itu telah melancarkan enam lagi model baharu ke pasaran tempatan iaitu Scrambler Urban Motard, Scrambler 1100 Tribute Pro, Multistrada V2 S, Panigale V2 Bayliss, Streetfighter V2 dan Streetfighter V4 SP.

Scrambler Urban Motard – RM68,900

Ducati Scrambler Urban Motard

Secara asasnya merupakan sebuah supermoto, Scrambler Urban Motorad menampilkan livery baharu yang menggabungkan warna Star White Silk dan Ducati GP ’19 Red yang dipersembahkan dalam grafik ala grafiti. Karakteristik supermoto boleh dilihat dengan jelas menerusi elemen-elemen seperti rim lidi 17 inci, mudguard depan, pelana yang rata dan plat nombor pada bahagian sisi.

Model ini dikuasakan oleh enjin 803 ccL-twin dengan Desmodromic yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 66 Nm pada 5,750 rpm. Ia didatangkan standard dengan lampu LED dan LED DRL, Cornering ABS, serta Ducati Multimedia System (DMS) yang membolehkan telefon pintar disambungkan ke motosikal menerusi Bluetooth.

Scrambler 1100 Tribute Pro – RM85,900

Ducati Scrambler 1100 Tribute Pro

Dihasilkan sebagai penghormatan kepada enjin sejukan udara pada era 70-an, Scrambler 1100 Tribute Pro hadir dengan enjin sejukan udara L-twin bersesaran 1,079 cc yang menjana 86 hp pada 7,500 rpm dan 92 Nm pada 4,750 rpm. Terdapat tiga mod tunggangan, setiap satu dengan tahap Power Mode dan Ducati Traction Control (DTC) yang berbeza.

Dari segi penggayaan, model ini tampil dengan elemen-elemen Ducati yang popular sekitar 50 tahun dahulu termasuk livery Giallo Ocra, logo Ducati yang direka oleh Giugiaro, rim lidi berwarna hitam serta tempat duduk berwarna perang lengkap dengan jahitan kontras.

Multistrada V2 S – RM105,900

Ducati Multistrada V2

Mengambil alih tempat 950 sebagai penawaran entry-level dalam rangkaian model Multistrada, versi V2 S dikuasakan oleh enjin Testastretta 937 cc dengan silinder berkembar L-twin yang mampu menjana 113 hp pada 9,000 rpm dan 96 Nm pada 7,750 rpm. Enjin tersebut dilengkapi dengan rod penhubung baharu, klac hidraulik lapan-cakera baharu dan juga kotak gear yang telah dipertingkatkan.

Tidak seperti versi V2 yang dilengkapi dengan fork USD KYB 48 mm dan penyerap hentak Sachs, Multistrada V2 S mendapat sistem suspensi semi-aktif Ducati Skyhook Suspension EVO yang lebih canggih. Ia menggunakan rim aluminium berukuran 19 inci di depan dan 17 inci di belakang, berserta tayar Pirelli Scorpion Trail II.

Panigale V2 Bayliss – RM136,900

Ducati Panigale V2 Bayliss

Panigale V2 Bayliss mendapat inspirasinya daripada jentera Ducati 996 R yang ditunggang oleh Troy Bayliss untuk merangkul gelaran juara WSBK yang pertamanya pada 2001. Selain livery merah/putih/hijau yang ikonik itu, model ini juga didatangkan dengan nombor #21 yang digunakan oleh Bayliss pada bahagian depan dan sisi, serta tandatangan pelumba Australia itu pada tangki minyak. Nombor siri pengeluaran pula dicetak pada bar hendal.

Kuasa dibekalkan oleh enjin Superquadro 955 cc silinder berkembar dengan 155 hp pada 10,750 rpm dan 104 Nm pada 9,000 rpm. Selain itu, jentera ini juga dilengkapi dengan fork Ohlins NX30 dan penyerap hentak TTX36, Bosch ABS Cornering, Quick Shifter, Traction Control, Wheelie Control dan Engine Brake Control.

Streetfighter V2 – RM101,900

Ducati Streetfighter V2

Diperkenalkan buat pertama kali pada November 2021, Streetfighter V2 mungkin dianggap sebagai model entry level namun ini tidak bermakna ia perlahan. ‘Nadi’ jentera ini adalah enjin Superquadro silinder berkembar bersesaran 955 cc yang mampu menghasilkan 153 hp pada 10,750 rpm dan 101.4 Nm pada 9,000 rpm. Dibandingkan dengan Panigale V2, Streetfighter V2 mempunyai nisbah akhir yang lebih pendek untuk penyampaian tork lebih tinggi pada roda.

Casisnya terdiri daripada fork Showa BPF 43 mm dan penyerap hentak Sachs yang disambungkan kepada lengan ayun tunggal yang 16 mm lebih panjang berbanding lengan ayun Panigale V2. Dari segi perisian, terdapat sistem IMU enam paksi yang ditugaskan untuk menguruskan semua kawalan elektronik seperti ABS Cornering EVO, Ducati Traction Control (DTC) EVO 2 dan Ducati Wheelie Control (DWC) EVO.

Streetfighter V4 SP – RM239,900

Ducati Streetfighter V4 SP

Varian paling berkuasa dalam rangkaian model Streetfighter adalah Streetfighter V4 SP, yang boleh dibezakan dengan varian-varian lain menerusi livery Winter Test, sayap biplane karbon dan juga roda karbon. Menurut Ducati, roda berkenaan 1.4 kg lebih ringan berbanding roda aluminium pada Streetfighter V4 S dan boleh mengurangkan inseria sebanyak 26% di depan dan 46% di belakang.

Seperti V4, Streetfighter V4 SP masih dikuasakan oleh enjin 1,103 cc Desmosedici Stradale V4 dengan 208 hp dan 123 Nm, namun untuk model ini, enjin tersebut dilengkapi dengan klac kering STM-EVO SBK. Sistem Ohlins Smart EC 2.0 mengubah daya redaman mengikut gaya tunggangan penunggang itu, manakala angkup brek depan Brembo Stylema R membekalkan kuasa membrek yang mencukupi.

Previous post

Polestar 3 Sebagai SUV Elektrik Bersaiz Cayenne Diusik

Next post

Jualan Porsche Cayenne CKD Yang Dipasang Tempatan Berjalan Lancar

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *