Berita Auto

Porsche Macan 2022 Dilancarkan Di Malaysia – Harga Dari RM433,154

Porsche Malaysia, menerusi pengedar rasmi jenama itu iaitu Sime Darby Auto Performance (SDAP), telah melancarkan Porsche Macan generasi ketiga yang dipertingkatkan untuk tahun 2022. Ia boleh didapati dalam tiga varian iaitu Macan, Macan S dan Macan GTS.

Dari segi reka bentuk, model facelift ini tampil dengan elemen tiga dimensi dan bilah sisi dinamik yang memberikannya penampilan lebih sporty pada bahagian hadapan. Bahagian belakang pula menampilkan diffuser dengan rekaan teknikal dan lampu dalam bentuk melintang.

Menurut SDAP, lampu hadapan LED dengan Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan cermin sisi Sport Design disertakan secara standard pada semua varian.

Terdapat 14 pilihan warna yang ditawarkan untuk model ini, termasuk warna-warna baharu seperti Papaya Metallic dan Gentian Blue Metallic, serta Python Green yang eksklusif untuk Macan GTS. Pelanggan juga boleh memilih warna dari katalog Individual Colour dan Paint To Sample di bawah Porsche Exclusive Manufaktur.

Ruang dalaman pula kelihatan lebih moden dengan kehadiran panel sesentuh pada konsol tengah bagi menggantikan butang kawalan sebelum ini. Turut disertakan adalah skrin sentuh berukuran 10.9 inci dengan sistem Porsche Communication Management dan arahan suara, tombol gear baharu yang lebih pendek, jam analog serta stereng multifungsi GT Sport daripada 911.

Untuk pilihan enjin, varian asas Macan dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 265 PS dan 400 Nm, 13 PS dan 30 Nm lebih tinggi berbanding versi terdahulu.

Sementara itu, Macan S pula hadir dengan enjin biturbo 2.9-liter V6 dengan janaan kuasa sebanyak 380 PS, mewakili peningkatan sebanyak 26 PS. Ini membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 259 km/j.

Macan GTS pula mempunyai enjin yang sama dengan Macan S, namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 440 PS. Dari segi prestasi, varian ini boleh mencapai kelajuan 100 km/j dari pegun dalam 4.3 saat apabila dilengkapi dengan pakej Sport Chrono dan memecut sehingga 272 km/j.

Ketiga-tiga varian Macan dilengkapi dengan transmisi klac berkembar Porsche (PDK) tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda Porsche Traction Management (PTM).

Untuk pasaran Malaysia, Macan dan Macan S didatangkan standard dengan Premium Package yang merangkumi Porsche Active Suspension Management (PASM), tempat duduk elektrik dengan pelarasan 14 hala dan pakej memori, Power Steering Plus, Park Assist dengan kamera undur, cermin malap automatik dan sistem audio BOSE.

Harga bermula dari RM433,154 untuk Macan, RM623,593 untuk Macan S dan RM786,232 untuk Macan GTS. Model ini didatangkan dengan jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun.

Previous post

AITO M5 Huawei Menerima 6,000 Tempahan Dalam 5 Hari

Next post

Roslan Abdullah Kini Dilantik Sebagai Timbalan CEO Proton

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *