Berita Auto

Mercedes-AMG GLC 43 Coupe Tiba Di Malaysia – RM498,722

Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan GLC 43 4Matic Coupe versi facelift. Ia merupakan model keempat dalam barisan GLC facelift untuk pasaran Malaysia selepas GLC 200, GLC 300 4Matic dan GLC 300 4Matic Coupe.

Seperti sebelum ini, model ini menampilkan gandingan enjin biturbo 3.0-liter V6 dan transmisi automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift, namun kuasa telah meningkat sebanyak 23 hp kepada 390 hp hasil penggunaan pengecas turbo lebih besar dan perisian yang ditala semula.

Dengan kuasa kilas sebanyak 520 Nm dari 2,500 hingga 5,000 rpm, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat manakala kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

Pemandu boleh memilih antara lima mod pemanduan di bawah payung AMG Dynamics iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. Setiap mod mempunyai talaan respon enjin, transmisi, suspensi dan stereng yang tersendiri.

Dari segi penampilan, GLC 43 Coupe hadir dengan gril Panamericana dengan bilah krom menegak, lampu Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus dan rim AMG spoke berkembar berukuran 21 inci. Turut disertakan adalah komponen hitam berkilat yang merupakan sebahagian daripada pakej AMG Night.

Di dalam, terdapat upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Dinamica yang dihiasi jahitan kontras berwarna merah, stereng AMG dengan balutan mikrofiber Nappa, paddle shifter, serta sistem infotainmen MBUX yang boleh diakses menerusi skrin 10.25 inci dan panel instrumen 12.3 inci.

Sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic pada SUV coupe ini mempunyai pengedaran tork dengan pecahan 31 peratus untuk gandar hadapan dan 69 peratus untuk gandar belakang. Ini memberikannya pemanduan dinamik dan lebih cengkaman ketika memcut. Bahagian suspensi pula merangkumi sistem suspensi udara Air Body Control dengan sistem peredam adaptif ADS Plus.

Turut disertakan adalah pakej bantuan pemandu yang terdiri daripada beberapa teknologi keselamatan canggih seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan sistem PRE-SAFE.

GLC 43 4Matic Coupe boleh didapati pada harga RM498,722.77 (harga atas jalan tidak termasuk insurans) selepas pengecualian cukai jualan yang sah sehingga 31 Disember 2020.

Previous post

Mitsubishi Triton Adventure X Kini Dalam Warna Sun Flare Orange Pearl

Next post

Land Rover Discovery Dapat Facelift Untuk Tahun 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *