Berita Auto

Mercedes-Benz Malaysia Lancar GLC Facelift

Mercedes-Benz GLC facelift telah dilancarkan di Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu GLC 200, GLC 300 4Matic dan GLC 300 4Matic Coupe.

Model SUV premium ini tampil lebih segar menerusi lampu hadapan dan gril yang direka semula, manakala ruang dalaman turut diberi penambahbaikan seperti model-model semasa Mercedes-Benz yang lain.

Seperti sebelum ini, GLC 200 mendapat pakej luaran Off-Road yang memberikannya imej yang lebih lasak. Ini dipadankan dengan rim aloi berukuran 20 inci dan lampu LED utama LED High Performance.

Sementara itu, kedua-dua varian GLC 300 hadir dengan pakej AMG Line yang lebih sporty, Night Package, rim AMG 20 inci dan lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist bagi GLC 300 dan Adaptive Highbeam Assist Plus bagi GLC 300 Coupe.

Masuk ke bahagian dalam, semua varian GLC kini dilengkapi dengan sistem infotainmen MBUX yang merangkumi paparan media 10.25 inci dan kluster instrumen digital 12.3 inci. Turut disertakan adalah modul LTE untuk servis Mercedes Me Connect serta sistem audio Burmester (GLC 300 sahaja).

Dari segi kelengkapan, GLC 200 hadir dengan Exclusive Line, upholsteri kulit Artico, kemasan kayu oak, stereng sport dengan balutan kulit, pelaras elektrik dengan fungsi memori bagi kerusi hadapan, sokongan lumbar dan pendingin hawa automatik Thermatic.

GLC 300 pula hadir dengan kelengkapan AMG Line yang merangkumi karpet AMG, stereng AMG yang dibalut kulit Nappa dan kemasan aluminium pada papan pemuka. GLC 300 mendapat upholsteri kulit Nappa, manakala GLC 300 Coupe didatangkan dengan kemasan kulit sebenar.

Dari segi kuasa, ketiga-tiga varian hadir dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder (M264) tetapi dengan talaan kuasa berbeza. GLC 200 mendapat 197 hp dan 320 Nm, membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 217 km/j.

Bagi varian GLC 300, enjin tersebut menghamburkan 258 hp dan 370 Nm. GLC 300 memerlukan 6.2 saat untuk melakukan pecutan tersebut, manakala GLC 300 memerlukan 6.3 saat. Kedua-duanya mempunyai kelajuan maksimum yang sama iaitu 240 km/j.

Antara ciri keselamatan yang disertakan adalah tujuh beg udara, kamera 360 darjah, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist (GLC 300 sahaja) Active Parking Assist, Adaptive Brake Lights, Blind Spot Assist, Cruise Control, Pre-Safe System dan Tyre Pressure Monitoring System.

Ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), GLC boleh didapati pada harga RM299,888 bagi GLC 200, RM350,000 (anggaran) bagi GLC 300 4Matic dan RM419,888 bagi GLC 300 4Matic Coupe.

Previous post

Moto Vlog Kedua | Hari Bersejarah Pergi Ambil Delivery Moto

Next post

Volkswagen Akan Adakan Jualan Eksklusif Instagram Pada 12.12

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *