Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Audi A3 Sportback 45 TFSI e Dilancarkan di Jerman

Pada bulan Oktober lalu, Audi memperkenalkan model hibrid plug-in A3 Sportback 40 TFSI e. Kini, jenama itu kembali dengan versi yang lebih berkuasa iaitu A3 Sportback 45 TFSI e.

Secara asasnya, model baharu ini menampilkan gabungan enjin dan motor elektrik yang sama dengan Volkswagen Golf GTE. Gabungan tersebut terdiri daripada enjin 1.4-liter TFSI dengan 150 PS dan 250 Nm, dan sebuah motor elektrik dengan 109 PS (80 kW) dan 330 Nm. Kuasa keseluruhan yang dijana adalah 245 PS dan 400 Nm, iaitu 41 PS dan 50 Nm lebih tinggi berbanding versi 40 TFSI e. Menurut Audi, peningkatan kuasa tersebut dicapai menerusi talaan pada perisian sistem.

Dengan transmisi automatik enam kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda hadapan, hatchback ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 232 km/j. Untuk perbandingan, A3 Sportback 40 TFSI e melakukan pecutan tersebut dalam 7.6 saat, manakala kelajuan maksimumnya adalah 227 km/j.

Walaupun mempunyai kelebihan dari segi prestasi, jarak pemanduan elektrik berkurang dari 78 km kepada 73 km (mengikut kitaran NEDC). Bagaimanapun, kelajuan maksimum dengan kuasa elektrik sepenuhnya kekal pada 140 km/j. Pengecasan pek bateri lithium-ion berkapasiti 13 kWh itu mengambil masa kira-kira lima jam menerusi soket domestik.

Dari segi penggayaan, A3 Sportback 45 TFSI e tampil dengan kemasan hitam berkilat pada gril Singleframe, manakala lampu utamanya mempunyai signatur berbentuk E sebagai simbol pacuan hibrid plug-in. Lampu Matrix LED ditawarkan secara opsyen.

Selain itu, ia juga didatangkan standard dengan rim 17 inci. Tersembunyi di belakang rim tersebut adalah cakera berukuran 340 mm di hadapan dan 310 mm di belakang, lebih besar jika dibandingkan dengan cakera brek 40 TFSI e.

Model ini sudah berada di pasaran Jerman dengan harga EUR40,395.29 (RM199,222). Pelanggan layak untuk mendapatkan subsidi bernilai EUR6,750 (RM33,289).

Previous post

Aston Martin Perkenal DBX Bowmore Edition

Next post

Subaru Levorg Menang Anugerah Kereta Tahunan Jepun 2020-2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *