Berita Auto

Toyota Yaris Facelift Kini Dibuka Untuk Tempahan

UMW Toyota mengumumkan bahawa tempahan bagi Toyota Yaris versi facelift telah pun dibuka. Menurut syarikat itu, model hatchback itu kini mempunyai penampilan lebih segar, ciri keselamatan dipertingkat serta capaian sambungan dan keselesaan yang lebih tinggi.

Perbezaan ketara boleh dilihat pada rekaan bampar depan serba baru, yang kini turut hadir dengan aerokit serta gril depan berbeza, dan tidak lupa kehadiran lampu utama “triple bezel” LED sepenuhnya dengan lampu kabus di kedudukan baru pada bampar.

Sebagai tambahan, lampu utama “triple bezel” berkenaan turut dilengkapi dengan fungsi “Follow-Me-Home” untuk keselamatan dan kemudahan pengguna. Yaris terbaru ini akan ditawarkan dalam tiga varian bermula dengan yang paling asas; J, E dan G.

Platinum White Pearl menjadi warna baru yang ditawarkan untuk Yaris. Pelanggan bagaimanapun masih boleh memilih dua warna sedia ada iaitu Red Mica Metallic dan Silver Metallic.

Dari segi keselamatan, Yaris kini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang merangkumi sistem pra-perlanggaran (PCS) dan amaran penukaran lorong (LDA).

PCS akan memaklumkan pemandu sekiranya ia mengesan kenderaan lain dalam jarak perlanggaran dan akan membantu memperlahankan kenderaan sebagai sokongan tambahan. Sistem ini menggunakan radar dan kamera dan aktif pada kelajuan bermula 15 km/j.

Sementara itu, LDA pula menghindarkan kenderaan daripada menukar lorong secara tidak sengaja melalui peringatan melalui paparan pelbagai-info dan juga dalam bentuk bunyian. Ia berfungsi dalam kelajuan 50 km/j ke atas dan boleh dinyah-aktifkan.

Peninjau pandangan panoramik 360-darjah 3D pula memberikan penglihatan sekeliling kenderaan kepada pemandu untuk memudahkan lagi pemerhatian.

Sebagai tambahan kepada aspek keselesaan pengguna serta capaian sambungan yang lebih mudah, Yaris terbaru ini dipasangkan dengan skrin tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Varian G dan E turut mendapat sistem telematik kenderaan.

Yaris didatangkan dengan jaminan komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan. Harga jualannya akan diumumkan tidak lama lagi dan pelanggan akan terus dapat menikmati pengecualian cukai jualan bagi kenderaan CKD yang sedang berlangsung ketika ini.

Previous post

EON Kembali Jual Kereta Proton

Next post

Aplikasi Mudah Alih HondaTouch Dilancarkan Dengan 10 Ciri Menarik

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *