OMODA | JAECOO tonjol masa depan mobiliti Malaysia
Pratonton J5 dan C9 PHEV tarik perhatian di Desa ParkCity
Bayangkan sebuah karnival automotif yang bukan sekadar tentang kereta, tetapi tentang gaya hidup, teknologi, dan sedikit sentuhan masa depan. Itulah yang cuba dibawakan oleh OMODA | JAECOO Malaysia melalui acara sulung mereka di Desa ParkCity, Kuala Lumpur (21–24 Ogos 2025). Empat hari penuh ini menjadi pentas bukan sahaja untuk mendekatkan diri dengan pelanggan, tetapi juga untuk memperlihatkan dua model baharu yang dijangka jadi bualan hangat – JAECOO J5 dan OMODA C9 Triple-Motor PHEV.

J5: Kompak, moden, menyenangkan
JAECOO J5 digelar sebagai “Bintang Handalan Kegunaan Harian.” Dengan dimensi 4,380 mm panjang, 1,860 mm lebar, dan 1,650 mm tinggi, SUV kompak ini diposisikan tepat untuk pembeli segmen-B yang mencari keseimbangan antara gaya dan praktikaliti. Enjin 1.5L turbo empat silinder menghasilkan 108 kW (147 PS) dan tork 210 Nm, dipadankan dengan CVT bagi kecekapan dan respons lebih halus.
@gohedgostan Masa depan mobiliti dah tiba 🚗⚡ Karnival OMODA | JAECOO sulung di Desa ParkCity bawakan JAECOO J5 & OMODA C9 PHEV – kuasa, gaya & inovasi dalam satu acara! #OMODAJAECOO #MobilitiMasaDepan #KarnivalAuto #CapCut @OMODA JAECOO Malaysia ♬ Tropical Afrobeat Dancehall – I owe U Production Music
Kadar penggunaan bahan api 7.5 liter/100 km (WLTC) mungkin bukan terbaik dalam pasaran, tetapi cukup kompetitif untuk kelasnya. Kabin lima tempat duduk dengan kemasan kulit tiruan penuh, but 480 liter (boleh diperluas ke 1,180 liter), serta bumbung panorama 1.45㎡ menjadikan ruang dalaman lebih lapang dan praktikal. Tambahan pula, sistem ADAS Tahap 2.5 dan kamera pandang keliling 540 darjah memberi nilai tambah dalam aspek keselamatan.

C9 PHEV: Kuasa besar dalam pakej bergaya
Jika J5 mewakili kemewahan termampu, OMODA C9 PHEV pula jelas menumpukan prestasi premium. SUV coupé ini menggabungkan enjin petrol turbo 1.5L dengan tiga motor elektrik, menghasilkan kuasa tergabung 445 kW (605 PS) dan tork 915 Nm. Akselerasi 0–100 km/j hanya 4.9 saat – angka yang biasanya dikaitkan dengan kereta sports.
Bateri LFP 34.46 kWh membolehkan jarak pemanduan elektrik tulen sehingga 150 km, manakala jumlah jarak keseluruhan mencecah sekitar 1,100 km. Kadar penggunaan bahan api gabungan 1.7 liter/100 km (WLTC) juga menekankan aspek kecekapan. Sistem suspensi aktif CDC dengan tujuh mod pemanduan serta kerusi depan berpemanas dan berudara menambah keselesaan kepada SUV bertenaga besar ini.

Lebih daripada sekadar pameran kereta
Selain pratonton dua model ini, Karnival OMODA | JAECOO turut mempamerkan barisan model lain seperti J7 dan J8. Acara ini disemarakkan dengan zon makanan, pasar budaya PingMing, serta ruang permainan kanak-kanak, menjadikannya destinasi mesra keluarga. Tarikan tambahan datang daripada Makmal Pengalaman SHS yang memberi peluang kepada pengunjung untuk memahami teknologi Super Hybrid System (SHS) secara lebih mendalam.

Frankly Speaking
Terus-Terang, kita melihat OMODA | JAECOO cuba memposisikan diri bukan sekadar sebagai pemain automotif baharu, tetapi juga sebagai jenama gaya hidup. Namun cabarannya tetap besar – dari sudut penerimaan pengguna Malaysia terhadap jenama muda, hinggalah kepada keupayaan mereka membina keyakinan dalam aspek servis selepas jualan. J5 dan C9 PHEV memang mengujakan atas kertas, tetapi keberkesanannya di pasaran hanya akan terjawab bila pelanggan benar-benar merasai sendiri nilai yang dijanjikan.





No Comment