Promosi / Tawaran / Peraduan

MG4 EV Turun Harga: Sekarang RM84,999 Sahaja

Hatchback elektrik saingan Atto 2 dan e:MAS 5 kini jadi tawaran paling sukar ditolak

Pada awalnya, ramai yang memandang sinis kehadiran MG4 di Malaysia—jenama China yang agak asing, harga pula mencecah RM159,000. Tapi hari ini, dalam senyap, MG4 telah menjelma sebagai tawaran EV yang paling “masuk akal” di pasaran. RM84,999 untuk sebuah hatchback elektrik lengkap? Sukar nak abaikan.

Hanya RM84,999 – Apa Cerita?

MG4 EV Standard kini dijual pada harga RM84,999—menjadikannya lebih murah daripada BYD Atto 2 yang baru dilancarkan beberapa minggu lalu. Menariknya, walaupun lebih murah, spesifikasinya kekal kompetitif:

SpesifikasiMG4 EV Standard
Kuasa125 PS (170 kW)
Tork250 Nm
0-100 km/j7.5 saat
Kelajuan Maksimum160 km/j
Kapasiti Bateri51 kWh
Julat (WLTP)350 km
Pengecasan AC 7kW7.9 jam (10–100%)
Pengecasan DC 150kW39 minit (10–80%)

Sama ada untuk perjalanan harian ke tempat kerja atau destinasi hujung minggu, angka ini membuktikan MG4 bukan sekadar EV bajet—ianya EV praktikal.

Ruang, Gaya & Kelengkapan Yang Lengkap

Dimensi MG4 EV mencatat 4,287 mm panjang dan 2,705 mm jarak roda, menjanjikan ruang mencukupi untuk lima dewasa dan bagasi. Ciri luaran termasuk lampu utama LED projektor automatik, rim aloi ‘Aero’ 17 inci, dan spoiler belakang.

Dalam kabin pula, pengguna akan menikmati skrin infotainmen 10.25 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan iklim automatik, dan meter digital 7 inci. Segalanya dibalut dalam suasana moden dengan stereng balutan kulit dan tombol gear putar.

Keselamatan Bukan Asas—Tapi Premium

Kalau anda fikir EV murah ini berkompromi dari segi keselamatan, fikir semula. Antara ciri utama:

  • 6 beg udara SRS
  • AEB dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal
  • ACC dengan Traffic Jam Assist
  • Lane Keep Assist, Lane Departure Warning
  • Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • MG iSmart app untuk pemantauan kenderaan dari telefon pintar

Pendek kata, ini bukan sekadar kotak dengan bateri.

Jaminan Panjang, Keyakinan Tambahan

Untuk pembeli EV kali pertama, kebimbangan utama selalu pada bateri. MG menyertakan jaminan 8 tahun / 180,000 km untuk bateri (termasuk pertukaran satu-ke-satu jika kesihatan bateri turun bawah 70%), dan jaminan kenderaan 7 tahun / 150,000 km. Itu sendiri sudah memberikan keyakinan besar kepada pembeli EV baharu.

Frankly Speaking

Terus-Terang, kita tidak akan puji membuta tuli. MG4 pada RM159k dulu terlalu hampir dengan pemain premium, menjadikan ia sukar untuk disyorkan. Tapi pada RM84,999? Ia mengubah perbualan. Bukan sahaja kerana harga—tetapi kerana apa yang anda dapat pada harga itu. Ia lengkap, bergaya, dan kini sangat mampu milik. Namun, kita perlu lihat respons selepas jualan SAIC Motor Malaysia. EV ini berpotensi besar, tapi servis dan sokongan pelanggan akan tentukan sama ada ia akan jadi cerita kejayaan atau sekadar ‘flash in the pan’.
 
Sumber: dsf.my

Previous post

LEPAS Sasar Pasaran Malaysia, Lima Model Bakal Menyusul

Next post

Proton Saga Cross Terus‑Terang: Datang Atau Hanya Hangat Diperkatakan?

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *