Leapmotor C10 Kini Lebih Nilai, Lebih Praktikal
Harga kekal RM125,000, dengan frunk baharu, pengecas lebih laju dan sentuhan kemasan dalaman diperhalusi.
Mungkin tidak ramai sedar, tetapi dalam senyap, jenama EV dari China ini sudah mula mencabar jenama-jenama besar dari segi reka bentuk, praktikaliti dan harga. Terbaru, Leapmotor Malaysia mengumumkan penambahbaikan untuk model C10 tahun 2025 – yang masih dijual pada harga RM125,000 – sempena sambutan Hari Bapa dan juga pengiktirafan sebagai jenama EV paling pesat berkembang di China pada 2025.

Naik Taraf Yang Bermakna
Dari luar, C10 masih mengekalkan gayanya yang ringkas dan moden, tetapi model 2025 kini dilengkapi dengan beberapa tambahan praktikal. Pertama sekali, sebuah frunk (ruang simpanan di hadapan) berkapasiti 32 liter kini disediakan – sangat sesuai untuk simpanan barang kecil seperti kabel pengecas, kasut atau barangan harian.
Ciri keselamatan dan keselesaan juga ditingkatkan dengan sistem pemantauan tekanan tayar terus (Direct TPMS) serta kit pam angin tayar bermotor, menjadikan C10 lebih bersedia untuk pemanduan jarak jauh. Selain itu, penutup ruang but (boot tonneau cover) juga kini disertakan bagi melindungi barangan daripada penglihatan luar.
Pengecas Lebih Pantas, Lebih Jimat Masa
C10 MY2025 kini dilengkapi pengecas OBC 11 kW – naik taraf daripada 6.6 kW sebelumnya. Dengan ini, masa pengecasan AC dari 30% ke 80% dipendekkan daripada 6 jam kepada hanya 4 jam, sesuatu yang sangat dihargai dalam dunia EV hari ini di mana masa sama pentingnya dengan jarak.
Rekaan Dalaman Lebih Elegan
Bagi warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey, kemasan dalaman Midnight Aurora digantikan dengan rona Hitam yang lebih kemas. Manakala untuk warna Glazed Green, kini ditawarkan dengan padanan eksklusif Camel Brown – menggantikan Criollo Brown. Semua varian menggunakan fabrik mesra bayi jenis silikon mengikut piawaian OEKO-Tex Standard 100®.
Dibina Dengan Teknologi Maserati
Enjin elektrik Leapmotor C10 digandingkan dengan bateri LFP 69.9 kWh, menghasilkan kuasa 214 hp dan jarak pemanduan sejauh 424 km (kitaran WLTP). Dinamik pemanduan SUV ini dikatakan dioptimumkan oleh jurutera Maserati – satu kolaborasi yang memberi nilai tambah sebenar untuk harga segmen-C ini.
| Spesifikasi Penting | Butiran |
|---|---|
| Kuasa Maksimum | 214 hp |
| Jarak (WLTP) | 424 km |
| Kapasiti Bateri | 69.9 kWh (LFP) |
| Masa Caj AC 30–80% | 4 jam (dengan OBC 11 kW) |
| Harga | RM125,000 |
| Jaminan | 6 tahun/150,000 km* + 8 tahun/160,000 km bateri |
*Nota: Jaminan termasuk 4 tahun pengeluar + 2 tahun lanjutan.
Rekod Jualan & Aspirasi Global
Dari Januari hingga Mei 2025, Leapmotor telah menjual 173,658 unit di China sahaja. C10 turut memenangi anugerah reka bentuk antarabangsa seperti US Muse Design Awards dan CMF Design Awards, menjadikannya antara model SUV elektrik paling berdaya saing dari segi estetika dan fungsi.
Leapmotor kini juga disokong oleh usaha sama global melalui Leapmotor International yang diterajui oleh Stellantis, kumpulan automotif gergasi yang turut memiliki jenama seperti Maserati, Peugeot dan Jeep.

Frankly Speaking
Terus-Terang, kami melihat Leapmotor C10 sebagai satu ancaman senyap kepada pemain EV mapan – bukan kerana jenama, tetapi kerana apa yang ditawarkan pada harga RM125,000. Peningkatan seperti pengecas pantas dan kelengkapan praktikal bukan sekadar kosmetik, tetapi memperkukuh nilai sebenar SUV ini untuk pasaran Malaysia. Namun, walaupun ia datang dengan kelengkapan premium dan rekaan menarik, persoalan terbesar tetap – sejauh mana selepas jualannya mampu bersaing dengan nama-nama besar? Hanya masa dan servis selepas jualan akan menentukan.







No Comment