GAC M8 PHEV Dilancar Rasmi Di Malaysia Dari RM328,800
Sebuah MPV Mewah Dengan Teknologi Hibrid Pintar
Ketika pasaran tempatan semakin menerima gelombang kenderaan elektrifikasi, GAC Motor kini memperkenalkan satu lagi tawaran premium yang menggabungkan kemewahan, kuasa, dan kecekapan – GAC M8 PHEV. Dilancarkan secara rasmi oleh WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) selaku pengedar tunggal rasmi GAC di Malaysia, MPV hibrid plug-in ini hadir dalam dua varian – Premium (RM328,800) dan Luxury (RM388,800).

Kuasa & Jarak Pemanduan Mengagumkan
Di bawah bonet, M8 PHEV menampilkan enjin 2.0-liter pengecas turbo yang digandingkan dengan transmisi hibrid DHT 2-kelajuan dan motor elektrik. Gabungan ini menghasilkan 372PS dan 630Nm tork, menjadikannya antara MPV paling berkuasa dalam segmennya. Ia turut dilengkapi bateri 25.57kWh dan tangki bahan api 56 liter, menawarkan jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,038km dengan satu cas penuh dan satu tangki bahan api.
M8 PHEV juga menawarkan tiga mod pemanduan pintar – Intelligent Hybrid, All-Electricity First, dan Power Preservation, membolehkan pemandu menyesuaikan gaya pemanduan mengikut keperluan serta keadaan jalan.

Keselesaan Bertaraf Pertama
M8 PHEV bukan sekadar berkuasa, malah dibina untuk keselesaan mutlak. Sistem Adaptive Vehicle Dynamics Control dan Electromagnetic Damping Suspension memastikan pemanduan kekal stabil serta lembut walaupun di jalan tidak rata. Di bahagian dalam, suasananya menyerlahkan kemewahan sebenar – kerusi kulit semi-aniline, rel tempat duduk baris kedua dan ketiga dengan pelarasan sepanjang 480mm, serta 108 titik penebat bunyi menjadikan kabinnya antara paling senyap dalam kelasnya.
Sistem pendingin udara unik dengan Cool-Sense Technology pula menyalurkan hawa dingin tanpa tiupan terus ke tubuh, menghasilkan pengalaman “angin tanpa hembusan” yang lebih semula jadi dan menenangkan.

Reka Bentuk & Keselamatan Canggih
Bahagian luar GAC M8 PHEV menonjol dengan gril besar berinspirasikan “Lion Face” dan lampu utama LED “Awakening Eye” yang garang serta moden. Ia turut dilengkapi rim aloi 18 inci dengan penutup tengah berputar sendiri (self-levelling wheel cap) – satu sentuhan yang biasanya hanya ditemui pada MPV mewah kelas atas.
Aspek keselamatan juga menjadi tumpuan utama. M8 PHEV dilengkapi beg udara belakang cermin belakang – satu inovasi unik yang dipatenkan oleh GAC, menjadikannya sistem keselamatan 360° sebenar. Ia turut disokong oleh Level 2 Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dan Full Automatic Parking Assist (FAPA) untuk pengalaman memandu lebih tenang dan yakin.

Nilai Tambah & Waranti Menyeluruh
Bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025, GAC menawarkan penyelenggaraan percuma selama dua tahun serta kabel pengecas mudah alih percuma bernilai keseluruhan RM3,800. Tambahan pula, pembeli menikmati waranti kenderaan 5 tahun atau 150,000km dan waranti bateri 8 tahun atau 150,000km, bergantung yang mana tiba dahulu.

Komitmen GAC Di Malaysia
Menurut Tan Keng Meng, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, pelancaran ini menandakan satu mercu tanda baharu dalam strategi elektrifikasi GAC di Malaysia. “GAC M8 PHEV melambangkan puncak teknologi hibrid kami – menggabungkan inovasi, kemewahan dan keselesaan untuk pelanggan moden,” katanya ketika pelancaran rasmi di Kuala Lumpur. WTCA kini memiliki 22 bilik pameran dan 45 pusat servis di seluruh negara untuk menyokong pelanggan baharu.
Model ini akan dipamerkan di Johor Mid Valley SouthKey (5–9 November) dan Malaysia Car of the Year Showcase di 1 Utama (12–16 November) sebagai sebahagian kempen jelajah perdananya.
Terus-Terang, kita melihat GAC M8 PHEV sebagai satu pilihan serius dalam dunia MPV premium hibrid. Dengan gabungan jarak pemanduan menakjubkan dan kabin mewah, ia mampu mencabar dominasi jenama Jepun yang telah lama bertapak. Namun, cabaran sebenar GAC di Malaysia ialah membina keyakinan pengguna jangka panjang – sesuatu yang hanya masa dan pengalaman selepas jualan boleh buktikan.























No Comment