Audi Q7 CKD: Dari Cameron Highlands ke D’Bilut Agro Farm
SUV mewah tujuh tempat duduk ini kini dipasang di Malaysia, menawarkan keseimbangan kuasa, keselesaan dan praktikaliti untuk percutian keluarga serta escapade berdua.
Audi Q7, kini dipasang di Pekan, Pahang, bukan sekadar membawa lencana empat cincin pada gril besar yang ikonik. Perjalanan kami bersama SUV Audi Q7 CKD ini ke Cameron Highlands bersama anak-anak, serta trip santai ke D’Bilut Agro Farm di Raub hanya berdua, membuka ruang untuk benar-benar memahami bagaimana sebuah kenderaan besar premium ini berfungsi dalam dua dunia berbeza: riuh keluarga dan tenang berpasangan.

Rupa Luaran: Hadir Dengan Keyakinan
Q7 tampil dengan dimensi besar dan garisan tajam yang jelas menzahirkan statusnya. Lampu Matrix LED memberi wajah moden, rim 22 inci pula menambah karakter teguh. Warna Glacier White yang kami pandu menampakkan kesan bersih, namun ketika perbualan ringan bersama anak-anak, pilihan warna lain turut dibahaskan. Julisha gemarkan Waitomo Blue kerana lebih fotogenik, Zack pula lebih cenderung kepada Mythos Black kerana nampak “serius”, manakala Aida menganggap Daytona Grey lebih praktikal.



Ruang Dalaman: Dwi-Dunia — Keluarga & Pasangan
Ketika menuju Cameron Highlands, tujuh tempat duduk digunakan sepenuhnya. Barisan ketiga menampung Julisha dan Zack dengan selesa, manakala Ivan lebih gemar ruang lega di barisan kedua. Aida, di kerusi hadapan, langsung tidak menyembunyikan keterujaannya terhadap fungsi urutan dan pengudaraan kerusi.
Dalam perjalanan ke D’Bilut Agro Farm pula, hanya kami berdua. Suasana kabin terasa lebih tenang, dan ketika itu barulah kami benar-benar menghargai kualiti kulit Valcona, sistem pencahayaan ambien, serta sistem bunyi Bang & Olufsen 19 pembesar suara. Muzik berlatar sambil melintasi ladang hijau di Raub memberi pengalaman memandu yang hampir terasa seperti adegan dalam filem.

Pemanduan: Antara Riuh dan Tenang
Enjin 3.0 liter V6 TFSI mild-hybrid dengan 340 PS dan 500 Nm memberikan kuasa konsisten di kedua-dua perjalanan. Dalam trip keluarga ke Cameron, laluan mendaki dan berliku tidak menimbulkan kerisauan. Stereng semua roda menjadikan SUV ini terasa lebih kecil daripada dimensinya, dan suspensi udara adaptif memastikan penumpang tidak mengeluh meskipun melalui jalan bergelombang.
Ketika ke Raub, pemanduan lebih santai. Di lebuh raya, Q7 meluncur dengan tenang, hampir senyap. Aida menegaskan bahawa inilah perbezaan paling ketara berbanding SUV lain yang pernah kami pandu: gabungan kuasa dan kesenyapan yang menenangkan.


Teknologi & Keselamatan: Sentiasa Menyokong
Sistem Audi Pre Sense, Adaptive Cruise Control dan kamera pandangan sekeliling bekerja tanpa terasa terlalu mendesak. Ketika parkir di kawasan sempit kebun strawberi Cameron atau parkir tanah merah di D’Bilut, teknologi ini memberikan keyakinan. Ivan pula amat tertarik dengan butiran kecil seperti “power latching doors” yang membuat pintu tertutup kemas tanpa perlu dibanting.

Praktikaliti: Bagasi dan Fleksibiliti
Kapasiti but 780 liter dengan tempat duduk tegak, dan sehingga 1,908 liter jika dilipat, nyata menyokong perjalanan keluarga. Beg pakaian, bakul strawberi, dan hasil belian kecil dari ladang teh semuanya muat tanpa kompromi. Untuk perjalanan berdua, ruang itu terasa luas berlebihan, namun memberi fleksibiliti untuk membawa pulang hasil tani dari D’Bilut tanpa risau.

Realiti CKD: Nilai Untuk Pasaran Malaysia
Dengan harga bermula sekitar RM459,990, Audi Q7 CKD lebih mudah didekati berbanding model import penuh. Persoalan tentang kualiti pemasangan tempatan terjawab sepanjang dua perjalanan ini — tiada bunyi asing, kemasan kekal rapi, dan pengalaman pemanduan sama sekali tidak terasa kompromi.

Frankly Speaking
Terus-Terang, Audi Q7 CKD memberi kami peluang merasai dua pengalaman berbeza. Bersama anak-anak, ia membuktikan dirinya sebagai SUV keluarga yang benar-benar praktikal, mampu membawa semua penumpang dengan selesa sambil menawan jalan berliku Cameron Highlands. Bersama Aida, perjalanan ke D’Bilut Agro Farm mendedahkan sisi lain — sebuah kenderaan yang cukup tenang, mewah, dan intim untuk berduaan.
Bukan semua SUV mampu berfungsi dengan baik dalam kedua-dua senario ini. Dimensinya besar, tetapi tidak menyusahkan; teknologinya banyak, tetapi tidak mengganggu. Walaupun kos penyelenggaraan mungkin menjadi faktor yang perlu difikirkan, keseluruhan pakej yang ditawarkan Q7 CKD menjadikannya antara pilihan paling seimbang dalam kelasnya.
SUV ini bukan sekadar simbol prestij, tetapi juga kenderaan yang benar-benar boleh dipakai dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia moden. Dari bukit teh ke ladang agro, Q7 menunjukkan bahawa ia bukan sekadar kelihatan gah, tetapi juga praktikal dengan jiwa serba boleh.

































































No Comment