Berita Auto

EV6 Baharu Patut Sampai Malaysia Segera

Kia beri facelift besar – lebih kuasa, lebih pintar, lebih masuk akal?

Tiada siapa lupa bila Kia EV6 pertama kali tiba di Malaysia sekitar 2022. Sebagai produk elektrik pertama selepas Bermaz ambil alih jenama Kia, ia tampil dengan gaya berani, prestasi laju, dan teknologi terkini. Tapi satu perkara yang membantutkan – harganya mencecah RM300,000. Walaupun spesifikasinya hebat, Tesla dan BYD pada waktu itu lebih menggoda dari segi nilai.

Kini, versi facelift EV6 sudah pun diumumkan secara rasmi di Korea Selatan dan pasaran global sejak suku pertama 2025. Tapi tiada bayangan langsung sama ada versi baharu ini akan dibawa masuk oleh Kia Malaysia. Dan itu satu kerugian besar jika ia dibiarkan tergantung begitu sahaja.

Reka Bentuk Baharu, Identiti Lebih Matang

Model facelift ini hadir dengan pendekatan rekaan baharu yang Kia panggil sebagai “Modern Contrast.” Ia memperkenalkan grafik lampu LED lebih agresif, rim 21-inci GT yang bergaya, dan aerodinamik yang diperhalusi untuk bunyi kabin lebih senyap. Ciri baharu seperti pengecaman cap jari, pencahayaan ambien lebih imersif, dan tempat duduk ‘bucket’ suede sintetik memberi rasa mewah yang jarang pada kereta EV segmen ini.

Lebih Jauh, Lebih Laju, Lebih Pintar

Kia EV6 GT baharu menggunakan bateri 84kWh generasi keempat – 8.5% lebih besar daripada sebelumnya. Ini memberi jarak pemanduan hingga 449km mengikut kitaran WLTP. Teknologi seni bina 800V pula membolehkan pengecasan dari 10% ke 80% dalam hanya 18 minit melalui pengecas pantas 258kW.

Dari segi prestasi, model GT kini menghasilkan 641hp dan 770Nm melalui sistem dwi-motor AWD. Pecutan 0–100km/j kini hanya 3.5 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 259km/j. Tambahan baharu yang menarik ialah sistem “Virtual Gear Shift” yang mencipta ilusi pertukaran gear 6-kelajuan untuk pengalaman pemanduan lebih melibatkan, disertai bunyi dan visual yang mensimulasikan transmisi sebenar.

Lebih Selesa, Lebih Senyap, Lebih Peka

Kia turut melakukan rombakan pada casis—penalaan semula suspensi dan damper untuk keseimbangan antara kawalan dan keselesaan. Bahan penyerap bunyi ditambah, dibantu dengan tayar khas dan sistem pembatalan bunyi bising motor yang dikuasakan AI. Reka bentuk kerusi belakang juga diubah suai untuk lebih ergonomik.

Teknologi Serba Baharu Yang Logik

Sistem infotainmen kini dinaik taraf kepada platform baharu Kia ccNC, yang menyokong over-the-air updates, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, dan fungsi Vehicle-to-Load (V2L). Ciri keselamatan aktif kekal lengkap seperti dalam model terdahulu.

Spesifikasi PentingEV6 GT Facelift
Kuasa641hp
Tork770Nm
0-100 km/j3.5 saat
Kelajuan maksimum259 km/j
Kapasiti bateri84kWh
Julat WLTP449km
Masa pengecasan 10–80%18 minit
Harga di Korea (anggaran)RM290,000+

Frankly Speaking
Terus-Terang, kita tak boleh nafikan bahawa facelift EV6 ini wajar diberi peluang kedua di Malaysia. Dengan peningkatan dalam julat, prestasi, serta reka bentuk yang lebih sofistikated, ia mampu bertanding semula dalam pasaran EV tempatan yang kini makin matang. Tapi untuk berjaya, ia mesti diposisikan semula—bukan hanya dari segi harga, tapi juga strategi promosi dan pemahaman pasaran. Kami harap Kia Malaysia tidak berlengah lagi.


Previous post

Maserati Folgore Mendarat: Kilat Itali Kini Elektrik Sepenuhnya

Next post

Mazda CX-60 Bakal Tiba: SUV Premium Jepun Harga RM198,900

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *