Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Tesla Model S Dikemas Kini Untuk 2021

Tesla Model S sudah berada di pasaran sejak 2012 dan kini tiba masanya sedan elektrik itu menerima kemas kini besar-besaran bagi memastikan ia mampu bersaing dengan model-model EV baharu.

Bermula dengan bahagian luaran, Model S kini menampilkan rekaan bampar hadapan dan diffuser belakang baharu yang menjadikan ia “kereta produksi paling aerodinamik di dunia”, menurut Tesla. Selain itu, terdapat juga rim baharu berukuran 19 dan 21 inci, serta trim hitam seperti yang dilihat pada Model Y.

Bagaimanapun, sebahagian besar daripada kemas kini boleh dilihat pada bahagian dalaman, di mana terdapatnya papan pemuka baharu yang menempatkan sebuah paparan berukuran 17 inci dengan resolusi 2200X1300. Menurut Tesla, paparan tersebut mempunyai kuasa pemprosesan melebihi 10 teraflop yang membolehkan permainan video yang setara dengan konsol masa kini. Dengan paparan untuk tempat duduk belakang dan pengawal wayarles, penumpang boleh bermain dari mana-mana tempat duduk.

Satu lagi ciri baharu adalah roda stereng yang kelihatan seperti ‘yoke’ pesawat. Tesla juga tidak lagi menyertakan batang lampu isyarat dan pengelap cermin, bermakna fungsi-fungsi ini hanya boleh diaktifkan menerusi bahagian kiri dan kanan stereng.

Selain itu, kerusi belakang juga telah direka semula bagi menghasilkan ruang lega kaki dan kepala yang lebih luasa. Ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah sistem pendingin hawa tiga zon dengan penapis HEPA, fungsi penyejuk tempat duduk hadapan, Bluetooth, pengecas wayarles dan USB-C, serta sistem audio berkapasiti 960 watt dengan 22 pembesar suara.

Model S boleh didapati dalam tiga varian iaitu Long Range, Plaid dan Plaid+. Dijual pada harga $72,990 (RM295,280), varian Long Range mempunyai dua motor elektrik dan pacuan semua roda (AWD) yang menghasilkan 670 hp, membolehkannya memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.1 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Varian ini boleh dipandu sejauh 663 km dengan satu cas penuh.

Selain AWD, varian Plaid yang berharga $112,990 (RM457,100) menampilkan tiga buah motor elektrik dengan kuasa maksimum mencecah 1,020 hp. Ia boleh mencapai kelajuan 96 km/j dalam 1.99 saat, dengan jarak pemanduan sejauh 628 km. Varian tertinggi iaitu Plaid+ mempunyai lebih 1,100 hp, masa pecutan suku batu kurang sembilan saat dan jarak pemanduan sejauh 836 km. Ia ditawarkan pada harga $132,990 (RM538,010).

Previous post

Mazda CX-30 Mendapat Enjin Petrol Skyactiv-G Turbo

Next post

Toyota Mendahului Jualan VW Group Tahun Lalu Dengan Lebih 200000 Unit

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *