JETOUR Perkenal Logo Baharu, Isyarat Fasa Travel+ Di Malaysia
Identiti visual baharu diinspirasikan aksara “行”, menandakan hala tuju mobiliti dan evolusi jenama menjelang 2026
JETOUR kini melangkah ke fasa seterusnya dalam perjalanan jenamanya di Malaysia dengan memperkenalkan logo baharu yang lebih simbolik, lebih berlapis makna, dan selari dengan aspirasi jangka panjangnya sebagai jenama hibrid off-road bertaraf global. Langkah ini bukan sekadar soal estetika, tetapi mencerminkan kematangan strategi serta keyakinan jenama terhadap pasaran tempatan yang semakin kompetitif dan matang
Logo baharu ini diilhamkan daripada aksara Cina “行” (xing), yang membawa maksud pergerakan, kemajuan dan tindakan berterusan. Menariknya, inisial J dan T digabungkan secara halus dalam bentuk visual yang menyerupai aksara tersebut, menghasilkan identiti yang bukan sahaja moden tetapi juga sarat dengan simbolisme. Ia seolah-olah mencerminkan perjalanan tanpa henti, sama ada di jalan bandar yang teratur atau laluan lasak yang mencabar.
Dari sudut reka bentuk, logo ini tampil lebih dinamik dan bersifat terbuka. Garis dan bentuknya memberi gambaran persimpangan kemungkinan, selari dengan falsafah JETOUR bahawa setiap perjalanan berpotensi membuka pengalaman baharu. Ini selari dengan DNA jenama yang tidak mahu kenderaan dilihat sekadar alat pengangkutan, tetapi sebagai rakan perjalanan yang menyokong gaya hidup aktif dan eksplorasi.
Pengenalan logo ini juga mengukuhkan lagi strategi “Travel+” yang menjadi teras JETOUR sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2024. Pendekatan ini menggabungkan kepakaran automotif dengan pemahaman mendalam terhadap budaya perjalanan dan pelancongan. Dari sudut produk, Travel+ menekankan kemampuan merentas pelbagai jenis laluan, ruang dalaman praktikal, kawalan pintar dan pendekatan mesra alam. Dari sudut gaya hidup pula, ia diperluaskan melalui aksesori, penyesuaian kenderaan dan ekosistem sokongan yang membolehkan pengguna membentuk pengalaman perjalanan mengikut keperluan sendiri.
Malaysia dipilih sebagai antara pasaran penting bagi pengenalan identiti baharu ini bukan secara kebetulan. Kepelbagaian landskap, daripada lebuh raya hingga laluan luar bandar, serta budaya melancong yang kuat menjadikan negara ini medan ujian yang relevan untuk falsafah Travel+. Dalam konteks ini, logo baharu berfungsi sebagai penanda visual kepada peranan Malaysia sebagai hab strategik JETOUR di Asia Tenggara.
Menjelang 2026, JETOUR turut mengesahkan perancangan untuk memperluas portfolio produknya di Malaysia, termasuk pengenalan model-model daripada T-Series. Ini memberi isyarat bahawa perubahan identiti visual ini berjalan seiring dengan perancangan produk dan strategi pasaran yang lebih besar, bukan sekadar pembaharuan kosmetik.
Terus-Terang, kami melihat pengenalan logo baharu ini sebagai langkah yang perlu, tetapi bukan penentu kejayaan mutlak. Identiti visual yang kuat hanya akan bermakna jika disokong oleh produk yang konsisten, rangkaian sokongan selepas jualan yang kukuh, serta keupayaan jenama menunaikan janji Travel+ dalam penggunaan sebenar. Logo boleh membuka bab baharu, namun pengalaman pemilikan sebenar tetap akan menentukan bagaimana bab itu akhirnya dibaca oleh pengguna Malaysia.
No Comment