Apa-e? Bila e-POWER Cuba Dijelaskan Dengan Cara Berbeza
Kempen komunikasi Nissan ini cuba memecahkan kekeliruan tentang e-POWER menjelang ketibaan Serena e-POWER di Malaysia, tanpa jargon teknikal yang memeningkan.
Pagi itu, soalan yang sama berulang dalam pelbagai nada — apa sebenarnya e-POWER? Bukan sekadar di media sosial, malah di kedai kopi, dalam kereta e-hailing, dan juga di ruang pameran. Nissan sedar satu perkara: teknologi baharu bukan sukar kerana ia kompleks, tetapi kerana cara ia diterangkan sering terlalu teknikal. Dari situ lahirnya kempen Apa-e?, satu pendekatan komunikasi yang lebih santai, dekat dan mudah difahami oleh orang biasa, tanpa menurunkan martabat teknologi itu sendiri .
Bukan Iklan, Tapi Terjemahan
Kempen Apa-e? bukan cubaan untuk “menjual” kereta semata-mata. Ia lebih kepada usaha menterjemah konsep e-POWER ke dalam bahasa harian. Video dan iklan radio yang digunakan tidak bercakap tentang rajah teknikal atau istilah kejuruteraan. Sebaliknya, ia meniru reaksi spontan orang ramai apabila pertama kali mendengar istilah itu — ringkas, sedikit keliru, tetapi ingin tahu.
Pendekatan ini disengajakan. e-POWER bukan sistem hibrid konvensional dan juga bukan EV tulen. Jika diterangkan dengan kerangka lama, kekeliruan pasti berlaku. Jadi Nissan memilih untuk bermula dengan soalan, bukan jawapan.
@gohedgostan Karaoke dalam kereta, tapi bukan sekadar nyanyi. Bila perjalanan jadi pentas, yang penting semua masuk cerita. #Apae #ePOWER #nissanmalaysia ♬ original sound – Gohed Gostan
Apa Sebenarnya e-POWER Ini
Secara asasnya, e-POWER ialah sistem pacuan yang digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Enjin petrol yang ada tidak memacu roda langsung. Fungsinya hanya satu: menjana tenaga elektrik untuk mengecas bateri dan menyokong motor apabila diperlukan. Dari sudut rasa pemanduan, ia lebih hampir kepada EV — tork segera, respons linear, dan pemanduan yang senyap pada kelajuan rendah.
Perbezaannya, pemandu tidak perlu bergantung kepada pengecas luaran. Tiada isu mencari stesen pengecas, tiada kebimbangan jarak perjalanan. Dalam konteks Malaysia yang infrastrukturnya masih berkembang, ini satu kompromi yang praktikal antara elektrifikasi dan realiti penggunaan harian.
Kenapa Serena e-POWER Penting
Kempen ini juga menjadi jambatan kepada ketibaan All-New Nissan Serena e-POWER, model e-POWER kedua Nissan di Malaysia selepas Kicks e-POWER. Serena bukan model niche. Ia MPV keluarga, digunakan untuk perjalanan jauh, kegunaan harian, dan kadangkala kerja. Dengan membawa teknologi e-POWER ke segmen ini, Nissan secara senyap menguji penerimaan teknologi elektrik dalam bentuk yang paling relevan dengan keluarga Malaysia.
Bagi pembeli MPV, kelancaran pemanduan, kecekapan bahan api dan keselesaan lebih penting daripada angka prestasi semata-mata. Di sinilah e-POWER cuba menonjol — bukan sebagai teknologi futuristik yang jauh dari realiti, tetapi sebagai sistem yang menyelesaikan masalah sebenar pengguna.
Spesifikasi Asas Sistem Nissan e-POWER (Malaysia)
| Perkara | Perincian |
|---|---|
| Jenis pacuan | Motor elektrik 100% |
| Peranan enjin petrol | Menjana tenaga elektrik sahaja |
| Keperluan pengecas luaran | Tidak diperlukan |
| Rasa pemanduan | Tork segera, respons linear |
| Ciri tambahan | Brek regeneratif, single-pedal driving |
| Emisi ekzos | Lebih rendah berbanding ICE setara |
Nota penting: Spesifikasi terperinci Serena e-POWER untuk pasaran Malaysia akan diumumkan secara rasmi menjelang pelancarannya. Buat masa ini, Nissan menekankan prinsip operasi dan pengalaman pemanduan, bukan angka mutlak.

Uji Dulu, Faham Kemudian
Menariknya, Nissan tidak berhenti pada kempen visual dan audio. Sesi pandu uji hujung minggu di bilik pameran terpilih dijadikan sambungan kepada kempen ini. Logiknya mudah: e-POWER lebih mudah difahami melalui rasa pemanduan berbanding penerangan lisan. Sekali pedal ditekan, perbezaannya jelas.
Terus-Terang, kami melihat Apa-e? sebagai langkah komunikasi yang lebih jujur berbanding kebiasaan industri. Ia tidak menjanjikan revolusi, tidak juga memaksa naratif “masa depan”. Sebaliknya, ia mengakui kekeliruan pengguna dan cuba menjawabnya secara berperingkat. Sama ada e-POWER sesuai untuk semua orang masih bergantung kepada corak penggunaan dan jangkaan individu. Tetapi sebagai jambatan antara enjin pembakaran dalaman dan elektrifikasi penuh, pendekatan Nissan kali ini kelihatan lebih realistik daripada sekadar slogan.
No Comment