Pandu Uji

PANDU UJI HYUNDAI SANTA FE 2.5 T-GDI CALLIGRAPHY

GAYA BERANI, NYAMAN & LEBIH MATANG DI MALAYSIA

Ada kereta yang kita pandu, dan ada kereta yang kita “alami.” Hyundai Santa Fe generasi baharu ini jatuh dalam kategori kedua. Ia bukan sekadar SUV tujuh tempat duduk yang besar dan berotot, tetapi sebuah pakej yang cuba menyatukan reka bentuk berani, teknologi maju dan keselesaan tahap premium — tanpa perlu melampau dari segi harga. Dari mula saya mengambilnya di TRX, membawa naik ke Genting Highlands, meredah jalan kampung on the way, sehinggalah ke tengah bandar Kuala Lumpur, karakter SUV ini semakin jelas.

Titik mula itu penting. Santa Fe generasi ini tampil dengan bahasa rekaan yang benar-benar berubah. Garis badan yang kotak, sisi yang tegap, dan lampu hadapan serta belakang yang membentuk huruf ‘H’. Ia bukan sahaja nampak modernist, tetapi mantap dan tegas. Tidak ramai berani bermain dengan siluet sebegitu dalam segmen keluarga — Hyundai buat, dan ia menjadi. Tengok sahaja dari jauh, rupa Santa Fe dah cukup untuk tarik perhatian.

Di kawasan bandar seperti sekitar LRT, Tugu Negara dan jalan terbuka menuju Gohtong Jaya, Santa Fe terasa seperti gabungan SUV urban dan adventurer. Tinggi, stabil dan senang dikawal meskipun dimensinya besar. Ruang cermin luas memberi pandangan jelas, manakala stereng ringan cukup mesra untuk manuver di tempat sempit. Lampu ‘H-Signature’ pula bukan sekadar gaya, tetapi memberi identiti kuat — malam atau siang, anda tahu itu sebuah Santa Fe.

Masuk ke dalam kabin, Santa Fe Calligraphy menukar seluruh vibe. Rekaan dalaman yang mendatar, dua skrin besar, susunan butang yang kemas, material yang terasa premium, dan ruang yang sangat lapang. Dua perkara yang terus menangkap perhatian saya: dual wireless charger dan UV-C sterilization tray. Jujurnya, dua ciri ini jauh lebih berguna daripada sekadar gimik. Dua telefon boleh dicas serentak — sesuatu yang pembeli keluarga pasti hargai. Dan UV-C tray? Letak telefon, tunggu 10 minit — siap dinyahkuman. Ini ciri yang patut jadi standard industri, bukan pilihan.

Keselesaan pula memang kuat. Tempat duduk hadapan ada Relaxation Mode, dan baris kedua cukup luas untuk membuat rakan saya, Ghaffar — si “Monkey King” dari Beijing Opera — terus tertidur sepanjang perjalanan. Bahagian kabin senyap, vibrasi rendah, dan sistem suspensi Santa Fe berjaya seimbangkan antara lembut dan stabil. Ada sedikit rasa “float” pada kelajuan rendah bila jalan bergelombang, tetapi tidak sampai mengganggu. Bila laju, SUV ini kembali teguh dengan cengkaman yang yakin.

Bercakap soal yakin, teknologi Hyundai SmartSense memainkan peranan besar. Blind Spot View Monitor (BVM) adalah antara ciri terbaik dalam segmennya. Bila memberi isyarat, paparan kamera muncul terus dalam kluster instrumen, menunjukkan laluan sebenar di titik buta. Ia bukan sekadar sistem amaran — ini visual terus. Untuk pemandu Malaysia, yang sering berdepan lorong sempit dan penunggang motosikal yang muncul tiba-tiba, ciri ini sangat membantu.

Remote Smart Parking Assist (RSPA) pula, walaupun hanya melalui demonstrasi video agak mengkagumkan. Fungsi ini membolehkan kereta bergerak ke depan atau belakang menggunakan smart key sahaja. Dalam realiti tempat parkir Malaysia yang rapat dan penuh, ciri ini sangat relevan.

Di kawasan desa pula, Santa Fe menunjukkan sisi lain. Walaupun bukan SUV hardcore 4×4, Santa Fe dengan sistem H-TRAC AWD dan enjin 2.5 T-GDI 281PS/422Nm memberi cengkaman dan kuasa yang mencukupi untuk laluan berbatu, tepi sungai dan permukaan tidak rata. Tidak ada dramatik — ia hanya buat kerja dengan tenang. Untuk keluarga yang suka keluar ke kawasan hijau hujung minggu, ia cukup mampu.

Dari sudut penggunaan harian, penggunaan bahan api real-world boleh mencecah angka yang sedikit tinggi bila banyak berhenti-gerak, tapi itu sudah dijangka untuk SUV besar dengan enjin turbo petrol. Di lebuh raya, ia jauh lebih efisien dan stabil.

Hyundai Malaysia menambah nilai dengan pelan myHyundaiCare, termasuk kadar faedah rendah 0.8%, lapan kali servis percuma, lifestyle partner rewards, dan bonus hujung tahun sehingga RM8,000 — satu strategi yang menjadikan pemilikan SUV ini lebih manis.

Akhirnya, Santa Fe Calligraphy ini bukan sekadar satu lagi SUV tujuh tempat duduk untuk bersaing dalam pasaran yang terlalu sesak. Ia hadir dengan personaliti kuat, identiti visual yang berbeza, teknologi praktikal dan keselesaan yang terasa mahal tanpa minta untuk dibayar mahal. Bukan sempurna — saiz besar memerlukan ruang parkir luas, dan penggunaan minyak bergantung pada gaya pemanduan — tetapi keseluruhannya, ia sebuah SUV serba lengkap yang berjaya menjadi moden, matang dan relevan untuk keluarga Malaysia hari ini.

Terus-Terang, Santa Fe ini mencipta keseimbangan yang sukar dicapai: cukup premium tanpa menunjuk, cukup lasak tanpa berdrama, dan cukup pintar tanpa membebankan pengguna. Jika anda mencari SUV keluarga yang berani tampil berbeza dan cukup yakin di semua situasi, Santa Fe Calligraphy ini wajib masuk dalam senarai pendek.

Previous post

Wanita Kuasai Pentas Kandungan Automotif China

Next post

Kempen Akhir Tahun Hyundai Dibuka: Servis Percuma & Ganjaran Baharu

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *