Seiko Prospex Speedtimer Edisi Datsun 240Z Dilancarkan
Seiko abadikan era emas motorsport lewat enam jam tangan baharu
Seiko kembali menyentuh benang nostalgia era akhir 1960-an dan awal 1970-an melalui koleksi Prospex Speedtimer terbaharu—kali ini dengan penghormatan khusus kepada ikon lagenda Datsun 240Z. Kerjasama dua nama berakar dalam dunia rali dan ketepatan masa ini menghasilkan enam model baharu: tiga edisi terhad dan tiga model produksi berterusan (continuous).
Bagi peminat jam mekanikal, peminat rali klasik, atau sesiapa yang membesar dengan poster Datsun di bilik tidur, pelancaran ini bukan sekadar “produk baharu”, tetapi satu jambatan yang menghubungkan semula zaman ketepatan analog dengan obsesi moden terhadap kejuruteraan halus.

Mengenang Akar Sejarah
Pada 1969, Seiko memperkenalkan Speedtimer pertama—kronograf automatik dengan vertical clutch dan column wheel, satu pencapaian teknikal penting ketika itu. Tahun yang sama, Datsun 240Z muncul sebagai sports car Jepun yang menawan Amerika Utara serta Jepun, dan seterusnya membuktikan kemampuan sebenar dalam dunia rali.
Kemuncak hubungan dua jenama ini terjadi pada Safari Rally East Africa 1971, apabila kereta Bernombor 11 dengan logo Seiko menamatkan 6,200 km perlumbaan ekstrem sebagai juara keseluruhan. Kejayaan itu menjadikan 240Z sebuah ikon global.
Kini, Seiko meraikan semangat tersebut dalam bahasa reka bentuk dan mekanikal.

Tiga Edisi Terhad – Inspirasi Warna, Logo, dan Jiwa 240Z
Setiap jam membawa elemen unik terus daripada model 240Z—merah, hitam, dan gaya logo asal.
| Model | Enjin (Caliber) | Ciri Unik | Edisi Terhad | Harga Malaysia |
|---|---|---|---|---|
| SPB517 | Mekanikal 6R55 | Logo bulat merah + segi empat biru seperti era 70-an | 2,500 unit | RM6,000 |
| SRQ057 | Kronograf 8R48 | Logo Datsun tulisan cursive | 500 unit | RM16,500 |
| SSC957 | Solar V192 | Logo blok DATSUN + ilustrasi 240Z di caseback | 4,000 unit | RM4,500 |
Reka bentuk nombor Arab pada dial pula mengikut font peralatan meter 240Z — sentuhan kecil yang menjadikan keseluruhan jam terasa lebih “authentic” kepada era tersebut.
Fungsi Berinspirasikan Dunia Perlumbaan
SPB517 dilengkapi countdown timer—berguna untuk pelbagai segmen rali seperti masa tayar ditukar, persediaan sebelum flag-off dan pengurusan pit.
SRQ057 pula menggunakan tachymeter bezel seperti Speedtimer 1969; dengan vertical clutch serta column wheel, ia menjanjikan operasi kronograf yang lebih stabil dan tepat.
SSC957, walaupun lebih “accessible”, tetap menawarkan kronograf 60 minit dan power reserve indikator; dengan tenaga solar, ia mampu beroperasi hingga enam bulan tanpa cahaya.
Semua model menggunakan sapphire crystal anti-reflektif dan ketahanan magnetik 4,800 A/m. Bagi versi bertali kulit, ia diperbuat daripada kulit LWG-certified—perincian yang menunjukkan komitmen Seiko terhadap standard sumber bahan yang bertanggungjawab.

Tiga Model Produksi Baharu – Spirit Vintage 70-an Diteruskan
Selain edisi terhad, Seiko turut menambah tiga model baharu ke dalam siri Speedtimer utama. Dua daripadanya menggunakan Caliber 6R55 dan satu lagi Caliber 8R48, dengan dimensi 39.5 mm (12.0 mm tebal) dan rintangan air 20 bar.
Rekaan bracelet berbilang baris mengingatkan Speedtimer 1972—simple, bergaya, dan selesa di pergelangan tangan. Model kronograf 8R48 juga memakai tachymeter bezel hitam untuk identiti yang lebih sporty.
Ketiga-tiga model ini telahpun tersedia di butik Seiko sejak September 2025.

Dibawa oleh Thong Sia Malaysia.

Di Sebalik Nama Datsun
Nama “Datsun” berasal daripada syarikat DAT Jidosha Seizo pada 1930-an, dengan “DAT” mewakili nama tiga pengasas. Perkataan asal “DATSON” ditukar kepada “DATSUN” kerana “son” membawa maksud “kerugian” dalam bahasa Jepun. “Sun” pula memberi makna cerah dan positif—melambangkan aspirasi awal jenama tersebut.
Frankly Speaking
Terus-Terang, kita melihat kolaborasi ini sebagai satu langkah yang cerdas: ia menyentuh minat peminat rali klasik tanpa memaksa “hype berlebihan”. Dalam pasaran jam yang semakin tepu edisi khas, Seiko berjaya menghasilkan koleksi yang bukan sekadar mewarna semula model lama, tetapi benar-benar mengangkat warisan teknikal Speedtimer dan Datsun. Namun, pada harga sehingga RM16,500 bagi SRQ057, ia jelas menyasarkan pengumpul serius—bukan sekadar pemakai harian. Bagi kita, nilai sebenar terletak pada ketelitian reka bentuk dan kesinambungan cerita 240Z yang dijahit kemas ke dalam setiap model.




No Comment