Mercedes-AMG CLE 53 & CLA 45 S Coupé Tiba di Malaysia
Simbol kuasa, gaya dan warisan C-Class yang diteruskan
Kuala Lumpur menjadi saksi kepada kemunculan dua model prestasi baharu daripada Mercedes-AMG – Mercedes-AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé dan Mercedes-AMG CLA 45 S 4MATIC+ Coupé Final Edition. Pelancaran ini berlangsung serentak dengan pengenalan Mercedes-Benz C 200 AMG Line CKD, sebuah model yang menyambung legasi kukuh keluarga C-Class di Malaysia.


















































































AMG CLE 53 4MATIC+ Coupé – Gabungan kuasa dan keselesaan
CLE 53 tampil dengan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris mild-hybrid yang menghasilkan 449 hp dan 560 Nm, bersama tambahan 23 hp dan 205 Nm daripada Integrated Starter Generator. Kuasa ini dipadankan dengan transmisi AMG SPEEDSHIFT TCT 9G dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+.
Hasilnya, coupe dua pintu ini mampu memecut 0-100 km/j dalam 4.2 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j (boleh dinaikkan kepada 270 km/j dengan AMG Driver’s Package). Dari aspek harga, CLE 53 dipasarkan bermula RM722,888 di Semenanjung Malaysia.
Bahagian luarannya menampilkan rekaan “Shark Nose”, gril radiator AMG berbentuk-A, lampu DIGITAL LIGHT dengan pencahayaan biru, serta rim AMG 20 inci Y-spoke bersama kaliper brek merah. Di dalam, pemandu disambut dengan paparan 12.3 inci, skrin tengah 11.9 inci, tempat duduk AMG Performance bersulam benang merah, serta sistem bunyi Burmester 3D.


































































































AMG CLA 45 S Coupé Final Edition – Penutup generasi dengan eksklusiviti
CLA 45 S Final Edition pula meraikan penghujung kitaran model dengan penawaran serba eksklusif. Enjin 2.0 liter turbo empat silinder yang menghasilkan 421 hp dan 500 Nm membolehkan pecutan 0-100 km/j hanya dalam 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 270 km/j.
Edisi ini tampil dengan AMG Night Package II, gril berlapis krom hitam, pilihan warna MANUFAKTUR alpine grey solid atau patagonia red metallic, serta rim AMG 19 inci. Harga pasaran ditetapkan pada RM538,888.



















































































Mercedes-Benz C 200 AMG Line – CKD dari Pekan untuk pasaran tempatan
Sebagai pelengkap kepada barisan AMG, C 200 AMG Line kini dipasang tempatan (CKD) di Pekan. Model ini menggunakan enjin 1.5 liter mild-hybrid berkuasa 204 hp dan 300 Nm, mampu mencapai 0-100 km/j dalam 7.3 saat dengan kelajuan maksimum 246 km/j.
Menariknya, harga model ini jauh lebih mesra, iaitu RM292,888 atas jalan tanpa insurans. Dari segi penampilan, ia hadir dengan rim AMG 19 inci, apron depan AMG, sistem suspensi AGILITY CONTROL, serta kabin yang dihiasi stereng Nappa, pedal AMG dan sistem infotainmen MBUX generasi terkini.






AMG World of Performance – Pameran khas buat peminat
Bersempena pelancaran, Mercedes-Benz Malaysia menganjurkan AMG World of Performance di GF LUXE, 1 Utama Shopping Centre dari 10 hingga 15 September 2025. Orang ramai boleh melihat lebih dekat model AMG, termasuk peluang uji pandu terpilih.
Selain itu, lima pelanggan bertuah yang membeli kenderaan AMG antara Jun hingga Julai menerima hadiah tiket Malaysia Airlines Business Class bernilai sehingga RM20,000 – satu bentuk penghargaan gaya hidup eksklusif daripada jenama premium ini.
Frankly Speaking
Terus-Terang, walaupun CLE 53 dan CLA 45 S Final Edition membawa teknologi terkini dan prestasi menakjubkan, harga yang mencecah setengah juta ringgit ke atas jelas meletakkannya di luar jangkauan majoriti pengguna. Di sinilah C 200 AMG Line CKD mengambil tempat sebagai model yang lebih realistik, meskipun tidak seberani saudara AMG-nya. Kita perlu mengakui bahawa kehadiran model-model ini lebih kepada pengukuhan imej prestij Mercedes-AMG di Malaysia berbanding solusi mobiliti massa.
No Comment