Raya Road Trip 2025 – Alphard Executive Lounge, 8 Hari Penuh Kemewahan di Jalan Raya
Dari KL ke Perlis, Terengganu, Cherating & kembali – Raya yang berbeza dari biasa

Balik kampung di musim raya biasanya sinonim dengan perjalanan panjang yang memenatkan. Berjam-jam di lebuh raya, berhenti di R&R yang sesak, cuaca panas yang memeritkan, dan penumpang yang mula gelisah. Namun, Raya 2025 kami membuktikan bahawa pengalaman itu boleh berubah sepenuhnya. Dari 30 Mac hingga 6 April, kami menempuh 8 hari perjalanan sejauh 2,135 km — bukan dalam konvoi, bukan bertukar-tukar kenderaan, tetapi sepenuhnya bersama Toyota Alphard Executive Lounge. Dan sepanjang perjalanan, tiada siapa pun yang mahu ia berakhir cepat.

Alphard memang terkenal sebagai MPV mewah, tetapi selepas pengalaman ini, jelas ia bukan sekadar simbol status. Ia adalah gabungan keselesaan mutlak, teknologi pintar, dan keupayaan pemanduan jarak jauh yang memadam rasa penat walaupun selepas seharian di jalan raya.

Hari 1 – KL ke Kangar (30 Mac)
Kami meninggalkan Desa Angkasa tepat jam 8.24 pagi Ahad, memanfaatkan kesunyian pagi untuk perjalanan lancar. Lebuh raya utara tidak terlalu sesak, dan cuaca yang redup menjadikan pemanduan lebih santai. Dengan enjin turbo yang bertenaga dan kabin yang senyap, perjalanan terasa tenang dan mewah.

Tepat jam 2.00 petang, kami tiba di Kangar. Hari pertama ini dihabiskan untuk berehat dan menikmati suasana malam raya di utara sebelum persiapan menyambut esoknya, hari pertama Syawal.
Hari 2 – 1 Syawal di Kuala Perlis
Pagi 1 Syawal, kami ke rumah saudara di Kuala Perlis. Suasana kampung di kawasan sawah padi yang menghijau, sekitar Bukit Chabang dan Bukit Keteri, penuh dengan gelak tawa, aroma masakan raya, terutama sekali ayam masak merah (my favourite). Selepas itu, kami melawat beberapa tempat sekitar Kuala Perlis, merakam momen bersama keluarga, dan menikmati suasana sambutan raya di daerah kecil yang kaya dengan budaya ini.







Alphard membuktikan ia bukan sekadar kenderaan jarak jauh — bahkan untuk perjalanan singkat dalam kawasan kampung, ia tetap memberikan keselesaan dan kemudahan yang sukar ditandingi.
Hari 3 – Kuala Perlis ke Kuala Terengganu (2 Syawal)
Kami memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu pada tengah hari. Ini adalah laluan paling mencabar — merentasi semenanjung dari pantai barat ke pantai timur, melalui jalan berbukit dan selekoh panjang di Lebuh Raya Timur–Barat Gerik–Jeli.



Di pertengahan laluan, kami terserempak dengan seekor gajah liar di tepi jalan. Pemandangan ini jarang sekali dapat dilihat di Semenanjung. A once in a lifetime experience. Especially for Anna K and Zehan. Kami tidak berhenti, hanya memperlahankan kenderaan untuk photo “drive-by” sambil menghayati momen luar biasa itu.




Kami juga singgah sebentar di Taman Negeri Diraja Belum, atau Belum–Temenggor terletak di Daerah Hulu Perak di hujung utara negeri Perak, Malaysia. Merangkumi sebahagian besar Tasik Temenggor di bahagian utara Banjaran Titiwangsa, untuk menikmati pemandangan tasik yang memukau sebelum meneruskan perjalanan. Tepat jam 12 tengah malam, kami tiba di Sutra Beach Resort, Merang — menamatkan perjalanan hari itu yang memakan masa 13 jam.



Hujan bermula dari hari ini dan berterusan selama kami berada di Terengganu.
Zaini: “Dengan 2,135 km dah habis, langsung tak rasa penat. Perjalanan sangat enjoyable, selesa, dan kereta ini stabil walaupun laju, walaupun hujan.”
Hari 4 – Raya di Pengkalan Arang (3 Syawal)
Hari ketiga raya, kami menuju ke rumah mak di Pengkalan Arang, Kuala Terengganu. Jalan kampung yang sempit dan berliku-liku tidak menjadi masalah berkat Panoramic View Monitor dan jejari pusingan yang baik pada Alphard.



Zurinah: “Walaupun perjalanan dari Kuala Perlis ke Kuala Terengganu lama sangat, Alphard ni memang luas, selesa, dan langsung tak rasa sakit badan. Memang berbaloi.”






Hari 5–6 – Raya di Kuala Terengganu (4–5 Syawal)
Kami menetap di Kuala Terengganu selama tiga hari penuh. Lawatan ke rumah saudara, juadah raya tanpa henti, dan suasana bandar pesisir pantai yang hidup menjadi pengisian utama. Dalam keadaan cuaca hujan tanpa henti dan trafik padat, Alphard membuktikan ia benar-benar dicipta untuk keselesaan.


Sistem penghawa dingin tiga zon memastikan suhu ideal di setiap baris tempat duduk, kaca privasi memberi perlindungan daripada silau matahari, dan sistem brek yang halus menambah rasa premium pada setiap hentian.
Ross: “Brek dia memang lain. Tak tersentak langsung — berhenti dengan penuh keyakinan dan lembut.”
Zehan: “Macam duduk dalam private jet yang bergerak. Senyap, selesa, terus rasa nak tidur.”
Hari 7 – Kuala Terengganu ke Cherating (6 Syawal)
Kami check out dari Sutra Beach Resort dan memulakan perjalanan ke Villa de Fedelia, Cherating. Laluan pesisir ini bukan sahaja indah, malah menjadi pentas untuk Alphard menunjukkan kestabilan di kelajuan tinggi walaupun memotong kenderaan berat.



Cruise control adaptif menjadikan pemanduan lebih santai, dan tingkap besar memberi peluang penumpang menikmati pemandangan laut terbuka sepanjang perjalanan.
Hari 8 – Cherating ke Kuala Lumpur (7 Syawal)
Ahad, 6 April, kami meninggalkan Cherating menuju Kuala Lumpur. Biasanya, hari terakhir membawa rasa lega bercampur penat, tetapi kali ini perjalanan pulang terasa terlalu cepat.

Aida: “Macam naik atas awan — lembut, senyap, rasa macam boleh terus jalan tanpa henti.”
Kami tiba di KL dalam keadaan segar, menutup tirai perjalanan 8 hari yang penuh kenangan.
Pengalaman Alphard Sepanjang Perjalanan
Sepanjang perjalanan ini, Alphard membuktikan dirinya sebagai MPV yang lengkap. Ruang simpanan yang luas, port pengecas USB di setiap baris, sistem bunyi premium yang menjadikan lagu raya dan playlist perjalanan lebih hidup, serta sistem hiburan belakang yang memikat penumpang muda untuk duduk diam.
Pintu gelangsar berkuasa elektrik sangat membantu di kawasan parkir sempit, dan ruang kabin yang luas menjadikan setiap hentian lebih selesa untuk keluar masuk dengan membawa barang.



Terus-Terang
Raya kali ini membuktikan bahawa Toyota Alphard Executive Lounge bukan sekadar MPV mewah — ia adalah sebuah pengalaman. Lebih 2,000 km, beraya bersama keluarga di Kuala Perlis, tiga hari bersama mak di Kuala Terengganu, dan persinggahan singkat di Villa de Fedelia, Cherating, semuanya diiringi keselesaan dan kemewahan yang konsisten dari hari pertama hingga akhir.
Pemandangan sawah padi, bukit batu kapur, pertemuan jarang dengan gajah, pemandangan tasik yang indah, perjalanan pesisir yang tenang — semuanya menjadi sebahagian daripada kisah raya tahun ini. Dengan harga dari RM573,000 (atas jalan tanpa insurans), ia memang pelaburan besar, tetapi bagi yang mahukan keselesaan tanpa kompromi dan kenangan yang tiada tandingan, ia sangat berbaloi.
Toyota Alphard Executive Lounge – Spesifikasi & Harga
| Item | Butiran |
|---|---|
| Enjin | 2.4L Turbo 4-Silinder Petrol |
| Transmisi | CVT dengan Sequential Shiftmatic |
| Kuasa | 275 PS |
| Tork | 430 Nm |
| Pacuan | Roda Hadapan |
| Tempat Duduk | 7 (susun atur 2 + 2 + 3) |
| Ciri Utama | Kerusi Kapten Ottoman, Panoramic View Monitor, Infotainmen 14-inci, Paparan Hiburan Belakang, Pintu Gelangsar Berkuasa, Penghawa Dingin 3-Zon |
| Harga (Malaysia) | RM573,000 (atas jalan tanpa insurans) |
Video vlog YouTube Raya Trip 2025 ini akan menyusul. Subscribe dan tekan loceng notifikasi: Gohed Gostan
GALERIA




























































































































































No Comment