Berita Auto

BYD Zhengzhou Tiba di Malaysia

Kapal Pengangkut EV 7,000 Unit Perkukuh Komitmen Terhadap Pasaran Tempatan

Malam 6 OGOS, 2025, suasana di Northport, Pelabuhan Klang bertukar bersejarah apabila kapal pengangkut khas milik BYD yang dinamakan BYD Zhengzhou menjejakkan ‘hull’ buat kali pertama di Malaysia. Kapal RORO (roll-on/roll-off) ini membawa 7,000 unit kenderaan elektrik (EV) siap pasang untuk pasaran Malaysia—satu langkah strategik hasil kerjasama erat antara BYD Malaysia dan Sime Motors.

Penghantaran Langsung, Janji Masa Lebih Singkat

Dalam landskap automotif yang semakin memacu ke arah elektrifikasi, keupayaan logistik kini menjadi penentu daya saing sebenar. BYD Zhengzhou adalah kapal ketujuh dalam armada syarikat itu dan ia bukan sekadar simbol ekspansi global, tetapi manifestasi kecekapan pengurusan rantaian bekalan mereka.

Menurut Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara, pelayaran sulung kapal ini menandakan tahap keyakinan tinggi BYD terhadap Malaysia. “Ini memperkukuh masa penghantaran dan sokongan selepas jualan. Ia juga mempercepatkan perjalanan Malaysia ke arah mobiliti bersih dan pintar,” katanya dalam kenyataan rasmi Sime Motors bertarikh 6 Ogos 2025.

RORO vs Kontena: Menang Dari Segi Masa dan Kos

Kaedah penghantaran RORO—di mana kenderaan dipandu terus masuk dan keluar dari kapal—mengurangkan masa pemprosesan serta kos logistik berbanding penghantaran dalam kontena. Lebih efisien, lebih cekap. Ini membolehkan penghantaran yang lebih pantas dan boleh dipercayai terus ke tangan pelanggan.

Dengan kawalan penuh ke atas armada sendiri, BYD mengelakkan risiko kelewatan pihak ketiga dan pada masa sama membina daya tahan logistik jangka panjang. Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia, menyatakan bahawa pelaburan dalam kapal sendiri membolehkan mereka menyesuaikan penghantaran mengikut keperluan pasaran Asia Pasifik secara lebih fleksibel dan berkesan.

default

Malaysia Sebagai Hab EV Serantau

Kapal ini bukan sahaja membawa kereta; ia membawa janji. Sime Motors telah menyatakan hasrat untuk memperluas jumlah pusat jualan BYD dari 35 ke 60 menjelang hujung tahun 2026, menandakan kepercayaan jangka panjang terhadap potensi Malaysia sebagai hab EV serantau.

Dengan China kini mendominasi eksport EV dunia, langkah seperti ini memberi kelebihan kompetitif dan membuka peluang perniagaan baharu untuk pasaran tempatan. Dalam erti kata lain, Malaysia bukan lagi sekadar destinasi pasaran, tetapi sebahagian daripada ekosistem eksport global BYD.

Frankly Speaking
Terus-Terang, kami melihat ketibaan BYD Zhengzhou ini bukan sekadar satu acara logistik, tetapi satu langkah strategik jangka panjang. Ia memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam peta industri EV serantau. Namun, kejayaan sebenar masih bergantung kepada tahap penerimagunaan pengguna tempatan, infrastruktur pengecasan, dan insentif kerajaan. Jika semua pihak memainkan peranan, inisiatif seperti ini boleh menjadi pemangkin kepada perubahan landskap automotif nasional. Tapi buat masa ini, kita tunggu dan lihat sejauh mana kapal ini benar-benar ‘mengubah arus’.

Previous post

GLC EQ Teknologi: Gril Ikonik Disemarak Semula

Next post

MG Cyberster Cipta Rekod Baharu Di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *