Tayar Range Rover Kini Lebih Hijau
JLR perkenal tayar Pirelli baharu dengan 70% bahan lestari
Dalam dunia automotif mewah, langkah kecil pun boleh membawa perubahan besar. Tahun ini, JLR dan Pirelli bersama-sama melakar sejarah dengan memperkenalkan tayar P Zero generasi baharu—disasarkan untuk model terpilih New Range Rover ber rim 22 inci—yang diperbuat daripada lebih 70% bahan kitar semula dan sumber boleh diperbaharui. Ia bukan sekadar gimik alam sekitar; ia lambang evolusi kejuruteraan tayar dan bukti bahawa prestasi dan kelestarian boleh berjalan seiring.

Daripada sisa ke jalan raya
Apa yang menjadikan tayar ini begitu unik? Bahan-bahannya. Silika—komponen penting dalam struktur tayar—kini diperoleh daripada sekam padi, menggantikan pasir kuarza tradisional. Resin dan biopolimer pula diekstrak daripada sisa pertanian dan minyak masak terpakai, menyingkirkan kebergantungan pada sumber berasaskan petroleum.
Tambahan pula, karbon hitam kitar semula yang diambil daripada tayar usang digunakan semula untuk mengekalkan ketahanan dan integriti struktur. Keluli terpakai digunakan semula untuk memperkukuh bahagian dalam, manakala getah asli yang diperoleh daripada ladang hutan bertanggungjawab di bawah pensijilan FSC™ memastikan aspek etika penghasilan turut dijaga.

Disahkan, bukan sekadar janji
Satu kelebihan utama: semua komponen tayar ini telah disahkan pihak ketiga bagi memastikan peratus kandungan lestari adalah benar dan bukan sekadar dakwaan pemasaran. Ini membina keyakinan bahawa apa yang dijual sebagai lestari, benar-benar lestari. Menurut kenyataan rasmi JLR bertarikh 10 Julai 2025, langkah ini turut menyambung usaha mereka terdahulu memperkenal tayar getah FSC™ merentasi rangkaian global.
Apa kesannya pada prestasi?
Biasanya, produk yang lebih hijau dikaitkan dengan kompromi dari segi prestasi—tetapi itu bukan kes di sini. Pirelli dan JLR mendakwa bahawa tayar baharu ini bukan sahaja mengekalkan tahap pengendalian dan kestabilan tinggi, malah menawarkan kecekapan pengeluaran yang lebih baik dan kebolehkitar semula di akhir hayat tayar. Ini selari dengan prinsip ekonomi bulat (circular economy) yang kini semakin mendapat tempat dalam industri automotif premium.
| Spesifikasi Ringkas Tayar Pirelli P Zero Lestari | |
|---|---|
| Bahan Lestari | ≥70% (diperakui pihak ketiga) |
| Komponen Kitar Semula | Silika sekam padi, karbon hitam, keluli |
| Komponen Bio-Asas | Resin tumbuhan, biopolimer |
| Pensijilan | FSC™ untuk getah asli |
| Model | Digunakan pada Range Rover 2025 (rim 22”) |
Apa selepas ini?
Menurut Pirelli, usaha ke arah penggunaan 100% bahan lestari dalam tayar sedang giat dijalankan. Perkembangan ini bukan sahaja menandakan komitmen serius JLR terhadap kelestarian, tetapi juga meletakkan tekanan kepada pengeluar tayar lain untuk mempercepat langkah serupa. Adakah Michelin, Continental, atau Bridgestone akan mengikut jejak? Atau terus bergantung pada kaedah konvensional?

Frankly Speaking
Terus-Terang, kita sambut baik usaha JLR dan Pirelli ini, tetapi kita juga perlu kekal waspada. Inovasi dalam skala kecil sering digunakan sebagai alat pemasaran besar—walhal impaknya terhadap persekitaran hanya signifikan jika diguna secara menyeluruh, bukan sekadar pada model premium. Kita mahu lihat apakah teknologi ini benar-benar menular ke model Jaguar atau Defender masa depan, dan bukan sekadar kekal sebagai titik jualan eksklusif Range Rover. Kalau benar serius tentang alam sekitar, buktikan dengan skala—bukan simbol.
No Comment