Sukan

Lewis Hamilton ‘Muncul’ Di KL: Shell Cipta Gimik FOOH Yang Buat Ramai Terpegun

Kempen Shell V-Power dengan wajah Ferrari merah menyala tular di seluruh media sosial

Tiba-tiba, Lewis Hamilton muncul ‘di hadapan’ Menara Berkembar Petronas. Diapit KL Tower dan Petaling Street, wajah juara dunia F1 itu terpampang dalam warna merah Scuderia Ferrari HP — bukan pada papan iklan sebenar, tetapi melalui teknologi FOOH (Fake Out-of-Home) yang mengelirukan ramai orang.

Shell Malaysia, bersama agensi GrowthOps Asia, Edelman, dan Invictus Blue, berjaya mencipta sensasi visual dengan kempen digital Shell V-Power yang sangat meyakinkan, seolah-olah benar-benar berlaku di lokasi ikonik Kuala Lumpur. Dilancarkan secara digital pada 20 Jun 2025, gimik ini meraih lebih 1.65 juta tontonan organik hanya dalam beberapa hari — satu angka yang sukar dicapai tanpa sokongan berbayar.

Penuh Gaya, Penuh Emosi

Menurut Chris Greenough, Pengurus Besar GrowthOps Asia, idea ini bukan sekadar tentang visual yang gah tetapi juga emosi yang menghubungkan rakyat Malaysia dengan Hamilton. “Kami tahu hubungan rakyat Malaysia dengan Lewis Hamilton sangat kuat, jadi ini masa terbaik untuk wujudkan keterikatan yang lebih bermakna,” jelasnya.

Kempen ini sebahagian daripada inisiatif global Shell bertajuk “Feel It All” sempena ulang tahun ke-75 kerjasama antara Shell dan Scuderia Ferrari HP. Dalam konteks ini, Shell V-Power bukan sekadar bahan api, tetapi simbol prestasi dan warisan yang dikongsi antara litar dan jalan raya.

Namun realitinya di litar F1 musim ini agak suram. Ferrari kini bergelut dengan isu konsistensi dan ketidakcekapan strategi, manakala Lewis Hamilton — yang menyertai pasukan dari Mercedes tahun ini — masih belum menamatkan sebarang perlumbaan di podium. Banyak peminat merasakan prestasi Scuderia Ferrari tahun ini jauh tersasar dari harapan, menjadikan kempen visual ini kelihatan lebih simbolik daripada realistik.

Teknologi Jumpa Emosi: Gabungan Bijak

Gimik FOOH ini menyerlah bukan hanya kerana kemahiran teknikalnya, tetapi juga kerana keupayaannya mengelirukan mata awam — satu penghormatan kepada kehebatan teknologi penyuntingan visual moden. Ia turut dipadankan dengan papan iklan fizikal sebenar di sekitar KL bagi mencipta impak berlapis yang menyatu antara dunia digital dan nyata.

Reaksi orang ramai? Mengagumkan. Salah satu komen popular di Instagram berbunyi, “Shell patut bagi cuti dan kenaikan gaji kepada pasukan kreatif mereka. Ini iklan paling padu tahun ini.”

Bukan Sekadar Iklan—Ganjaran Menanti

Selain tarikan visual, Shell turut melancarkan peraduan di mana pengguna Shell V-Power berpeluang memenangi pengalaman eksklusif ke acara sukan permotoran di Singapura — pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang, kata mereka. Ini merupakan satu lagi usaha untuk menggabungkan emosi pengguna dengan nilai jenama Shell.

Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobility & Convenience Malaysia, berkata, “Shell V-Power ialah satu-satunya bahan api yang digunakan dan disyorkan Scuderia Ferrari HP di litar. Kini pelanggan kami dapat nikmati prestasi itu di jalan biasa.”

Frankly Speaking

Terus-Terang, kempen Shell ini memang menang dari sudut kreativiti. Tetapi dalam realiti dunia perlumbaan F1 sekarang, Ferrari dan Hamilton masih belum menunjukkan taring. Jadi persoalannya — adakah gimik seperti ini mampu mengangkat semangat peminat yang semakin kecewa? Kita akui visualnya mantap, tetapi harapan sebenar tetap bergantung kepada prestasi di trek. Kalau iklan lebih mendahului keputusan perlumbaan, lama-lama orang akan mula bertanya: adakah ini bahan api juara, atau sekadar bahan bakar ilusi?

Previous post

SUV Klon Dijadikan Kenderaan Seludup Getah Skrap di Kedah

Next post

Ativa Jadi Raja, Tapi Kenapa Tersadai Atas Bumbung?

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *