Hibrid, Elektrik, Hidrogen

TQ WULING Bingo EV Kini Dipasang Tempatan di Malaysia

Langkah CKD pertama TQ WULING di Segambut, harga lebih mampu milik dan isyarat serius terhadap masa depan EV tempatan

Pemasangan tempatan bukan sekadar satu istilah teknikal. Di kilang Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, ia diterjemahkan melalui barisan pemasangan sebenar, pekerja tempatan, kawalan kualiti berperingkat dan satu mesej yang jelas: TQ WULING tidak datang sekadar menjual, tetapi membina kehadiran jangka panjang di Malaysia.

Bermula Januari 2026, TQ WULING Bingo EV kini dipasang secara CKD di fasiliti TCMA, menandakan model elektrik pertama jenama itu yang dirakit tempatan. Ia juga merupakan EV pertama dipasang di pusat pemasangan Tan Chong, satu pencapaian simbolik yang mencerminkan perubahan landskap automotif tempatan ke arah elektrifikasi yang lebih realistik dan mampu dicapai.

Kenapa CKD Ini Penting
Pendekatan CKD yang diambil bukan bersifat agresif atau terburu-buru. TQ WULING memilih pengeluaran berperingkat, dengan keupayaan untuk meningkatkan kapasiti berdasarkan permintaan pasaran. Dari sudut industri, ini langkah yang lebih matang — mengurangkan risiko lebihan stok, mengekalkan konsistensi kualiti dan memastikan rantaian bekalan kekal stabil.

Dari sudut pengguna pula, kesannya lebih mudah difahami: harga lebih rendah, masa menunggu lebih singkat, dan sokongan selepas jualan yang lebih kukuh kerana ia dibina di sini, bukan diimport sepenuhnya.

Keselamatan Didahulukan, Bukan Retorik
Menariknya, Bingo EV meletakkan keselamatan sebagai nilai jualan utama, bukan sekadar tambahan kosmetik. Ia merupakan antara EV mampu milik pertama di pasaran tempatan yang dilengkapi enam beg udara sebagai standard. Struktur badannya pula menggunakan keluli ultra-berkekuatan tinggi 1,500 MPa, direka untuk meningkatkan ketegaran dan keupayaan menyerap impak.

Pendekatan ini agak berbeza daripada kebiasaan segmen EV bajet yang lazimnya berkompromi pada aspek keselamatan demi harga.

Dua Varian, Sasaran Jelas
Bingo EV ditawarkan dalam dua varian: Bingo PRO dan Bingo MAX. Kedua-duanya menyasarkan kegunaan bandar, dengan saiz kompak, rekaan retro-ringkas dan kabin yang dioptimumkan untuk praktikaliti harian.

Spesifikasi UtamaBingo PROBingo MAX
Jarak pemanduan (CLTC)333 km410 km
Kapasiti ruang but (maks)1,240 liter1,240 liter
Skrin instrumen10.25 inci10.25 inci
Skrin infotainmen10.25 inci10.25 inci
Beg udara66
Harga asalRM67,800RM72,800

Sempena pengenalan CKD, TQ WULING menawarkan rebat tunai RM5,000 di bawah program Bingo’s Fabulous 5 Perks. Ini menjadikan harga efektif RM62,800 untuk Bingo PRO dan RM67,800 untuk Bingo MAX, satu angka yang sukar diabaikan dalam pasaran EV semasa.

Teknologi Bateri: Rekod Lebih Penting Daripada Janji
Bingo EV menggunakan bateri WULING MAGIC, sistem bateri proprietari yang telah digunakan pada lebih tiga juta EV Wuling di seluruh dunia. Setakat ini, tiada rekod kebakaran atau letupan dilaporkan — satu statistik yang lebih meyakinkan daripada sebarang slogan pemasaran.

Bateri ini juga memiliki penarafan IP68, memberi perlindungan menyeluruh terhadap habuk dan perendaman air, satu faktor penting dalam konteks cuaca dan keadaan jalan di Malaysia.

Pemilikan Jangka Panjang
Dari sudut pemilikan, pakej waranti yang ditawarkan agak kompetitif: bateri EV 8 tahun/120,000 km, motor pemacu 8 tahun/160,000 km dan kenderaan 5 tahun/150,000 km. Rangkaian sokongan pula disokong oleh enam bilik pameran khusus serta tujuh pusat servis melalui ekosistem Tan Chong yang sedia ada.

Terus-Terang,
kami melihat pemasangan tempatan TQ WULING Bingo EV sebagai langkah yang lebih signifikan daripada sekadar pelancaran model baharu. Ia menunjukkan kesediaan jenama ini untuk bermain permainan jangka panjang, bukan sekadar mengejar insentif atau gelombang awal EV. Namun begitu, cabaran sebenar masih di hadapan — daripada persepsi jenama, nilai jualan semula, hingga ke tahap penerimaan pengguna arus perdana. CKD membuka pintu, tetapi konsistensi produk, servis dan ketelusan selepas jualan yang akan menentukan sama ada Bingo EV benar-benar mampu bertahan dalam ekosistem EV Malaysia yang semakin kompetitif.

Previous post

Volvo ES90 Rasmi di Malaysia, Sedan Elektrik Flagship Volvo

Next post

DENZA D9 Kekal RM259k & RM309k Walaupun Insentif EV Tamat

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *