Kereta China Atasi Jepun Buat Kali Pertama Pada 2025
Peralihan kuasa industri automotif global mula jelas apabila pengeluar China mendahului jualan dunia, memacu era baharu berteraskan EV dan eksport agresif.
Buat pertama kali dalam tempoh lebih dua dekad, landskap industri automotif global menyaksikan satu perubahan besar yang sukar disangkal. Pengeluar kereta dari China kini dijangka menjual lebih banyak kenderaan berbanding pengeluar Jepun pada tahun 2025. Ini bukan sekadar turun naik statistik tahunan, tetapi satu petunjuk jelas tentang peralihan struktur kuasa dalam industri automotif dunia.
Unjuran ini disusun berdasarkan pendedahan rasmi pengeluar automotif serta data daripada S&P Global Mobility. Ia merangkumi jualan kenderaan penumpang dan komersial, termasuk pasaran domestik serta eksport. Angka yang diunjurkan menunjukkan China menghampiri sekitar 27 juta unit, manakala Jepun dianggarkan di bawah 25 juta unit. Jurang ini mungkin kelihatan kecil di atas kertas, namun implikasinya amat besar.

Dari Peniru Kepada Penentu Arah
Untuk memahami magnitud perubahan ini, konteks sejarah amat penting. Jepun muncul sebagai penjual kenderaan nombor satu dunia sekitar 1980 dan mengambil masa hampir empat dekad untuk membina dominasi tersebut. Jualan industri automotif Jepun memuncak hampir 30 juta unit pada 2018, sebelum mula menunjukkan penurunan ketara, khususnya di Amerika Syarikat dan China sendiri.
Sebaliknya, industri automotif China melalui perjalanan yang jauh lebih panjang dan berliku. Dari era 1950-an hingga 1980-an, tumpuannya terhad kepada kenderaan utilitarian dan model rebadge untuk kegunaan domestik. Hanya pada 1990-an, melalui kerjasama usaha sama dengan pengeluar asing, jenama tempatan mula membina keupayaan sebenar. Menjelang 2000-an, eksport mula digerakkan secara serius. Dua dekad kemudian, hasilnya kini terpampang jelas.

Pasaran Domestik Sebagai Enjin Utama
Sekitar 70 peratus daripada keseluruhan jualan pengeluar China datang daripada pasaran domestik mereka sendiri. China kekal sebagai pasaran automotif tunggal terbesar dunia, dan di sinilah jenama asing semakin kehilangan cengkaman. Faktor penentu utama ialah lonjakan luar biasa kenderaan tenaga baharu, atau NEV.
Kenderaan elektrik bateri dan plug-in hybrid kini merangkumi hampir 60 peratus jualan kereta penumpang di China. Dominasi ini membolehkan jenama tempatan menawan semula bahagian pasaran yang sebelum ini dikuasai oleh usaha sama asing. Pemain seperti BYD dan Geely kini tersenarai dalam kelompok sepuluh pengeluar automotif terbesar dunia dari segi jualan, manakala Chery terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pengeksport terbesar China.

Eksport, Tarif Dan Realiti Eropah
Walaupun berdepan tarif di beberapa wilayah, eksport kenderaan China terus berkembang sepanjang 2025. Di Eropah, sekitar 2.3 juta kenderaan China dijangka terjual, sebahagiannya dipacu oleh struktur cukai yang lebih mesra PHEV. Ini berlaku dalam pasaran yang selama ini dikuasai jenama Jerman, Perancis dan Itali.
Di luar Eropah, jenama seperti Chery dan Great Wall Motor giat menembusi pasaran lebih kecil seperti Amerika Latin, Afrika, Oceania dan Timur Tengah. Walaupun sumbangan unitnya masih sederhana, kadar pertumbuhan di rantau ini sangat ketara. Di Amerika Latin, misalnya, pertumbuhan jualan jenama China mencecah sekitar 33 peratus, didorong oleh tawaran nilai tinggi dan teknologi yang semakin matang.

Asia Tenggara Tidak Terkecuali
Di Asia Tenggara, perubahan ini boleh dilihat dengan mata kasar. Menjelang akhir tahun, pendaftaran kenderaan China di rantau ini dianggarkan mencecah sekitar setengah juta unit. Angka ini mengatasi rekod tahunan pengeluar tempatan terbesar, walaupun kebanyakan kenderaan China berada pada julat harga lebih tinggi dan tidak menikmati perlindungan pasaran bajet.
Lebih penting, jenama-jenama ini terpaksa bersaing secara terbuka dengan pengeluar mapan serta sesama sendiri, dalam persekitaran yang masih dibayangi stigma terhadap produk China. Dalam konteks ini, prestasi yang dicapai bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
Terus-Terang, kami melihat 2025 sebagai titik perubahan yang sukar dipatahkan. Jenama Jepun masih kekal sebagai gergasi global dari segi kejuruteraan dan reputasi, namun keengganan untuk bergerak pantas dalam peralihan EV dan perisian mula menampakkan kesan. Jika strategi tidak dinilai semula secara serius, kelebihan sejarah mungkin tidak lagi mencukupi. Apa yang berlaku hari ini bukan kebetulan, tetapi hasil perancangan jangka panjang, skala besar dan keberanian mengambil risiko oleh industri automotif China.
Sumber: dsf.my





























































No Comment