Berita Auto

PROTON Saga Serba Baharu Kini Dibuka Untuk Tempahan

Era baharu sedan kebanggaan negara dengan teknologi pintar, reka bentuk moden dan tawaran eksklusif pra-pelancaran

Subang Jaya, 10 November 2025 – PROTON sekali lagi mengangkat legasi nasional dengan memperkenalkan Saga Serba Baharu, yang kini dibuka untuk tempahan di seluruh negara. Sejak 1985, nama Saga telah menjadi sebahagian daripada perjalanan rakyat Malaysia, dan kini, model ini kembali dengan wajah serta jiwa baharu — direka sepenuhnya oleh jurutera tempatan dengan kerjasama teknikal dari Geely, melambangkan kematangan kejuruteraan automotif Malaysia.

Platform Baharu, Identiti Baharu
Dibangunkan atas Platform Advanced Modular Architecture (AMA) yang pertama kali digunakan oleh PROTON, Saga Serba Baharu menampilkan reka bentuk pintar, prestasi efisien dan tahap keselamatan yang lebih tinggi. Dengan pemilikan penuh Hak Harta Intelek (IPR), model ini menunjukkan kemampuan PROTON untuk berdikari dalam inovasi dan kesediaan menghadapi era mobiliti pintar serta separa autonomi masa depan.

Kuasa, Keselesaan & Teknologi
Dikuasakan enjin i-GT 1.5L bersama transmisi CVT baharu, sedan ini menawarkan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC). Penggunaan EPS (Electric Power Steering) baharu memberikan kawalan lebih jitu dan ringan, sesuai untuk pemanduan bandar mahupun jarak jauh.

Bahagian dalam pula menampilkan dwi-skrin bersepadu 16 inci, menggabungkan paparan meter digital dan sistem infotainmen moden yang kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Turut disertakan ciri seperti lampu utama automatik, fungsi Follow-Me-Home, serta pelarasan aras lampu utama – menambah nilai praktikal dalam setiap perjalanan.

Reka Bentuk Berjiwa Malaysia
Saga Serba Baharu menampilkan bahasa rekaan baharu yang menyatukan gaya moden dengan identiti tempatan – dari Gril Hadapan bermotif “Sulaman Songket”, Lampu Utama LED Projektor Penuh, hingga Bar Lampu Belakang LED penuh yang memberi karakter tersendiri. Lima pilihan warna disediakan – Marine Blue, Space Grey, Ruby Red, Armour Silver, dan Snow White, melambangkan kepelbagaian citarasa dan semangat nasional.

Keselamatan Menyeluruh
Ciri keselamatan turut dipertingkat dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) yang menampilkan sembilan fungsi utama, enam beg udara, serta struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) berasaskan Hot Press Forming (HPF). Ini meletakkan Saga Serba Baharu dalam kelas tersendiri dari segi perlindungan penumpang dan kestabilan pemanduan.

Tawaran Pra-Pelancaran dan Harga Anggaran
Bermula dari RM40,000 hingga RM50,000, model ini akan ditawarkan dalam tiga varian – Standard, Executive dan Premium. PROTON turut menawarkan servis percuma setahun atau 20,000 km (yang mana terdahulu) serta kad Touch ‘n Go Edisi Terhad Saga Serba Baharu kepada 20,000 pembeli terawal yang menempah dan mendaftar sebelum 31 Disember 2025.

Kempen IKONIK TOGETHER-GATHER
Bagi menghangatkan lagi sambutan, PROTON akan mengadakan jelajah IKONIK TOGETHER-GATHER dari 14 hingga 23 November 2025 di lokasi terpilih seluruh negara. Acara ini bakal menggabungkan budaya, gaya hidup dan komuniti Malaysia dengan kehadiran pempengaruh tempatan serta pelbagai aktiviti interaktif – menonjolkan bagaimana Saga kekal relevan dan dekat di hati rakyat.


Frankly Speaking
Terus-Terang, kami melihat Saga Serba Baharu bukan sekadar kemas kini reka bentuk atau teknologi, tetapi sebagai refleksi keyakinan PROTON terhadap kebolehan kejuruteraan tempatan. Walaupun tanda harga masih di bawah RM50,000, fokus terhadap inovasi pintar dan keselamatan menjadikan model ini lebih matang tanpa menjejaskan identiti asalnya sebagai “kereta rakyat”. Soalnya kini — mampukah Saga Serba Baharu mengekalkan keseimbangan antara nilai dan prestasi dalam pasaran A-segment yang semakin kompetitif? Masa akan menjawab, tetapi arah tuju ini jelas: ikonic, bukan nostalgik.

Previous post

BYD Shark 6 PHEV untuk Malaysia?

Next post

Volvo Genuine Parts Extended Warranty

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *