Mercedes-Benz Malaysia Buka Stars@Mercedes-Benz Bangsar – Simbol Baharu Gaya Hidup Mewah
Pusat pameran terbesar dunia ini gabungkan jenama Mercedes-Maybach, Mercedes-AMG, G-Class dan Mercedes-Benz di bawah satu bumbung, mempamerkan kemewahan dan inovasi gaya hidup urban moden.

BANGSAR – Mercedes-Benz Malaysia bersama NZ Wheels baru sahaja melakar sejarah baharu dengan pelancaran Stars@Mercedes-Benz Bangsar, pusat pameran pertama seumpamanya di dunia dan juga yang terbesar dengan keluasan binaan 1,800 meter persegi. Terletak strategik di kawasan Bangsar yang sinonim dengan komuniti elit Kuala Lumpur, ruang ini dibangunkan dengan pelaburan RM5 juta oleh NZ Wheels dan menjadi mercu tanda baharu dalam pengalaman runcit automotif mewah.



Konsep Baharu Runcit Mewah
Menurut Amanda Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Mercedes-Benz Malaysia, visi jenama ini adalah untuk mengubah ruang pameran menjadi destinasi gaya hidup berteraskan pengalaman. “Stars@Mercedes-Benz Bangsar bukan sekadar tempat mempamerkan kenderaan. Ia diraikan sebagai simbol gaya hidup mewah yang menonjolkan inovasi dan keselesaan – satu refleksi sebenar nilai jenama Mercedes-Benz,” jelasnya.
Dengan reka bentuk dua tingkat yang menampilkan teknologi digital terkini dan kemasan dalaman berinspirasikan hotel butik, pelanggan akan menikmati pengalaman peribadi yang eksklusif. Setiap ruang disusun untuk mempamerkan keindahan empat dunia utama – Mercedes-Benz, Mercedes-AMG, Mercedes-Maybach dan G-Class – menjadikan ia tempat terbaik untuk meneroka “bintang-bintang” terhebat Mercedes-Benz di Malaysia.

Fleksibiliti dan Kemasan Premium
Menariknya, ruang pameran ini boleh diubah suai menjadi satu identiti jenama tertentu dalam masa hanya 30 minit. Dinding modular, pencahayaan tersuai dan elemen reka bentuk khas membolehkan setiap bahagian mencerminkan DNA tersendiri – sama ada aura prestasi AMG, kemegahan Maybach, keikonikkan G-Class atau kemodenan Mercedes-Benz. Tambahan istimewa ialah ruang MANUFAKTUR, di mana pelanggan boleh menyesuaikan kenderaan impian mereka melalui pelbagai pilihan bahan dan warna.
Paparan digital berskala besar di setiap sudut menghidupkan suasana jenama melalui visual dan audio berkualiti tinggi, menjadikan kunjungan ke sini satu pengalaman yang imersif. Sebuah lounge bergaya kafe turut disediakan untuk perbincangan santai, sementara bilik perundingan eksklusif dilengkapi paparan interaktif bagi sesi personalisasi pelanggan.
Ruang Baharu, Piawaian Baharu
Pusat ini turut dilengkapi pengecas pantas DC 50kW untuk kenderaan elektrik, mencerminkan komitmen Mercedes-Benz terhadap elektrifikasi dan kelestarian sejajar dengan pelan Ambition 2039 – matlamat jangka panjang mereka menuju kenderaan neutral karbon sepenuhnya menjelang tahun 2039. Tambahan pula, sebuah pusat servis 2S baharu di Jalan Genting Klang dijadualkan dibuka pada suku kedua 2026.

Bagi NZ Wheels, ini menandakan pengembangan strategik rangkaian mereka ke empat lokasi utama – Klang, Johor Bahru, Setapak dan kini Bangsar – dengan jumlah pelaburan lebih RM20 juta bagi memperkukuh pengalaman automotif mewah di seluruh negara.

Dato’ Jasmy Ismail, Pengerusi Kumpulan Naza Automotive Group, menegaskan: “Showroom ini mencerminkan semangat kami untuk memberi layanan terbaik dan perkhidmatan yang benar-benar peribadi. Ia bukan sekadar ruang membeli kereta, tetapi tempat di mana inovasi bertemu keanggunan.”

Frankly Speaking
Terus-Terang, pembukaan Stars@Mercedes-Benz Bangsar menunjukkan bagaimana runcit automotif kini bergerak ke arah pengalaman berasaskan gaya hidup, bukan sekadar jual beli kenderaan. Kami melihat ini sebagai strategi bijak untuk mengukuhkan hubungan emosi antara pelanggan dan jenama. Namun, dalam pasaran yang semakin kompetitif, cabarannya ialah mengekalkan eksklusiviti sambil memastikan pengalaman ini tidak sekadar kelihatan mewah — tetapi benar-benar bermakna bagi pelanggan Malaysia yang semakin bijak menilai nilai sebenar kemewahan.






















No Comment