Aprilia RSV4 XGP Habis Terjual Dalam 14 Hari Sahaja
Edisi khas 30 unit dari Noale ini jadi rebutan global, termasuk peminat dari Malaysia
Dalam masa hanya 14 hari, semua 30 unit Aprilia RSV4 XGP habis terjual di seluruh dunia — termasuk satu unit yang kini dimiliki oleh seorang peminat dari Malaysia. Diumumkan secara rasmi pada 8 Oktober 2025, kejayaan pantas ini menegaskan reputasi jenama “X” sebagai simbol eksklusiviti dan prestasi tertinggi dalam dunia motosikal berasaskan jentera perlumbaan.

Latar Belakang & Tujuan Penghasilan
Model RSV4 XGP ini dibangunkan khas oleh Noale Racing Department bagi meraikan ulang tahun ke-10 penyertaan Aprilia dalam MotoGP. Ia pertama kali dipertontonkan kepada umum semasa Grand Prix Catalunya, di mana sambutan yang diterima amat luar biasa — permintaan tempahan jauh melebihi jumlah sebenar yang ditawarkan. Dari Eropah ke Emiriah Arab Bersatu, Australia hingga ke Amerika Syarikat, RSV4 XGP menjadi bukti bahawa pengaruh dan daya tarikan Aprilia semakin kukuh di pentas global.

Teknologi & Kuasa Dari Litar
Aprilia RSV4 XGP bukan sekadar model edisi khas; ia merupakan hasil evolusi teknologi perlumbaan yang dibawa terus dari jentera RS-GP dalam kejuaraan dunia MotoGP. Ia merupakan motosikal pertama di dunia dalam kategorinya yang menggunakan leg dan tail wings — penyelesaian aerodinamik terus daripada jentera perlumbaan sebenar.
| Spesifikasi | Butiran |
|---|---|
| Enjin | V4 1099cc, berkuasa 238hp |
| Berat | 165kg |
| Nisbah Kuasa/berat | 1.44hp/kg |
| Asal | Dibangunkan oleh Noale Racing Department |
| Tujuan | Kegunaan litar sahaja (track use only) |
Selain itu, struktur tempat duduk diperbuat daripada gentian karbon – bukan sekadar untuk ringan, tetapi untuk memberikan ketegaran optimum ketika tunggangan berprestasi tinggi. Nisbah kuasa-ke-berat motosikal ini (238hp / 165kg) menjadikannya RSV4 paling berkuasa dan paling ekstrem pernah dihasilkan oleh Aprilia.

Kata CEO Aprilia Racing
Menurut Massimo Rivola, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing,
“X mengesahkan statusnya sebagai jenama eksklusif dan berpotensi besar. Kami berbangga dapat mencipta motosikal ikonik yang direka khusus untuk peminat litar yang mencari sesuatu yang benar-benar unik.”

Fenomena “X” yang Terus Meningkat
Fenomena “X” bermula pada tahun 2019 dengan pelancaran RSV4 X, dan sejak itu ia telah membuka lembaran baharu dalam dunia factory derivative bikes — motosikal yang membawa DNA jentera perlumbaan sebenar ke dalam tangan pemilik eksklusif. Kini, RSV4 XGP meneruskan legasi itu dengan teknologi yang lebih ekstrem dan reka bentuk yang lebih agresif.
Sambutan media antarabangsa juga luar biasa. Laman-laman berita automotif utama dan media sosial seluruh dunia memberi liputan meluas, menjadikan model ini antara motosikal paling diperkatakan tahun 2025 — bukti bahawa Aprilia bukan sahaja kekal relevan, tetapi terus memacu inovasi dalam segmen superbike prestasi tinggi.

Frankly Speaking
Terus-Terang, dalam dunia dua roda yang semakin dikuasai oleh strategi pemasaran dan angka jualan, Aprilia RSV4 XGP berdiri sebagai satu bentuk penghormatan tulen terhadap kejuruteraan, keberanian dan semangat perlumbaan. Hanya 30 orang di dunia akan merasai pengalaman sebenar yang dihasilkan daripada teknologi MotoGP — dan salah seorang daripadanya ialah rakyat Malaysia. Bagi kita yang lain, kehadiran RSV4 XGP ini mengingatkan bahawa masih ada jenama yang berani meletakkan prestasi tulen di hadapan populariti komersial.
No Comment