Pengangkutan Awam / Jalanraya

AFA PRIME Sedia Atasi Lonjakan Trafik Deepavali 2025

Langkah keselamatan dan pengurusan trafik dipertingkat di KLK dan LPT1

Musim perayaan Deepavali tahun ini bakal menyaksikan lonjakan besar trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dengan peningkatan sehingga 59% di KLK dan 67% di LPT1 antara 17 hingga 22 Oktober 2025. Menyedari hakikat itu, AFA PRIME Berhad — dahulunya dikenali sebagai ANIH Berhad — telah melaksanakan pelan menyeluruh bagi memperkukuhkan keselamatan dan pengurusan trafik sepanjang tempoh kritikal ini.

Trafik Dijangka Puncak 17–22 Oktober
Dengan Deepavali jatuh pada Isnin, 20 Oktober 2025, aliran trafik ke arah timur dijangka memuncak antara 17 hingga 19 Oktober, manakala perjalanan balik ke Kuala Lumpur akan mencapai kemuncak antara 20 hingga 22 Oktober. Purata kenderaan di KLK dijangka melonjak daripada 110,000 kepada 175,000 kenderaan sehari, manakala LPT1 akan meningkat daripada 41,000 kepada 68,300 kenderaan.

Operasi Diperkuat dan Kawalan Lebih Ketat
Bagi memastikan perjalanan kekal selamat dan lancar, tenaga kerja di kedua-dua lebuh raya ditambah sebanyak 20.5%, termasuk jurutol tambahan dan unit rondaan yang bertugas sepenuhnya sepanjang masa. Unit Kenderaan Rondaan Lebuhraya (PDRM) akan ditempatkan di Gombak, Temerloh, dan Kuantan bagi menyokong kawalan lalu lintas dan bantuan kecemasan.

Selain itu, anggota RELA dan pegawai JPJ turut digerakkan di kawasan strategik seperti R&R dan hentian sebelah, memastikan kawalan trafik, kebersihan serta bantuan kecemasan dapat diberikan tanpa henti selama 24 jam.

Kemudahan Ditambah Baik di Sepanjang Laluan
Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, AFA PRIME menambah tandas mudah alih, ruang parkir tambahan, dan kru pembersihan di beberapa R&R utama. Semua stesen minyak akan beroperasi 24 jam, dan bagi pengguna kenderaan elektrik, kemudahan pengecasan EV oleh GENTARI di Petronas R&R Gambang tersedia bagi kedua-dua arah perjalanan.

Pesanan Dari Pengurusan AFA PRIME
Menurut Encik Ibrahim Tambi Cik Mohamad, Pengurus Besar dan Ketua AFA PRIME Berhad, perayaan Deepavali adalah simbol cahaya, kebersamaan dan kasih sayang yang menyatukan keluarga seluruh negara. Beliau menegaskan bahawa setiap anggota pasukan operasi akan bersiap siaga sepenuhnya agar rakyat dapat pulang dengan selamat. “Kami menyeru semua pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan lebih awal dan memandu secara berhemah agar sambutan Deepavali tahun ini benar-benar membawa makna,” katanya dalam kenyataan rasmi syarikat pada 15 Oktober 2025.

Jadual Cadangan Waktu Perjalanan Deepavali 2025

LaluanTarikh & HariWaktu Disaran Masuk Plaza TolDestinasi
Dari KL/Selangor18 Okt (Sabtu)6.00–9.00 pagi / 5.00–8.00 petangKelantan
Dari KL/Selangor18 Okt (Sabtu)9.00–12.00 tengah hari / 8.00–11.00 malamTerengganu
Dari KL/Selangor18 Okt (Sabtu)12.00–4.00 petang / 8.00–11.00 malamPahang
Ke KL/Selangor20 Okt (Isnin)4.00–8.00 petang / 9.00–12.00 tengah malamDari Kelantan
Ke KL/Selangor20 Okt (Isnin)10.00 pagi–1.00 petang / 8.00–10.00 malamDari Terengganu
Ke KL/Selangor20 Okt (Isnin)7.00–10.00 pagi / 7.00–11.00 malamDari Pahang

Maklumat Bantuan & Trafik Terkini
Untuk bantuan kecemasan, pengguna boleh menghubungi LPT-Line di 1-700-818-700 (24 jam). Maklumat trafik masa nyata turut dikemas kini di Facebook rasmi AFA PRIME (Lebuhraya Pantai Timur) dan X (@LPTTrafik).


Frankly Speaking

Terus-Terang, kita tahu setiap kali musim perayaan tiba, lebuh raya utama negara pasti jadi ujian kesabaran. Usaha AFA PRIME menambah tenaga kerja dan mempertingkat kemudahan memang tepat, tetapi kejayaan pelan ini akhirnya bergantung kepada disiplin pemandu sendiri. Jika semua mematuhi saranan masa perjalanan, kekal berhemah dan tidak tergesa-gesa, perjalanan pulang ke kampung bukan sahaja lebih lancar — tapi juga lebih bermakna.

Previous post

Mohd Azhar Dilantik Pengarah Jualan Baharu JETOUR Malaysia

Next post

Aprilia RSV4 XGP Habis Terjual Dalam 14 Hari Sahaja

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *