XC60 Jadi Raja Baharu Volvo
Volvo XC60 kini sah sebagai model Volvo paling laris dalam sejarah — mengatasi legenda 240 dan membentuk legasi baharu untuk keluarga moden.
Dari 240 ke XC60: Evolusi Sebuah Ikon
Ada masa, hampir setiap rumah di Sweden ada satu — Volvo 240, wagon ikonik yang jadi simbol keselamatan keluarga sejak tahun 70-an. Kini, nama yang sinonim dengan keselamatan itu telah berpindah kepada satu wajah baharu: XC60. Sejak dilancarkan pada 2008, SUV segmen pertengahan ini telah mencapai satu pencapaian luar biasa — lebih 2.7 juta unit telah dijual di seluruh dunia (Volvo Cars, 25 Jun 2025), menjadikannya kereta Volvo paling laris sepanjang zaman, secara rasmi menewaskan 240 yang mencatatkan 2.68 juta unit.

XC60 tak hanya menjadi pilihan utama di Eropah. Ia juga jadi model pertama Volvo yang dipasang di China untuk pasaran tempatan, membuktikan fleksibiliti dan daya tarikan globalnya. Bahkan, gelaran World Car of the Year pada 2018 memperkukuh lagi statusnya sebagai model rujukan dalam dunia SUV mewah.

Reka Bentuk Skandinavia Bertemu Teknologi Semasa
Volvo XC60 kini tersedia sebagai plug-in hybrid, menyasarkan pengguna yang masih mahu gabungan enjin pembakaran dan kecekapan elektrik. Menurut data global Volvo Cars, hampir separuh jarak pemanduan oleh pemilik plug-in hybrid Volvo terkini dijana sepenuhnya oleh kuasa elektrik. Ia jelas menunjukkan bagaimana SUV ini merapatkan jurang antara masa kini dan masa depan elektrifikasi penuh, selari dengan visi global untuk mencapai sifar emisi karbon menjelang 2040.

Legasi Keselamatan: Dua Generasi, Satu Falsafah
Jika Volvo 240 dahulu mencetus revolusi dengan perlindungan hentakan sisi dan Child Booster Cushion, XC60 pula meneruskan legasi itu dengan ciri-ciri seperti:
- City Safety: Sistem brek automatik pertama dunia yang dipasang secara standard.
- Oncoming Lane Mitigation: Teknologi membantu kenderaan kembali ke lorong yang betul ketika tersasar.
Kedua-duanya mencerminkan prinsip asas Volvo: rekaan berasaskan keselamatan dunia sebenar, bukan semata-mata untuk lulus ujian makmal.

Dari Kilang ke Kenangan
Model Volvo 240 terakhir dilahirkan di Torslanda, Sweden pada Mei 1993. Menariknya, kilang yang sama kini menjadi salah satu lokasi pengeluaran XC60 bersama Chengdu, China. Ia bukan sekadar soal logistik — tapi kesinambungan warisan. Ramai yang membesar dengan 240 kini memilih XC60 untuk keluarga mereka sendiri. Reka bentuk mungkin berubah, tetapi falsafahnya kekal: perlindungan tanpa kompromi, praktikaliti tulen, dan kepercayaan jangka panjang.

Apakah Seterusnya?
Dengan pelancaran EX60 akan datang yang menampilkan teknologi tali pinggang keledar multi-adaptif pertama di dunia, jelas bahawa Volvo tidak sekadar berpuas hati dengan sejarah. Mereka bersedia menulis bab seterusnya — lebih pintar, lebih selamat, dan lebih lestari.
Frankly Speaking
Terus-Terang, kita menyambut kejayaan XC60 ini bukan kerana nombor jualan semata, tetapi kerana makna di sebaliknya. Ia bukti bahawa pendekatan yang konsisten terhadap keselamatan, kefungsian dan reka bentuk manusiawi tetap relevan — bahkan diperlukan — dalam dunia automotif yang makin kompleks. Tapi, kita juga perlu kekal realistik. XC60 mungkin tidak se-“glam” pesaing Jerman dari segi lencana, tapi ia tegas dalam misinya: selamat, selesa, dan sesuai untuk keluarga moden. Dan itu, pada kami, lebih penting daripada sekadar prestij.


















No Comment