M5 Baharu 727hp: Masih Lagi Raja Sports Sedan?
Supercar tersembunyi dengan 69km kuasa elektrik, RM1.188 juta atas jalan.
Bayangkan kita menunggu di lampu isyarat. Di sebelah, kereta sedan biasa. Tapi bila hijau menyala, ia meluru seperti peluru — 0 ke 100 km/j dalam 3.5 saat. Tiada bunyi bising enjin yang memekakkan, hanya desiran elektrik berserta ngauman V8 yang seakan dibebaskan dari sangkar. Inilah BMW M5 baharu. Luarannya tenang, dalaman bertenaga ibarat dua personaliti yang dijahit jadi satu.



Kuasa Dua Dunia
BMW M5 generasi baharu ini membawa satu perubahan besar dalam sejarah M — sistem pacuan M Hybrid. Di sebalik hud, enjin petrol 4.4L V8 TwinPower Turbo menghasilkan 585hp. Ia bergabung dengan motor elektrik berkuasa 197hp, menjadikan jumlah keseluruhan 727hp dan 1000Nm tork. Ia bukan sekadar angka — ini kuasa yang benar-benar terasa di belakang stereng.
Transmisi 8-kelajuan M Steptronic dihantar ke semua roda, dan dengan Boost Control (aktif hanya dalam M Track Mode), M5 mampu memecut dari 80 ke 120 km/j dalam hanya 2.9 saat — lebih laju daripada banyak supercar kontemporari. [BMW press release, 12 Jun 2025]

Pemanduan Elektrik? Ya, Tapi Bukan Sekadar Gimik
Bateri 18.6 kWh yang disorokkan di bawah lantai membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sehingga 69km (WLTP). Cas penuh hanya mengambil masa 3 jam lebih dengan pengecas AC 11kW. Ini bukan EV main-main — ini kompromi antara kuasa dan kepraktisan. Anda boleh ke pejabat tanpa setitis petrol, atau ke trek hujung minggu tanpa rasa bersalah.
Reka Bentuk: Maskulin Tanpa Keterlaluan
Reka bentuknya masih mengekalkan karakter klasik M5 — badan rendah, lengkuk tayar lebar, apron hadapan agresif. Tetapi kini lebih ‘clean-cut’, lebih matang. Ia bukan kereta untuk menunjuk-nunjuk — ia untuk yang tahu.
Kabinnya, Gabungan Fikiran dan Nafsu
BMW menampilkan BMW Curved Display (12.3” + 14.9”) dengan grafik khas M, disokong oleh BMW Live Cockpit Professional dan bantuan pintar peribadi. [Sumber: dsf.my]
Kemasan kulit Merino dua tona, gentian karbon dengan benang perak berkilat, tempat duduk M elektrik dengan pemanas, tali pinggang M dan lampu suasana yang bertukar mengikut mod pemanduan — semua ini bukan hanya kosmetik, tapi untuk suasana pemanduan yang menyeluruh. Malah, ada sistem audio Bowers & Wilkins 18-speaker, 655W, serta kamera dalaman terbina.



Fungsi M Masih Wujud, Cuma Lebih Canggih
Stereng M baharu kini dengan dasar rata, penanda merah 12 tengah, paddle shifter aluminium, dan butang M1/M2 untuk mod tersuai. Tambahan juga butang M Hybrid dan M Mode khas untuk pengalaman hibrid yang disesuaikan.
Dan ya, tempat duduk belakang masih luas. Ruang but? 466 liter walaupun ada bateri — satu pencapaian dalam kejuruteraan.
Jadi Siapa Yang Perlu Ambil Tahu Tentang M5 Ini?
Mereka yang mahukan sedan mewah harian tetapi tidak mahu korbankan kuasa. Atau mereka yang sudah biasa dengan kereta pantas, tetapi kini mahukan sesuatu yang lebih ‘senyap’, lebih matang, lebih relevan dengan masa depan — tapi masih boleh jadi ‘gila’ bila perlu.



Frankly Speaking
Terus-Terang, kita akui — RM1,188,000 (atas jalan tanpa insurans) bukan harga murah untuk sebuah sedan. Tapi dalam dunia di mana EV semakin mendominasi, M5 baharu ini mungkin “swan song” untuk mereka yang mahu rasa terakhir sebuah sedan prestasi petrol tulen, kini disuntik teknologi hibrid pintar. Kita harap BMW tidak hilang arah dalam dunia elektrifikasi — dan buat masa ini, nampaknya mereka masih di landasan yang betul.

























No Comment