Hyundai Kukuhkan Akar di Malaysia
Langkah Strategik Hyundai Motor Malaysia: Terus dari Prinsipal, Terus untuk Pengguna
Tepat jam 10 pagi tadi di Astana Grand Ballroom, Bamboo Hills, media tempatan menghadiri acara eksklusif bertajuk ‘First Glimpse of What’s Next’ – satu pratinjau khas tiga model terbaharu Hyundai yang bakal tiba ke pasaran Malaysia: TUCSON, SANTA FE dan STARIA. Bukan sekadar pameran statik, sesi ini menandakan permulaan era baharu Hyundai, kali ini terus daripada prinsipal sendiri—Hyundai Motor Malaysia (HMY).

Dari Sime Motors ke Operasi Sendiri: Transisi yang Dirancang
Sejak 2004, Sime Motors memainkan peranan penting membawa jenama Hyundai ke pasaran Malaysia. Namun bermula suku ketiga 2025, Hyundai akan memulakan operasi pemasangan tempatan bersama Inokom Corporation di Kedah, dengan sasaran tujuh model dalam tempoh lima tahun—merangkumi SUV, MPV, ICE dan HEV. Kira-kira 30% daripadanya disasarkan untuk eksport.
Menariknya, operasi ini disokong oleh sebuah pasukan tempatan seramai 100 kakitangan menjelang hujung tahun. Hyundai juga telah menubuhkan ibu pejabat baharu di Menara Affin @ TRX untuk menyokong operasi strategik jangka panjang mereka di Malaysia.



Tiga Model Baharu: SUV & MPV Generasi Baharu
Tiga model utama dipertontonkan dalam sesi sneak preview ini:
- STARIA: MPV futuristik dengan konfigurasi 7 atau 10 tempat duduk, kerusi relaksasi premium dan transmisi 8-kelajuan automatik. Enjin 2.2L diesel dengan 177ps dan tork 430Nm.
- The New TUCSON: Kini tampil dengan skrin lengkung 12.3”, rekaan dalaman lebih sofistikated serta varian hibrid. Varian HEV 1.6L turbo berkuasa 235ps dan 367Nm, disertakan transmisi 6-kelajuan automatik.
- All-New SANTA FE: SUV serba baharu dengan gaya lebih agresif, pintu but lebih lebar, dan enjin 2.5L turbo yang menghasilkan 281ps dan 422Nm, bersama 8-kelajuan DCT dan pacuan semua roda (AWD).
Model | Kuasa Maks (ps) | Tork Maks (Nm) | Kapasiti Enjin | Varian Pacuan | Transmisi |
---|---|---|---|---|---|
STARIA | 177 @ 3,800 rpm | 430 @ 1,500 rpm | 2.2L Diesel | 2WD | 8AT |
TUCSON HEV | 235 @ 5,500 rpm | 367 @ 1,000 rpm | 1.6L Turbo Hybrid | 2WD | 6AT |
SANTA FE Turbo | 281 @ 5,800 rpm | 422 @ 1,700 rpm | 2.5L Turbo | AWD | 8DCT |
Bukan Sekadar Produk: Tapi Komitmen
Menurut Pengarah Urusan HMY, Jahabarnisa Haja Mohideen, penubuhan ini bukan sekadar fasa korporat baharu tetapi penanda aras strategi jangka panjang Hyundai di ASEAN. Sementara itu, Presiden Hyundai Motor Malaysia, Eric Lee menegaskan bahawa kehadiran terus ke Malaysia adalah bukti komitmen jenama untuk berhubung lebih dekat dengan pelanggan.
Frankly Speaking
Terus-Terang, kehadiran Hyundai secara terus ke Malaysia patut dilihat sebagai langkah berani yang akhirnya berlaku pada masa yang tepat. Ia membolehkan mereka bertindak lebih pantas, mendengar terus dari pengguna, dan menjadikan pasaran ini sebagai tunjang serantau. Namun, kejayaan sebenar akan bergantung pada pelaksanaan—bukan sekadar pengumuman besar dan acara berprestij, tetapi bagaimana HMY mengurus jualan, servis, dan sokongan jangka panjang dengan konsisten. Jika semua ini berjaya dilakukan, jenama ini bakal menempah tempat sebenar dalam hati pengguna Malaysia.





No Comment