Harga Baru, Strategi Baharu
Leapmotor C10 kini RM125,000 dan sasar e.MAS 7 sebagai pencabar utama
Tak ramai tahu, tetapi Leapmotor C10 bukan calang-calang kereta elektrik. Direka dengan sentuhan Maserati dan kini ditawarkan pada harga istimewa RM125,000, model ini kini jadi antara EV paling bernilai di pasaran tempatan. Langkah Stellantis ini bukan sahaja agresif, malah berpotensi mengubah landskap EV bajet di Malaysia.

Dari Itali ke China ke Malaysia
Leapmotor C10 merupakan model global pertama daripada Leapmotor, dan pelancarannya di Malaysia pada Oktober 2024 menandakan debut pertamanya di Asia Tenggara. Direka hasil kolaborasi dengan Maserati (kedua-duanya di bawah payung Stellantis), C10 tampil dengan rekaan minimalis, fokus pada keselamatan, keselesaan, dan teknologi.
C10 bukan sahaja memenangi French Design Award dan US MUSE Design Award, malah penampilan luaran seperti lampu depan ‘Angel Wings’ dan lampu belakang LED penuh animasi jelas menunjukkan perhatian terhadap perincian.

Spesifikasi Teknikal: Saingan Terdekat Model Y
Spesifikasi | Leapmotor C10 |
---|---|
Motor | 1 motor belakang (RWD) |
Kuasa | 214hp |
Tork | 320Nm |
0–100 km/j | 7.5 saat |
Kelajuan Maksimum | Tidak dinyatakan |
Bateri | 69.9 kWh |
Julat WLTP | 424km |
Harga Asal | RM159,000 |
Harga Promosi Terkini | RM125,000 |
Dimensinya pula hampir menyamai Tesla Model Y, yang dijual bermula dari RM195,450. Dari segi saiz, ruang dan prestasi, ia lebih besar dan berkuasa berbanding Proton e.MAS 7, yang kini dijual pada RM109,000. Perbezaan harga RM16,000 itu tampak berbaloi jika ambil kira spesifikasi dan pengalaman pemanduan ala Eropah yang ditawarkan.




Keselesaan Dalaman dan Warna Eksklusif
Bahagian dalaman Leapmotor C10 menggunakan tempat duduk ergonomik 3D yang diperbuat daripada tekstil bio berpiawaian OEKO-Tex Standard 100. Rekaan ini bukan sahaja selesa untuk perjalanan jauh, tetapi juga tahan lama. Terdapat dua pilihan warna kabin: Criollo Brown (untuk warna luaran Glazed Green sahaja) dan Midnight Aurora.
Pilihan warna badan pula merangkumi Glazed Green, Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey—semuanya tampil moden dan premium.

Jaminan Menarik untuk Pembeli Awal
Leapmotor menawarkan jaminan penuh selama 6 tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu), serta jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km. Tawaran harga promosi ini adalah satu strategi Stellantis untuk menarik lebih ramai pembeli sebelum pasaran EV semakin sesak dengan pesaing baharu.
Frankly Speaking
Terus-Terang, kami lihat strategi harga RM125,000 ini sebagai satu langkah bijak—dan berani. Ia memaksa kita bertanya: adakah spesifikasi dan jenama masih jadi keutamaan, atau nilai sebenar yang lebih penting? Jika Leapmotor C10 mampu beri keselesaan, gaya dan teknologi pada harga segmen bawah RM130k, jenama-jenama lain perlu berhati-hati. Walaupun belum terbukti dari segi jangka hayat, langkah agresif Stellantis ini layak dipandang serius.







No Comment