Berita Auto

GoCar Kini Tawar Nissan KICKS e-POWER

SUV elektrik urban dengan jarak 900km kini boleh disewa serendah RM17.90 sejam menerusi GoCar Malaysia


GoCar Malaysia memperluaskan barisan kenderaan perkongsian mereka dengan penambahan model baharu — Nissan KICKS e-POWER. Penawaran terbaharu ini membuktikan komitmen GoCar dalam menyediakan penyelesaian mobiliti lebih bijak dan mesra alam kepada rakyat Malaysia. Melalui kerjasama dengan Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM), pengguna kini berpeluang menikmati pengalaman pemanduan elektrik tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada infrastruktur pengecasan EV.

Teknologi e-POWER yang diperkenalkan pada Nissan KICKS ini membolehkan enjin petrol berfungsi hanya sebagai penjana elektrik, manakala pemanduan digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik. Ini menghasilkan daya pecutan yang segera, senyap, dan menyeronokkan, seiring dengan kecekapan bahan api yang tinggi — mampu menjangkau sehingga 900km dengan satu tangki penuh.

Apa yang membezakan Nissan KICKS e-POWER ialah e-Pedal Step Mode, satu ciri pintar yang memudahkan pemanduan di kawasan bandar. Dengan hanya satu pedal, pemanduan menjadi lebih lancar dan kurang memenatkan dalam trafik sesak. Penggunaan teknologi ini bukan sahaja menjimatkan minyak, malah mengurangkan keperluan menekan brek secara berterusan.

Caj permulaan hanya RM17.90 sejam tanpa memerlukan sebarang kod promosi. Ini merupakan tawaran yang cukup menarik terutama bagi mereka yang ingin mencuba sendiri teknologi elektrifikasi tanpa komitmen jangka panjang. Model ini kini tersedia di lokasi terpilih GoCar seluruh negara.

Bagi yang gemar berkongsi pengalaman pemanduan di media sosial, GoCar dan Nissan Malaysia turut menawarkan hadiah. Dari 11 April hingga 31 Julai 2025, pengguna yang berkongsi ulasan pemanduan Nissan KICKS e-POWER di Facebook atau Instagram berpeluang memenangi pembersih hampagas mudah alih. Penyertaan hanya memerlukan pengguna untuk menempah, memandu dan tag @NissanMalaysia beserta tanda pagar #NissanKICKS dan #ePOWER.

Secara keseluruhannya, Nissan KICKS e-POWER sesuai untuk gaya hidup moden yang memerlukan gabungan efisien, praktikal, dan mesra alam. Ciri-ciri utama model ini termasuk:

  • 100% motor elektrik, enjin petrol hanya sebagai penjana
  • Pecutan serta-merta dengan tork tinggi
  • Jarak maksimum sehingga 900km
  • Pemanduan senyap dan selesa
  • e-Pedal Step untuk pemanduan bandar yang lancar

Dengan pelbagai ciri pintar dan harga sewaan yang mampu milik, penambahan Nissan KICKS e-POWER ke dalam barisan GoCar dilihat sebagai langkah logik dalam memudahkan rakyat Malaysia beralih kepada pemanduan elektrik.


Terus-Terang, kami melihat langkah GoCar ini sebagai satu cara yang strategik tetapi tidak terlalu revolusioner. Nissan KICKS e-POWER sememangnya menarik dari segi teknikal, tetapi ia masih belum bebas sepenuhnya daripada bahan api fosil. Walaupun tidak memerlukan pengecasan, sistem e-POWER masih memerlukan petrol — ini meletakkannya di tengah-tengah antara EV tulen dan ICE tradisional. Dari sudut pandang pengguna bandar, pendekatan ini mungkin pragmatik. Namun, untuk pencinta EV sejati, ia mungkin dirasakan sebagai separuh jalan yang belum cukup berani.

Previous post

GWM TANK 500 HEV: SUV Hibrid Mewah Idaman Malaysia

Next post

Honda e:N1 Rasmi Dibuka Untuk Tempahan di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *