Berita Auto

BMW 3 Series Kini 50 Tahun: Warisan Gemilang Berterusan

Raikan lima dekad evolusi BMW 3 Series yang memacu inovasi dan prestasi, disempurnakan dengan BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu.

BMW 3 Series bukan sekadar kereta biasa – ia adalah legenda hidup yang membentuk citra automotif premium global dan tempatan selama lebih separuh abad. Dilancarkan buat kali pertama pada tahun 1975, model ini pantas mengukir nama sebagai lambang pemanduan unggul, reka bentuk ikonik, serta teknologi yang sering menjadi penanda aras dalam industri automotif.

Sambutan ulang tahun ke-50 ini diraikan dengan cukup bermakna oleh BMW Group Malaysia menerusi pelancaran eksklusif model BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu. Varian edisi terhad ini, hanya tersedia sebanyak 50 unit, bakal menjadi rebutan para peminat BMW dan pengumpul kenderaan premium.

BMW M340i xDrive Edition 50 Jahre Baharu menampilkan pelbagai elemen istimewa yang membezakan ia daripada varian biasa. Ia dilengkapi upholsteri Sensatec premium, ciri Kawalan Pemanduan Aktif yang canggih dengan fungsi Berhenti & Jalan, serta bantuan parkir canggih menerusi Bantuan Parkir Plus. Tambahan lagi, Panel Instrumen Mewah dan Butang Galvanik memberikan suasana kabin yang elegan namun sporty. Spoiler Belakang M pula menambahkan lagi elemen aerodinamik dan agresif pada rekaan luaran kenderaan.

Untuk meningkatkan lagi aura eksklusif, beberapa komponen khas M Performance turut dipasang sebagai ciri standard. Antaranya adalah Sambungan Skirt Sisi M Performance, tempat rehat tangan tengah yang dibalut Alcantara serta paddle gear daripada serat karbon, menjadikan sentuhan visual dan fizikal model ini benar-benar premium. Tanda edisi khas “50 Jahre Edition” tertera pada plak pemegang cawan serta ukiran luar pada tiang B, menjadi bukti unik pengeluaran terhad model ini.

Bersempena dengan sambutan ini, BMW Group Malaysia turut menganjurkan acara khas di The Yard, Sentul Depot dari 18 hingga 20 April 2025. Pengunjung berpeluang menyaksikan evolusi penuh ketujuh-tujuh generasi BMW 3 Series serta merasai sendiri pengalaman memandu model BMW 330i M Sport yang disediakan untuk pandu uji.

Melihat kembali sejarahnya, BMW 3 Series memulakan perjalanan sebagai BMW E21 pada tahun 1975. Dengan rekaan dinamik dan sporty hasil karya Paul Bracq, generasi pertama ini mencipta definisi baharu dalam pemanduan segmen premium kompak. BMW E30, generasi kedua pula memperluaskan variasi model termasuklah pengenalan BMW M3 yang kini menjadi model lagenda dalam dunia automotif.

Generasi ketiga, BMW E36, memecahkan rekod dengan variasi paling luas, sementara BMW E46 (generasi keempat) mencatat jualan tertinggi dalam sejarah BMW dengan lebih 3 juta unit. BMW E90 yang dilancarkan selepasnya membawa perubahan revolusioner melalui reka bentuk “Flame Surfacing” oleh Chris Bangle. Sementara itu, BMW F30 memperkenalkan teknologi turbo dan hibrid yang lebih mesra alam.

Generasi terkini, BMW G20, terus mendominasi dengan ciri-ciri keselamatan dan teknologi terkini, termasuk variasi pacuan petrol, diesel, hibrid plug-in dan sistem xDrive untuk pacuan semua roda.

Terus-Terang, sambutan ulang tahun ke-50 BMW 3 Series ini bukan sekadar meraikan usia tetapi lebih kepada penghormatan terhadap inovasi yang berterusan. Walaupun kami mengagumi usaha berterusan BMW dalam memperhalusi teknologi dan reka bentuk, kami juga merasakan masih ada ruang penambahbaikan, khususnya dalam memperluaskan lagi tawaran kenderaan elektrik penuh dalam barisan BMW 3 Series untuk benar-benar menjadikan sambutan ini sebagai titik permulaan menuju masa hadapan yang mampan dan relevan.

Previous post

Eksklusif Tawaran Harley-Davidson Touring 2024

Next post

MG S5 EV Baharu Dilancar, Harga Menarik Bermula RM115,000

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *