EV Kini Mampu Tahan Lebih Lama, Malah Lebih Baik Dari ICE?
Kajian Baharu Dedahkan Hayat EV Kini Setanding Atau Lebih Lama Daripada Kereta ICE
Industri automotif global terus menyaksikan perubahan ketara apabila kajian terbaharu yang dijalankan oleh University of Birmingham dan London School of Economics (LSE) menunjukkan bahawa kenderaan elektrik (EV) moden kini mempunyai jangka hayat yang setanding, malah mungkin lebih lama daripada kenderaan berenjin pembakaran dalaman (ICE). Kajian ini, yang diterbitkan dalam jurnal Nature Energy, menganalisis lebih 300 juta rekod termasuk data daripada 30 juta kenderaan bagi menilai ketahanan dan kebolehpercayaan EV berbanding kenderaan petrol dan diesel.

EV Kini Lebih Boleh Dipercayai
Berdasarkan data ujian dari Kementerian Pengangkutan UK (MOT) antara tahun 2005 hingga 2022, para penyelidik mendapati bahawa walaupun EV generasi awal sering berdepan dengan isu kebolehpercayaan, kemajuan pesat dalam teknologi bateri dan kejuruteraan telah menghasilkan peningkatan ketara dalam ketahanan EV moden. Hari ini, EV bukan sahaja mampu bertahan lama, malah ia menunjukkan kadar kegagalan tahunan yang lebih rendah berbanding ICE.
Mengikut data kajian, EV mempunyai kadar kemungkinan kegagalan tahunan sebanyak 12%, berbanding 6.7% untuk kereta petrol dan 1.9% untuk kenderaan diesel. Ini menunjukkan bahawa dengan setiap model baharu yang dikeluarkan, tahap kebolehpercayaan EV terus meningkat.
Menurut Profesor Robert Elliott dari University of Birmingham, manfaat alam sekitar EV semakin jelas, terutamanya dalam konteks peralihan Eropah ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui. Walaupun pengeluaran EV menghasilkan pelepasan karbon lebih tinggi pada awalnya, jangka hayat yang panjang membolehkan ia menyeimbangkan jejak karbonnya dengan lebih cepat, menjadikannya pilihan yang lebih lestari dalam jangka panjang.

Ketahanan Bateri & Hayat Panjang
Kajian ini turut mendedahkan bahawa EV kini mampu bertahan sehingga 18.4 tahun secara purata dan mencatat jarak perjalanan sehingga 124,000 batu, sekali gus melebihi angka yang dicapai oleh kebanyakan kereta petrol. Fakta ini memberikan gambaran baharu kepada pengguna yang masih ragu-ragu dengan ketahanan dan kecekapan EV.
Selain itu, penyelidikan ini turut menyenaraikan jenama EV yang paling tahan lama. Tesla terus menerajui kategori EV dengan daya ketahanan terbaik, sementara Audi dan Skoda mendahului kategori petrol dan diesel masing-masing. Data ini pastinya memberi perspektif baharu kepada pengguna yang ingin membuat keputusan lebih bijak dalam pemilikan kenderaan.

Perancangan Masa Depan: Teknologi & Kitar Semula
Selain aspek ketahanan, kajian ini juga menekankan kepentingan perancangan lebih baik dalam menggantikan kenderaan lama serta mengitar semula EV pada akhir hayatnya. Dr. Viet Nguyen-Tien dari LSE menegaskan bahawa EV kini bukan lagi pilihan eksklusif, sebaliknya menjadi alternatif utama yang boleh menyumbang kepada matlamat sifar karbon di peringkat global.
Dengan teknologi bateri yang semakin maju dan kos penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding ICE, peralihan kepada EV bukan sahaja memberikan manfaat kepada pengguna, malah turut membantu mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Frankly Speaking
Terus-terang, kajian ini bukan sekadar membuktikan keupayaan EV untuk menyaingi ICE dari segi ketahanan, tetapi ia juga menandakan perubahan besar dalam landskap automotif global. Dulu, ramai yang skeptikal dengan daya tahan bateri EV, tetapi fakta dan data kini menunjukkan sebaliknya. Bagaimanapun, cabaran masih ada, terutamanya dalam aspek infrastruktur pengecasan dan kitar semula bateri yang perlu diberi perhatian serius.
Bagi pengguna yang masih ragu-ragu, kajian ini boleh menjadi pemangkin keyakinan dalam memilih EV sebagai pilihan utama. Namun, sebelum membuat keputusan, penting untuk memahami faktor lain seperti harga bateri, kos penggantian dan ketersediaan kemudahan pengecasan. Perubahan ke arah EV bukan sekadar trend, tetapi realiti yang semakin kukuh dalam industri automotif global.
No Comment