Bisnes

Chery – Jenama Kenderaan China Pertama Eksport Lebih 50k Unit Sebulan

Chery berjaya menewaskan pesaing cinanya dalam mencapai penanda aras yang besar iaitu 50,000 unit yang dieksport dalam sebulan.

Industri automotif cina telah berubah secara drastik sejak sedekad lalu. Beberapa tahun yang lalu, jenama China sibuk bersaing di dalam negara dan belajar daripada pengeluar asing tentang cara menambah baik produk mereka. Hari ini, kebanyakan jenama utama China menumpukan pada pasaran eksport, menentang mereka yang pernah menjadi mentor.

Pada bulan Julai, kita melihat prestasi dua jenama China ini, Chery dan Great Wall Motor, dari segi bilangan eksport untuk separuh pertama 2022. Minggu ini, Chery menyiarkan kenyataan media tambahan berkenaan bulan pertama separuh kedua 2022 – mereka telah menjadi jenama kereta China pertama yang mengeksport lebih daripada 50,000 kenderaan dalam masa sebulan!

Pembuat kereta yang berpangkalan di Anhui itu melaporkan menjual 50,614 kenderaan di luar China untuk Julai 2022, yang merupakan peningkatan jualan 90.1% yang luar biasa tahun ke tahun. Tahun ini setakat ini, Chery telah mengeksport hampir 200,000 kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 36.8% tahun ke tahun.

Berikut ialah siaran media Chery dengan lebih maklumat.

SIARAN MEDIA

Chery telah menjadi jenama kenderaan China pertama yang mengeksport lebih daripada 50,000 kenderaan dalam satu bulan – pada Julai, syarikat tersebut menjual 50,614 unit di luar China (+90.1% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, atau YoY) daripada jumlah jualan global 131,533 kenderaan (+57.7% YoY).

Pencapaian ini terhasil di samping pelbagai cabaran yang masih berterusan termasuk kesan COVID-19 dan kesukaran logistik. Dari Januari hingga Julai 2022, Chery telah mengeksport hampir 200,000 kenderaan (+36.8% YoY), mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah jualan globalnya setakat tahun ini.

Chery amat komited terhadap strategi globalisasinya dan terus mencatat perkembangan yang ketara serta stabil di pasaran luar negara. Sejak permulaan tahun, syarikat tersebut telah memecahkan rekod eksport bulanan jenama kenderaan China yang dipegang oleh Chery sendiri beberapa kali, mencatat kadar peningkatan purata 60.5% dalam tiga bulan yang lalu.

Siri Tiggo 8 dan Tiggo 7 terus mendapat sambutan baik semakin ramai pengguna global. Dalam tujuh bulan pertama 2022, 31,263 unit siri Tiggo 8 telah dieksport (+43.3% YoY). Siri tersebut juga digunakan sebagai kenderaan presiden dan penyambut tetamu rasmi di beberapa negara dan wilayah.

Di Mesir, Chery menjual 1,846 kenderaan pada Julai, meningkatkan jumlah jualan Januari-Julai kepada 12,591 unit, manakala penguasaan pasarannya mencapai 11.42% bagi tempoh Januari-Jun. Di Afrika Selatan pula, jualan Chery pada Julai mencapai 1,262 unit, melonjakkan jumlah jualan Januari-Julai kepada 6,380 unit dan mewakili 4.01% penguasaan pasaran yang merupakan rekod baharu.

Pada separuh kedua 2022, Chery akan terus mengukuhkan jenama, produk dan operasi pelanggannya serta mempercepatkan pelancaran kenderaan baharu, termasuk OMODA 5. Model pertama di bawah siri global baharu OMODA ini disasarkan kepada generasi muda di seluruh dunia dengan ciri-ciri berteknologi tinggi serta reka bentuk yang bergaya.

Selain itu, sejajar dengan trend automotif global ke arah kenderaan tenaga baharu (NEV), Chery menyasarkan untuk melancarkan NEV di 14 negara pada tahun ini, termasuk Brazil, Argentina dan Chile, merangkumi trenkuasa elektrik penuh, hibrid plug-in dan sistem mild-hybrid 48V.

Mengenai Chery

Chery telah dikenali sebagai “Technological Chery” sejak penubuhannya kerana kesungguhan syarikat menguasai teknologi teras. Enam pusat Penyelidikan dan Pembangunannya (R&D) di seluruh dunia serta pasukan R&D yang terdiri daripada lebih 5,000 ahli elit memberikannya kelebihan dari segi teknologi bahan api tradisional, tenaga baharu, pengeluaran pintar dan lain-lain. Setelah mengkaji bidang kenderaan tenaga baharu selama lebih 20 tahun, Chery telah membuktikan kebolehannya dengan empat platform pemasangan kenderaan, lima subsistem umum dan tujuh teknologi teras. Model EQ1 telah menjadi peneraju kenderaan elektrik bateri mini di China. Dalam bidang pengeluaran pintar, Chery telah menggerakkan strategi “CHERY LION”, secara beransur-ansur merealisasikan susun atur pintar dalam seluruh kitar hayat, merangkumi R&D, pengeluaran, pemasaran dan perkhidmatan, serta mencapai pengeluaran berskala besar dan pelancaran teknologi pemanduan autonomi tahap 2.5. Dari segi pengembangan pasaran global, Chery merupakan syarikat automotif China pertama yang mengeksport kenderaan, alat ganti CKD, enjin, serta teknologi dan peralatan pengeluaran kenderaan ke seluruh dunia. Setakat ini, Chery telah mengeksport kenderaannya ke lebih 80 negara dan wilayah, dan mempunyai 10 kilang dan lebih 1,500 pusat jualan dan servis di luar China. Dengan lebih 10 juta pengguna di seluruh dunia, termasuk 2 juta pengguna di luar China, Chery telah menjadi pengeksport kenderaan penumpang No 1 di China selama 19 tahun berturut-turut.

Sila layari @cherymalaysiaofficial di Facebook atau @chery.malaysia di Instagram, atau e-mel cherymalaysia@mychery.com untuk maklumat lanjut.

Previous post

Kerajaan Sudah Mula Mengkaji Lemon Law Untuk Malaysia

Next post

SUV Terpantas Dunia Aston Martin DBX707 Kini Di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *