Cerita Auto

Pengecualian SST Kenderaan Baharu Tidak Dilanjutkan

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa tarikh akhir pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kenderaan baharu kekal pada 30 Jun 2022.

Bagaimanapun, bagi membolehkan insentif pengecualian cukai jualan itu terus dinikmati oleh pelanggan yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun, tempoh pendaftaran kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jualan (JPJ) dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Tengku Zafrul menerusi satu kenyataan berkata lanjutan tempoh pendaftaran itu merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Tambah beliau lagi, dengan pembukaan sektor ekonomi, sektor automotif telah kembali beroperasi seperti sedia kala, namun terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi ekoran gangguan kepada rantai bekalan global.

Pada masa yang sama, seluruh dunia sedang menghadapi masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas merentas beberapa industri termasuk industri automotif.

“Berikutan permasalahan ini, sebanyak 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian ini masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli,” kata beliau.

Kerajaan telah memperkenalkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang (100% bagi kenderaan pemasangan tempatan dan 50% bagi kenderaan import) sejak 15 Jun 2020 bagi mengekalkan dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Setakat ini, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

Previous post

Art Of Speed Kembali Untuk Tahun 2022!

Next post

Bas Ekspres Rempuh Penghadang Tol, Empat Cedera

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.