Berita Auto

Mercedes-AMG GT Black Series Mendarat Di Malaysia

Semasa majlis pelancaran Mercedes-AMG A 35 dan GLA 35 versi pemasangan tempatan, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut sempat melakukan pra-tonton istimewa untuk Mercedes-AMG GT Black Series. Unit berwarna Magma Beam Orange ini merupakan salah satu daripada 13 unit GT Black Series yang telah dipesan oleh pelanggan di Malaysia. Menurut MBM, harga model ini bermula dari RM3 juta.

Diperkenalkan di peringkat global pada Julai 2020, GT Black Series merupakan jentera paling berkuasa yang keluar dari ibu pejabat AMG di Affalterbach. Ia dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang telah dinaik taraf dengan aci engkol jenis ‘flat-plane’, manifold ekzos baharu serta intercooler yang lebih besar.

Hasilnya, enjin yang diberi kod nama M178 LS2 itu menghasilkan 730 PS pada 6,700 rpm dan 800 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar AMG Speedshift DCT 7G yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.2 saat, dan dari 0 hingga 200 km/j dalam kurang sembilan saat. Kelajuan maksimum pula adalah 325 km/j.

Selain enjin, Mercedes-AMG turut mempertingkatkan sistem suspensi menerusi penggunaan komponen-komponen (wishbone, steering knuckle dan hub carrier) yang diperbuat daripada aluminium untuk mengurangkan berat. Seperti GT R, model ini juga dilengkapi dengan suspensi coilover dengan pra-muat spring boleh laras.

Turut disertakan adalah sistem AMG Traction Control yang menyediakan sembilan tahap cengkaman yang boleh dipilih mengikut keperluan. Tayar yang digunakan adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang dibangunkan khas untuk GT Black Series dengan ukuran 285/35 ZR 19 di hadapan dan 335/30 ZR 20 di belakang.

Untuk aerodinamik pula, GT Black Series dikatakan mempunyai persamaan dengan kereta lumba AMG GT3 dan AMG GT4 dengan bukaan udara yang besar pada bampar depan dan splitter depan yang diperbuat daripada gentian karbon. Menariknya, splitter tersebut boleh dilaraskan menerusi dua mod iaitu Street dan Race.

Di belakang pula terdapat diffuser yang lebar serta spoiler aerofoil yang boleh dilaras mengikut keadaan pemanduan. Menurut Mercedes, sudat bilah atas aerofoil tersebut boleh diubah sebanyak 20 darjah, sekaligus membolehkan ia menjana sehingga 400 kg downforce pada kelajuan 250 km/j.

Ruang dalaman dihiasi dengan upholsteri campuran kulit nappa dan mikrofiber Dinamic, serta jahitan kontras berwarna oren. Seperti varian-varian lain dalam barisan AMG GT, GT Black Series didatangkan dengan kluster instrumen berukuran 12.3 inci dan skrin multimedia 10.25 inci yang mempunyai tiga mod paparan AMG iaitu Classic, Sporty dan Supersport.

Previous post

Mazda CX-8 Kemas kini 2022 Dilancarkan Dengan Pilihan Turbo Petrol 2.5L

Next post

Saingan Baharu Kenderaan Semua-Elektrik - Dari Mazda - MX-30 - Hanya RM198,780

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *