Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Lightyear 0 Boleh Dipandu Sehingga 7 Bulan Tanpa Perlu Dicas

Lightyear, syarikat startup kenderaan elektrik yang berpangkalan di Belanda, telah memperkenalkan model produksi pertamanya yang dikenali sebagai Lightyear 0. Syarikat itu berkata kereta elektrik itu boleh berjalan selama tujuh bulan tanpa perlu dicas sama ada di outlet kediaman atau pun di stesen pengecas.

Ini kerana Lightyear 0 dilengkapi dengan panel solar berkembar pada bahagian bumbung dan bonet yang boleh memberikan tenaga elektrik untuk pemanduan sejauh 70 km setiap hari atau 11,000 km setahun, bergantung kepada cuaca. Dengan satu cas penuh, ia boleh mencapai jarak sejauh 625 km mengikut kitara WLTP.

Menurut Lightyear, kereta ini tidak perlu disambung pada pengecas sehingga dua bulan dalam iklim seperti di Belanda atau sehingga tujuh bulan di negara-negara yang lebih panas seperti Sepanyol atau Portugal. Melihat kepada keadaan ini, tidak mustahil jika ia boleh bertahan selama itu di Malaysia.

Lightyear 0 dipacu oleh empat buah motor elektrik (masing-masing ditempatkan di dalam roda) yang menggunakan tenaga sebanyak 10.5 kWh setiap 100 km pada kelajuan 100 km/j, menjadikannya antara EV yang paling efisien di pasaran.

Turut menyumbang kepada kecekapannya adalah reka bentuk luarannya yang aerodinamik yang memberikan pekali seret serendah 0.19. Kereta ini mempunyai ukuran panjang kira-kira lima meter dan berat keseluruhan 1,575 kg.

Rekaan kabinnya agak moden dan minimalis. Tumpuan utama di sini adalah skrin sentuh berukuran 10.1 inci yang memberikan akses kepada sistem infohibur yang menyokong kemas kini secara atas talian berasaskan awan (cloud based).

Selain itu, Lightyear menggunakan material vegan dan dari sumber semula jadi seperti mikrofiber ekologi untuk upholsteri tempat duduk dan perincian yang diperbuat daripada pokok rotan.

Fasa pengeluaran Lightyear 0 akan bermula pada musim luruh tahun ini (sekitar September), dengan penyerahan pertama dijangka bermula pada November. Hanya 946 unit akan dihasilkan dan setiap satu dijual pada harga €250,000 (RM1.16 juta).

Selepas Lightyear 0, syarikat itu akan menawarkan model produksi massa pada lewat 2024 atau awal 2025 yang lebih mampu milik dengan harga €30,000 (RM138,650).

Previous post

Jualan Kereta Elektrik Wuling Mungkin Menjangkaui Perodua Axia Tidak Lama Lagi

Next post

GoCar Garage Kini Di Johor Bahru, Pulau Pinang Dan Melaka

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *