Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Kia EV6 Dilancarkan Di Malaysia – Harga RM300,668

Segmen kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin hangat dengan kehadiran model-model menarik dari Jerman dan Korea Selatan seperti BMW iX, Mercedes-Benz EQA dan Hyundai IONIQ 5. Kini, satu lagi pesaing telah pun tiba ke pasaran tempatan iaitu Kia EV6 serba baharu.

Menurut Dinamikjaya Motors selaku pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia, EV6 kini dibuka untuk tempahan. Ia dijual pada harga RM300,668 (OTR tanpan insurans) dan didatangkan dengan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, manakala bateri pula mempunyai waranti selama tujuh tahun atau 150,000 km.

Untuk pasaran Malaysia, crossover elektrik itu didatangkan dalam satu varian sahaja iaitu GT-Line, yang dikuasakan oleh motor berkembar (satu pada setiap gandar) dan bateri lithium-ion berkapasiti 77.4 kWj. Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 320 hp dan 605 Nm, cukup untuk membolehkan EV6 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 185 km/j.

Selain prestasi pecutan yang baik, trenkuasa elektrik itu juga mampu memberikan jarak pemanduan sejauh 506 km dengan satu cas penuh. Seperti IONIQ 5, EV6 dibina berasaskan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP), bermakna ia mempunyai teknologi 800V yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW. Berdasarkan spesifikasi yang diberikan, pengecasan dari 10% hingga 80% hanya mengambil masa 18 minit.

Dengan platform E-GMP dan Integrated Charging Control Unit (ICCU), EV6 juga mempunyai fungsi Vehicle-to-Load (V2L) yang boleh digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik. Bagi model ini, fungsi itu membekalkan kuasa sebanyak 3.6 kWj.

Walaupun menggunakan platform yang sama dengan IONIQ 5, EV6 lebih panjang dan rendah sedikit dengan ukuran 4,695 mm dan 1,550 mm, namun tapak rodanya yang berukuran 2,900 mm lebih pendek berbanding tapak roda model Hyundai itu yang berukuran 3,000 mm. Di belakang, terdapat ruang kargo sebesar 520 liter. Dengan melipat tempat duduk belakang, ruang ini akan menjadi sebesar 1,300 liter. Di depan pula, ada ruang penyimpanan sebesar 20 liter.

Kelengkapan standard yang tersedia pada EV6 termasuk lampu LED berkembar automatik, lampu nyalaan siang LED, cermin sisi boleh lipat secara automatik, tailgate kuasa pintar dan rim berukuran 20 inci. Terdapat lima warna untuk dipilih iaitu Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Runway Red, Yacht Blue dan Moonscape.

Masuk ke dalam, anda akan menemui dua paparan yang masing-masing berukuran 12.3 inci, brek parkir elektronik, stereng multifungsi, pencahayaan ambien LED dan sistem pendingin hawa dwi-zon dengan corong belakang. Sistem infohibur pula menyediakan Apple CarPlay, Android Auto, sambungan Bluetooth dan sistem audio Meridian dengan 14 pembesar suara. Turut disertakan adalah pengecas wayarles, dua soket 12V dan empat port USB-C.

Untuk sistem keselamatan pula, EV6 dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, ESC, Safe Exit Assist, serta ciri-ciri lain seperti Traction Control, Brake Assist, cagak ISOFIX, top tether dan Hill-Start Assist Control.

Bukan itu sahaja, ciri-ciri aktif seperti High Beam Assist, Blind-Spot Collision-Avoidance Assist, Rear Cross-Traffic Collision Assist, Blind-Spot View Monitor, Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning, Forward Collision-Avoidance Assist with Junction Turning, Lane Following Assist dan Smart Cruise Control juga tersedia.

Tidak cukup dengan itu, Kia turut melengkapkan EV6 dengan Surround View Monitor (SVM) yang memberikan sudut pandangan 360 darjah bagi menjadikan parkir lebih mudah. Sebagai alternatif, pemandu juga boleh menggunakan Remote Smart Parking Assist.

Previous post

Toyota Veloz 1.5 AT Kini Boleh Ditempah - Harga RM95,000

Next post

Bermaz Auto Mempunyai Pesanan Yang Kukuh Dengan 8,000 Unit Tempahan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *