Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Isuzu D-Max X-Terrain Kini Dengan 4 Ciri Baharu

Selepas lebih setahun berada di pasaran, Isuzu D-Max kini mendapat beberapa ciri penambahbaikan bagi menjadikan ia lebih selesa dan canggih. Bagaimanapun, ciri-ciri tersebut hanya tersedia pada varian tertinggi X-Terrain yang dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter.

Untuk tahun 2022, D-Max X-Terrain kini didatangkan dengan Around-View Monitor yang memberikan pandangan persekitaran dalam 360 darjah. Ia bukan sahaja menawarkan pandangan mata burung ketika mengundur, malah juga menyediakan pilihan panduan 3D dalam paparan 9-inci bagi meletakkan kenderaan dengan lebih mudah.

Satu lagi ciri baharu adalah pelantar cas tanpa wayar Qi yang terletak di hadapan tuil gear. Ia sesuai digunakan untuk semua telefon pintar dengan ciri pengecasan tanpa wayar. Turut disertakan adalah pelindung geseran (scuff plate) berlampu yang dapat melindungi bingkai pintu daripada calar kecil serta menambahkan lagi ciri elegan model ini.

Akhir sekali, trak pikap ini juga mempunyai lampu alu-aluan (welcome light) LED yang terletak pada bahagian bawah badan untuk menerangi kawasan sekitar kaki ketika membuka kunci kenderaan.

Selain itu, Isuzu Malaysia turut memperkenalkan dua warna baharu untuk D-Max X-Terrain iaitu Silky Pearl White dan Onyx Black. Kedua-dua warna ini ditawarkan bersama-sama dengan warna sedia ada iaitu Valencia Orange.

“Populariti model Isuzu D-Max, terutama varian X-Terrain kekal tinggi dengan ramai pemilik kali pertama gembira dengan trak pikap moden ini. Tahap keselamatan dan keselesaan yang mengagumkan, serta ciri versatil untuk ke mana saja dan melakukan apa saja telah menyebabkan semakin ramai pengguna kereta sedan beralih kepadanya.

“Saya yakin dengan tambahan ciri dan warna baru, D-Max X-Terrain akan terus menarik lebih ramai pemandu untuk beralih ke kenderaan kategori ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Isuzu D-Max X-Terrain baharu ini akan dibuka untuk tempahan bermula sekarang di semua pengedar Isuzu sah dan akan mula diserahkan kepada pemilik pada pertengahan bulan Julai. Ia dijual dengan kenaikan harga minimum dengan harga atas jalan (tidak termasuk insuran) bermula dengan RM146,938.40.

Previous post

Ssangyong Torres Dipersembahkan Selepas Pemilik Baharu, KG Consortium, Dipilih

Next post

Yamaha MT-09 Kini Dalam Warna Tech Black Dan Cyan Storm

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *