Motosikal / Lain Lain Roda

Triumph Tiger 1200 GT Pro, Rally Explorer Kini Di Malaysia

Triumph Tiger 1200 baharu telah dilancarkan ke pasaran Malaysia oleh pengedar rasmi jenama motosikal itu iaitu Fast Bikes Sdn Bhd. Motosikal jenis kembara-touring itu ditawarkan dalam dua varian iaitu Tiger 1200 GT Pro yang memfokuskan kepada jalan raya dan Tiger 1200 Rally Explorer yang dibangunkan untuk off-road, masing-masing berharga RM115,900 dan RM130,900.

Kedua-dua GT Pro dan Rally Explorer berkongsi enjin 1,160 cc tiga silinder yang menghasilkan 150 PS pada 9,000 rpm dan 130 Nm pada 7,000 rpm, mewakili peningkatan sebanyak 9 PS dan 8 Nm berbanding enjin sebelum ini. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh transmisi enam kelajuan dengan klac Slip & Assist.

Enjin T-plane yang unik itu menampilkan aci pemacu (shaft drive) yang ringan dan jujukan pembakaran yang tidak sekata bagi meningkatkan prestasi pecutan. Menurut Triumph, Tiger 1200 baharu 25 kg lebih ringan berbanding versi terdahulu dan 17 kg lebih ringan berbanding pesaing terdekatnya.

Di samping enjin, kedua-dua varian juga dilengkapi dengan sistem suspensi semi-aktif Showa yang sama yang merangkumi fork USD 49 mm dan monoshock. Bagaimanapun, suspensi berkenaan mempunyai jarak pergerakan (travel) yang berbeza iaitu 200 mm pada GT Pro dan 220 mm pada Rally Explorer.

Persamaan antara kedua-dua varian ini tidak berakhir di situ. GT Pro didatangkan dengan rim aluminium tempaan berukuran 19 inci di depan dan 18 inci di belakang, manakala Rally Explorer pula mendapat rim lidi berukuran 21 inci di depan dan 18 inci di belakang.

Penggunaan rim yang lebih kecil memberikan GT Pro ketinggian tempat duduk dari 850 mm hingga 870 mm. Sementara itu, tempat duduk Rally Explorer pula berada 875 mm hingga 895 mm dari tanah.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua varian dilengkapi dengan mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road. Sebagai tambahan, Rally Explorer mendapat mod Off-Road Pro yang akan mematikan sistem ABS dan Traction Control.

Previous post

Euro NCAP: Volvo C40 Recharge Peroleh Penarafan 5 Bintang

Next post

BMW M3 Competition xDrive Dan M4 Competition xDrive Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *