Bisnes

Proton Mula Eksport X50, X70 Dan Saga Ke Afrika Selatan

Selepas menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan pada April lalu, Proton kini telah membuat penghantaran pertama ke negara itu pada 27 Mei lalu. Stok penghantaran itu terdiri daripada X50, X70 dan Saga.

Kapal yang mengangkut kenderaan itu berlepas dari Westport, Klang, dan dijangka tiba di Durban, Afrika Selatan, pada Julai. Ini merupakan kali pertama kenderaan Proton dieksport ke negera itu sejak 2012.

“Penghantaran ini adalah satu lagi pencapaian yang penting bagi Proton pada tahun ini. Afrika Selatan merupakan pasaran yang matang dengan banyak pesaing tetapi kami yakin Proton X50, Proton X70 dan Saga mempunyai kombinasi ciri-ciri dan nilai untuk wang yang mencukupi untuk bersaing di sana,” kata Steven Xu, Pengarah Jualan Antarabangsa, Proton.

“CMH Group sedang berusaha untuk menyediakan rangkaian pengedaran mereka dan kami merancang untuk melancarkan model kami pada akhir suku ketiga tahun ini. Pada minggu lepas, beberapa ahli pengurusan CMH Group telah melawat Malaysia untuk bermesyuarat bersama Proton serta melawat pengedar dan kilang di Tanjung Malim,” tambah Steven.

Dalam pada itu, Proton berkata penambahan jualan eksportnya pada tahun ini adalah kerana peningkatan permintaan sebanyak 77% dan 31% bagi X50 dan X70. Bagi suku pertama tahun ini, jumlah keseluruhan eksport telah bertambah sebanyak 175% berbanding dengan tempoh yang sama pada 2021 dan kadar penumbuhan itu dijangka akan terus naik kerana syarikat mempunyai sasaran untuk menambah jualan sebanyak 300%.

Untuk mencapai sasaran itu, operasi pemasangan tempatan (KD) perlu diperluaskan. Buat masa kini, operasi sedang berjalan di Pakistan, Kenya dan Bangladesh dengan Sri Lanka bakal sertai senarai negara pada separuh tahun kedua 2022.

Bagi tiga tahun sebelum ini, Proton telah menambahkan pegangan jumlah bagi kenderaan eksport Malaysia dari 12.8% pada tahun 2019 ke 30.2% pada 2020 dan 61.0% pada 2021 walaupun ada banyak halangan akibat pandemik Covid-19.

“Penambahan jualan eksport amat penting bagi Proton jika kami ingin mencapai sasaran jangka masa panjang. Syarikat perlu memasuki lebih banyak pasaran baru untuk meningkatkan lagi jumlah jualan, dan kami telah membuat pelaburan di Tanjung Malim dan bagi operasi luar negara untuk memastikan kami dapat menyambut sebarang peluang yang bakal diterima,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Previous post

Honda ZR-V Buat Kemunculan Sulung Di China

Next post

EMOS Tambah 7 Lagi Wakil Pusat Servis Kawasaki

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published.