Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Perdana Menteri Pelawa Tesla Hasilkan EV Di Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempelawa pelabur dan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau mengalu-alukan mereka, terutamanya syarikat Fortune 500 untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka, iaitu dalam sektor digital ekonomi, teknologi hijau dan kereta elektrik.

“Saya cadang Tesla membuat pelaburan di Malaysia dalam menghasilkan kereta elektrik,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menemui Ted Osius, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) di sebuah hotel di sini pada Rabu (waktu tempatan).

Penubuhan AS-ABC pada 1984 mewakili 170 perniagaan utama Amerika di Asia Tenggara.

Perdana Menteri yang tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke AS termasuk bertemu Presiden Joe Biden dan pemimpin ASEAN.

Ismail Sabri berkata, beliau telah meminta AS-ABC untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menarik pelaburan ke ASEAN, terutamanya Malaysia.

“Mereka menganggap Malaysia sebagai rakan perdagangan Amerika Syarikat yang penting,” kata Perdana Menteri mengenai reaksi AS-ABC.

Kemudian, Ismail Sabri mempunyai sesi berasingan dengan Setiausaha Agung World Information Technology and Services Alliance (WITSA) Dr James H Poisant di tempat yang sama.

WITSA, katanya, akan mengadakan Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat (WCIT), persidangan IT terbesar di dunia di Pulau Pinang pada September.

“Saya berharap kongres ini akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dari segi teknologi,” katanya.

Ismail Sabri berkata, peserta dari seluruh dunia akan berhimpun di kongres itu termasuk penceramah dari agensi angkasa Amerika.

Dalam pertemuan lain di tempat yang sama, Perdana Menteri bertemu Presiden Peterson Institute for International Economics, Dr Adam S Posen dan Naib Presiden East-West Center, Dr P Limaye.

Ismail Sabri turut mengadakan perbincangan berasingan dengan Timbalan Penolong kepada Presiden AS dan Penyelaras Hal Ehwal Indo-Pasifik di Majlis Keselamatan Negara, Dr Kurt M Campbell.

Beliau memberitahu Dr Campbell bahawa semua negara anggota ASEAN perlu terlibat dengan cadangan inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) yang diterajui AS.

Pada masa ini, beberapa negara daripada kumpulan itu tidak terlibat dalam inisiatif perdagangan dan ekonomi utama untuk rantau Indo-Pasifik.

“Malaysia berpandangan semua negara ASEAN perlu dilibatkan,” katanya sambil menambah Kuala Lumpur pada dasarnya bersetuju menyertai IPEF.

Sumber: BERNAMA

Previous post

Kia Soul Diberi Facelift Tetapi Tidak Akan Datang Ke Malaysia

Next post

Dengan Kos Pengecas DC Laju RM100K, Berapa Akan Dipasang Menjelang 2025?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *