Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Kymco Lancar Perkhidmatan Penukaran Bateri E-Skuter Di Itali

Gergasi skuter Taiwan, Kymco menghangatkan lagi persaingan dalam pasaran mobiliti elektrik di Eropah menerusi pelancaran perkhidmatan penukaran bateri (battery swapping) Ionex untuk skuter elektrik. Destinasi pertama syarikat itu adalah Itali, di mana ia akan bersaing dengan syarikat senegara iaitu Gogoro yang lebih popular di pasaran domestik.

Gogoro, yang turut mengusahakan perkhidmatan penukaran bateri di pasaran-pasaran utama Asia seperti China, India dan Indonesia, sudah pun menawarkan skuter elektrik di Eropah menerusi kerjasama dengan syarikat startup Tier namun hanya untuk penyewaan jangka pendek.

Tetapi Gogoro bukanlah satu-satunya pesaing yang perlu dihadapi Kymco dalam segmen yang semakin berkembang itu. Empat pengeluar motosikal terbesar dari Jepun iaitu Honda, Kawasaki, Suzuki dan Yamaha juga telah mula menceburi perniagaan penukaran bateri menerusi satu kerjasama yang dibentuk sejak tahun lalu, namun perkhidmatan itu masih belum ditawarkan di Eropah.

Bagi Kymco pula, syarikat itu telah melantik KMI di Padana Sviluppo sebagai pengedar rasmi skuter elektriknya di Itali. Setakat ini, masih tiada maklumat mengenai model mana yang akan dibawa masuk ke negara itu namun sebagai salah satu pengeluar skuter dan motosikal terbesar di dunia, Kymco mempunyai beberapa pilihan.

Sebagai contoh, model Many 110 EV boleh membawa sehingga lima pek bateri boleh tukar Ionex untuk mendapat jarak tunggangan sejauh 200 km dengan satu cas penuh. Dengan kelajuan maksimum 50 km/j dan berat sekitar 94 kg, ia pastinya sesuai untuk digunakan di bandar-bandar berpenduduk padat seperti Rom dan Milan.

Untuk pengecasan, Many 110 EV boleh disambungkan ke soket domestik atau stesen pengecas pantas. Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menukar bateri di stesen penukaran bateri yang disediakan, seperti apa yang dilakukan oleh pelanggan Gogoro.

Selain Many 110 EV, Kymco juga mempunyai S7 dan Nice 100 EV, kedua-duanya dilengkapi dengan bateri yang boleh ditukar.

Ionex di Malaysia?

Di Malaysia, jenama Kymco kelihatan tidak begitu aktif sejak pelantikan Edaran Modenas (EMOS) sebagai pengedar eksklusif pada 2016, jadi kemungkinan untuk perkhidmatan Ionex ditawarkan di Malaysia adalah sangat rendah. Lagipun, permintaan untuk skuter elektrik dan teknologi penukaran bateri di negara ini masih lagi rendah.

Previous post

Dua Polis Trafik Iring Kereta Anak Ahli Parlimen Disiasat

Next post

Siri Kejohanan Antarabangsa MercedesTrophy Kembali Untuk Tahun Ke-32

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *