Bisnes

Jualan Proton Jatuh 32.2% Kepada 8,839 Unit Pada April 2022

Suku kedua tahun ini bermula dengan bulan yang mencabar bagi Proton berikutan isu bekalan cip yang terus mengehadkan bilangan kenderaan yang dijual.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, jualan untuk bulan April hanya mencecah 8,839 unit bagi pasaran domestik dan eksport, menunjukkan penurunan sebanyak 32.2% berbanding bulan Mac dan 41.1% berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pegangan pasaran bagi April 2022 dianggarkan pada 15.6%, manakala pegangan pasaran tahun hingga kini (YTD) sebanyak 17%. Secara keseluruhan, Proton berkata ia menduduki tempat kedua dari segi jualan terkumpul dan pegangan pasaran.

Walaupun jualan dan pegangan pasaran mengalami penurunan secara keseluruhan, tiga model Proton iaitu X50, X70 dan Exora kekal berada di kedudukan teratas dalam segmen masing-masing dengan jualan sebanyak 1,554 unit, 1,530 unit dan 301 unit.

Model terlaris pada bulan April ialah Saga dengan 4,579 unit yang menyumbang kepada jumlah YTD sebanyak 14,028 unit. Pada masa yang sama, Proton mengesahkan yang ia merupakan bulan terakhir jualannya sebelum pelancaran Proton Saga 2022.

Secara keseluruhan, Saga berada di tempat kedua dalam kelasnya dengan permintaan eksport yang kukuh dan dijangka mengekalkan model ini dalam barisan untuk seketika pada masa akan datang.

“Selepas dua tahun dengan jualan yang terjejas akibat pandemik, pasaran automotif Malaysia menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh pada 2022, ia terbukti dengan senarai menunggu yang panjang untuk penghantaran kereta baharu. Proton dengan sedaya upaya memenuhi permintaan pasaran, tetapi kami juga mesti mengakui yang kami paling terjejas oleh isu bekalan cip,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Tambah Roslan lagi, Proton telah memperoleh bekalan cip untuk bulan Mei dan Jun, serta mengunjurkan pemulihan yang pantas dalam beberapa bulan yang akan datang. Bagaimanapun, situasi masih tidak menentu bagi sepanjang tahun ini, ditambah pula dengan isu kenaikan kos yang melanda industri automotif.

Previous post

Tempat Untuk Letakkan Beg Tangan Anda Di Dalam Kereta Anda

Next post

Dua Polis Trafik Iring Kereta Anak Ahli Parlimen Disiasat

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *