Berita Auto

Honda ZR-V Buat Kemunculan Sulung Di China

Honda ZR-V telah diperkenalkan secara rasmi pada acara Guangzhou Auto Show 2022 di China. Secara asasnya, ia sama sahaja dengan Honda HR-V pasaran Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada April lalu, cuma model ini dibangunkan oleh GAC Honda untuk pasaran China.

Ini bermakna, seperti HR-V itu, ZR-V juga dibina menggunakan platform Civic generasi ke-11 dan berkongsi enjin turbo 1.5-liter yang sama dengan sedan itu. Sebagai kenderaan segmen C, ZR-V akan diposisikan di antara model HR-V global (yang akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi) dan CR-V dalam portfolio crossover Honda.

Reka bentuk luaran menunjukkan perbezaan yang agak ketara dengan model-model semasa Honda, dengan gril luas yang mempunyai kemasan heksagon 3D dan lampu utama yang langsing yang kelihatan seperti lampu Civic FE. Pada bahagian belakang, lampu ZR-V lebih konvensional berbanding HR-V, manakala spoiler-nya juga kelihatan lebih menonjol.

Di dalam, rekaannya tidak jauh berbeza dengan kabin Civic, terutamanya jika dilihat pada stereng, papan sistem infohibur dan kemasan mesh honeycomb pada corong pendingin hawa. Bagaimanapun, rekaan konsol tengah sedikit berbeza dengan ketiadaan pemegang cawan di sebelah tuil gear. Brek parkir elektronik dan beberapa butang lain diletakkan di belakang tuil tersebut, berdekatan dengan perehat tangan.

Di bawah bonet ZR-V adalah enjin 1.5-liter turbo empat silinder yang menghasilkan 182 PS dan 240 Nm, jumlah yang sama dengan Civic. Transmisi jenis CVT ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda depan. Selain enjin dan transmisi, model crossover ini juga dijangka mendapat sistem suspensi bebas di belakang yang sama.

Harga jualan rasmi Honda ZR-V masih belum diketahui setakat ini namun ia pasti akan diumumkan apabila model itu dilancarkan ke pasaran tidak lama lagi.

Previous post

Apa Agaknya Pelancaran 2022 Terakhir Honda Malaysia?

Next post

Proton Mula Eksport X50, X70 Dan Saga Ke Afrika Selatan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *