Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Lesen Tidak Diperlukan Untuk Memandu EV Berkuasa Solar Ini

Diumumkan buat pertama kali pada 2019, kenderaan elektrik pertama keluaraan Squad Mobility yang dikenali sebagai ‘Squad’ akhirnya diperkenalkan secara rasmi. Menurut syarikat startup EV yang berpengkalan di Belanda itu, kereta kecil molek itu kini dibuka untuk pra-tempahan di Eropah dan dijangka memasuki pasaran pada tahun depan.

Squad secara asasnya merupakan kereta bandar yang dikuasakan oleh tenaga solar. Ia boleh memuatkan dua orang penumpang, bagasi, serta mempunyai tingkap yang luas dengan pemandangan panoramik, papan pemuka dengan ruang untuk meletakkan komputer riba, pemegang cawan, pemegang telefon serta pengecas USB.

Di Eropah, Squad dikategorikan sebagai kenderaan L6e, bermakna ia boleh dipandu oleh mereka yang berusia seawal 14 tahun (bergantung kepada negara) tanpa memerlukan lesen memandu, seperti Citroen Ami dan Opel Rocks-e.

Ia dikuasakan oleh sepasang motor elektrik, masing-masing menjana 2 kW untuk jumlah kuasa keseluruhan sebanyak 4 kW. Motor-motor elektrik berkenaan mendapat bekalan tenaga daripada empat pek bateri lithium-ion berkapasiti 1.6 kWh, sekaligus membolehkan ia dipandu sejauh 100 km dengan satu cas penuh dan mencapai kelajuan maksimum 45 km/j.

Untuk pemulihan tenaga, Squad boleh disambungkan kepada soket domestik atau stesen pengecas seperti EV konvensional. Sebagai alternatif, pengguna juga boleh menggantikan bateri yang telah mati dengan bateri baharu yang telah dicas sepenuhnya di stesen pengecas bateri yang disediakan. Tidak dilupakan adalah bumbung panel solar yang boleh memberikan jarak tambahan sehingga 20 km.

Menurut Squad Mobility, kenderaan ini direka dan dibangunkan khusus untuk platform perkongsian kereta dengan tumpuan kepada ketersambungan dan kecekapan. Apabila ia memasuki pasaran kelak, pelanggan boleh mengesan lokasi Squad dan mengaksesnya dengan hanya menggunakan aplikasi telefon pintar.

Untuk penduduk Kesatuan Eropah (EU) yang ingin membelinya, Squad dijual pada harga bermula dari 6,250 euro (RM28,744). Terdapat empat pilihan pra-tempahan yang ditawarkan. Squad versi produksi biasa memerlukan yuran tempahan sebanyak 50 euro (RM230), manakala versi Pioneer yang mempunyai nombor siri pengeluaran 101 hingga 1000 boleh ditempah dengan yuran sebanyak 500 euro (RM2,300).

Sementara itu, 100 unit pertama yang dikenali sebagai Signature Edition dibuka untuk tempahan dengan yuran 5,000 euro (RM23,000). Mereka yang tinggal di luar EU juga boleh membuat tempahan secara percuma namun Squad Mobility tidak memberikan sebarang jaminan bila pemasangan model ini akan bermula.

Previous post

Aprilia RSV4 1100 Factory Baharu Dilancarkan Di Malaysia

Next post

BMW Group Malaysia Cari Jentera BMW M Tertua Di Negara Ini

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *