Berita Auto

BMW Group Malaysia Cari Jentera BMW M Tertua Di Negara Ini

Sempena sambutan ulang tahun ‘emas’ BMW M GmbH yang akan berlangsung pada Selasa, 24 Mei depan, BMW Group Malaysia ingin mencari model BMW M yang tertua bagi setiap siri model di dalam negara.

Jika anda seorang pemilik jentera BMW M yang dicari atau tahu pemiliknya, sertai misi pencarian ini dengan memberikan butiran melalui pautan ini.

Pemenang akan berpeluang untuk membawa pulang hadiah BMW M serba eksklusif dan jentera mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Bukan itu sahaja, seorang pemenang akan dipilih bagi setiap siri model BMW M, dan hadiah-hadiah istimewa juga menanti bagi penyertaan yang menarik. Penyertaan akan ditutup pada 8 Jun 2022.

Sejarah BMW Motorsport GmbH bermula pada sekitar 1972 dengan model 3.0CSL yang dibangunkan khusus untuk kejohanan European Touring Car Championship. Kehebatan divisyen BMW M terbukti apabila jentera itu mendominasi kejohanan tersebut pada setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

Bagaimanapun, kereta pertama yang menggunakan huruf ‘M’ pada namanya adalah BMW M1 yang dikeluarkan pada 1978. Hadir dengan enjin enam silinder sebaris, M1 pernah dinobatkan sebagai kereta sport jalan raya yang terpantas di Jerman dengan kelajuan mencecah 264.7 km/j. Hanya 456 unit model ini dihasilkan.

Meskipun BMW M memberikan tumpuan ke atas pembangunan kereta prestasi dan perlumbaan, ramai peminat BMW yang inginkan kuasa dan jata M pada model jalanan. Oleh itu pada 1985, BMW M5 (E28) diperkenalkan dengan enjin 3.5 liter enam silinder sebaris yang menghasilkan 286 hp. Ia diikuti oleh M3 (E30) pada tahun berikutnya.

Hari ini, jata ‘M’ digunakan oleh hampir kesemua model yang dihasilkan oleh BMW termasuk M2, M3, M4, M5, M6, M8 serta barisan crossover iaitu X3 M, X4 M, X5 M dan juga X6 M.

Previous post

Lesen Tidak Diperlukan Untuk Memandu EV Berkuasa Solar Ini

Next post

Golongan T20 Nikmati Sebahagian Besar Subsidi Petroleum

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *